Langkau ke kandungan utama

Bila malam hujan lebat

Malam ini, kampung pokcik hujan lebat disertai guruh dan kilauan cahaya kilat. Malam-malam bila hujan begini, Pokcik selalu rasa rindu yang datang diam-diam. Rindu yang tak tahu nak ditulis macam mana, tapi tahu… ia datang dari jauh, dari kenangan lalu yang tak pernah padam.

Waktu dulu, keluarga kami bukan orang senang. Rumah kayu beratap zink dan daun nipah, berdinding papan, berlantaikan kayu. Bila hujan turun, titisan air bukan saja jatuh ke bumi, tapi singgah juga dalam rumah kami. Atap rumah kami ada ruang dan celahan yang bocor. Kadang-kadang bunyi titisan itu berlagu atas lantai, atas tikar, atas kepala pun pernah juga.

Tapi itulah hidup kami waktu tu.

Mok Pokcik pantas ambil baldi, periuk lama, kadang cawan plastik yang retak pun jadi bekas tadah hujan. Bunyi tok… tok… tok… macam irama malam, muzik istimewa untuk anak-anak kecil yang baring rapat-rapat atas tikar mengkuang.

Ayah Pokcik pula duduk bersandar dekat dinding, selimutkan kami adik-beradik dengan kain batik lusuh yang satu tu je lah adanya. Dia pesan, “Tidur awal, esok nak pergi sekolah” Tapi selalunya kami tak tidur terus.

Kami duduk depan pelita minyak tanah. Cahaya malapnya menari di dinding kayu, menyuluh wajah-wajah kecil yang sedang dengar hujan bercerita. Bau asap pelita itu bercampur dengan bau tanah basah dari luar, harum dengan nostalgia.

Kadang-kadang mok goreng cekodok pisang. Kadang teh O panas dan biskut kering cicah. Tak ada KFC, tak ada piza, tapi masa tu, bahagia tu rasa cukup sangat. Kenyang di hati walau perut tak penuh.

Dan malam begini, hujan yang turun itu membawa balik semua kenangan itu. Duduk diam-diam dalam hati Pokcik. Ada masa buat senyum… tapi banyak kali buat mata ni berkaca. Rindu pada zaman susah yang mengajar erti syukur.

Sekarang rumah Pokcik dah elok. Atap dah tak bocor. Tapi bila hujan turun, hati ni macam tetap nak dengar bunyi titisan jatuh dalam baldi. Rindu itu pelik, Pokcik rasa. Kita rindu pada benda yang dulu kita tak suka. Tapi di situlah letaknya kenangan paling indah.

Kerana dalam rumah kecil yang bocor itu, hati kami tak pernah kosong.

Ulasan

AMIIZAA@Mieja berkata…
kenangan indah...sini pun mendung juga
Etuza berkata…
Salam singgah..kenangan lalau memang tak dilupakan..sangat manis dikenang kadang sedih mengenangkan pengalaman ..detik itu
Ammi berkata…
Rasa sebak pulak baca entry ni. Terkenang rumah ammi juga dulu. Bukan beratap nipah mcm rumah pokcik tp zink kami pun bocor juga. Merata arwah mama letak periuk besen yg dialas kain supaya tak basah rumah kami
Puan Hazel berkata…
Berkongsi rasa kita Pokcik... setiap kali hujan, bukan sekadar air yang turun tapi datang bersama kenangan indah di masa kecil .

Catatan popular daripada blog ini

Sejam Setengah di Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh

Pada 16 Jun yang lalu aku ke Ipoh perak untuk mendaftar anak sulong di Politeknik Ungku Omar... setelah selesai segala urusan pendaftaran kemasukan dan pendaftaran asrama... anak angkat aku yang tinggal di Taman Medang Pusing Batu Gajah telah mengajak untuk ke Taman Rekreasi Gunung Lang Ipoh. sehari sebelum tu kami sekeluarga telah datang dan bermalam di rumahnya..... Katanya Taman Rekreasi ini sudah hampir dengan susur keluar ke Lebuhraya Utara Selatan. Dah datang jauh, jadi apa salahnya kalau singgah sebentar.... lagi pun bukan selalu dapat datang ke mari. Lagi pun tempat ni dalam perjalanan pulang..... Itu kata-kata anak angkat aku... Kalau malam tu aku penat memandu dari Jerteh ke Batu gajah dan tidak dapat memenuhi ajakannya ke Pasaraya Aeon dan Gerbang Malam di Ipoh hanya isteri dan anak-anak sahaja yang pergi.   Taman Rekreasi ni cantik bagi aku... bukit dan tasik menyegarkan mata Ikan-ikan ditasik ini banyak dan besar-besar... untuk memberi maka...

Menang Contest Miss Fatyn

Tak sangka aku .... aku menang.. aku join hanya sekadar untuk berkongsi pengalaman yang menakutkan yang pernah aku dialami. Tetiba-tetiba diumumkan sebagai pemenang tempat kedua.. ini kali pertama aku menang contest melalui blog. Terimakasih Miss Fatyn atas penganjuran contest itu dan hadiah tu, In Sha Allah.. kalau ada segmen, GA atau contest yang simple Uncle akan join.

Anak Tebu Tumbuh di Ruas...

Petang tadi Pokcik tengok kebun tebu macam biasa sebelum menyiram kangkung. Saja tengok keadaan pokok, mana tahu ada yang tumbang atau diserang serangga. Bila diperhatikan Eh... lain macam nampaknya. Pada bahagian ruas batang, keluar pula anak tebu yang masih kecil. Bukan di pangkal, tetapi betul-betul tumbuh pada ruas batang. Banyak batang jugak yang alami begini Gambar janaan AI  Pokcik pun ambil gambar lalu bertanya kepada rakan AI, "Kenapa boleh jadi macam ni?" Jawapannya agak menarik. Biasanya anak tebu di ruas boleh keluar apabila pokok sudah cukup matang, cuaca lembap atau pertumbuhan pucuk terganggu. Tetapi tebu Pokcik baru berumur lebih kurang tujuh bulan. Masih belum cukup tua. Kemungkinan besar ia bukan penyakit. Mungkin disebabkan keadaan cuaca yang sesuai, pertumbuhan pokok yang subur atau ada sedikit gangguan pada bahagian pucuk menyebabkan mata tunas pada ruas mula aktif. Setakat ini batang tebu nampak masih sihat. Daunnya hijau, batang pun besar dan segar. ...