Langkau ke kandungan utama

Bila malam hujan lebat

Malam ini, kampung pokcik hujan lebat disertai guruh dan kilauan cahaya kilat. Malam-malam bila hujan begini, Pokcik selalu rasa rindu yang datang diam-diam. Rindu yang tak tahu nak ditulis macam mana, tapi tahu… ia datang dari jauh, dari kenangan lalu yang tak pernah padam.

Waktu dulu, keluarga kami bukan orang senang. Rumah kayu beratap zink dan daun nipah, berdinding papan, berlantaikan kayu. Bila hujan turun, titisan air bukan saja jatuh ke bumi, tapi singgah juga dalam rumah kami. Atap rumah kami ada ruang dan celahan yang bocor. Kadang-kadang bunyi titisan itu berlagu atas lantai, atas tikar, atas kepala pun pernah juga.

Tapi itulah hidup kami waktu tu.

Mok Pokcik pantas ambil baldi, periuk lama, kadang cawan plastik yang retak pun jadi bekas tadah hujan. Bunyi tok… tok… tok… macam irama malam, muzik istimewa untuk anak-anak kecil yang baring rapat-rapat atas tikar mengkuang.

Ayah Pokcik pula duduk bersandar dekat dinding, selimutkan kami adik-beradik dengan kain batik lusuh yang satu tu je lah adanya. Dia pesan, “Tidur awal, esok nak pergi sekolah” Tapi selalunya kami tak tidur terus.

Kami duduk depan pelita minyak tanah. Cahaya malapnya menari di dinding kayu, menyuluh wajah-wajah kecil yang sedang dengar hujan bercerita. Bau asap pelita itu bercampur dengan bau tanah basah dari luar, harum dengan nostalgia.

Kadang-kadang mok goreng cekodok pisang. Kadang teh O panas dan biskut kering cicah. Tak ada KFC, tak ada piza, tapi masa tu, bahagia tu rasa cukup sangat. Kenyang di hati walau perut tak penuh.

Dan malam begini, hujan yang turun itu membawa balik semua kenangan itu. Duduk diam-diam dalam hati Pokcik. Ada masa buat senyum… tapi banyak kali buat mata ni berkaca. Rindu pada zaman susah yang mengajar erti syukur.

Sekarang rumah Pokcik dah elok. Atap dah tak bocor. Tapi bila hujan turun, hati ni macam tetap nak dengar bunyi titisan jatuh dalam baldi. Rindu itu pelik, Pokcik rasa. Kita rindu pada benda yang dulu kita tak suka. Tapi di situlah letaknya kenangan paling indah.

Kerana dalam rumah kecil yang bocor itu, hati kami tak pernah kosong.

Ulasan

AMIIZAA@Mieja berkata…
kenangan indah...sini pun mendung juga
Etuza berkata…
Salam singgah..kenangan lalau memang tak dilupakan..sangat manis dikenang kadang sedih mengenangkan pengalaman ..detik itu
Ammi berkata…
Rasa sebak pulak baca entry ni. Terkenang rumah ammi juga dulu. Bukan beratap nipah mcm rumah pokcik tp zink kami pun bocor juga. Merata arwah mama letak periuk besen yg dialas kain supaya tak basah rumah kami
Puan Hazel berkata…
Berkongsi rasa kita Pokcik... setiap kali hujan, bukan sekadar air yang turun tapi datang bersama kenangan indah di masa kecil .

Catatan popular daripada blog ini

Khasiat telur gondang

Gondang merupakan musuh bagi pesawah padi kerana banyak melakukan kerosakan pada tanaman padi terutama anak padi. Para pesawah akan menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan serangan gondang terutama gondang emas. Ada petani yang menternak itik di sawah padinya sebelum masuk musim menanam dan ada yang menggunakan racun untuk menghapuskannya. Dalam tidak berguna kepada petani, gondang juga memberi manfaat yang besar kepada manusia terutama telurnya. Telur gondang dikatakan dapat melebatkan rambut, cepat memanjangkan rambut dan juga menghitamkan rambut. Caranya telur ini diramas dengan tangan dan terus dilumurkan atas kepala dan biarkan lebih kurang setengah jam sebelum dicuci bersih. Diamalkan setiap hari sehingga nampak keberkesanannya. Juga dikatakan mujarab bagi sakit buasir, caranya telur ini dipanaskan dengan minyak kelapa dan dibiarkan sejuk. Lepas itu minyak yang telah diproses telur gondang tadi dilumur pada ibu jari.. gunakan ibu jari tadi untuk menekan bu...

Bagaimana membuat ikan haruan kering

Bagaimana membuat ikan haruan kering . Masih berkisar dari hasil pancingan semalam. Kisah memancing ikan. Oleh kerana hasil pancingan yang banyak, untuk sekali makan memang tidak habis. Jadi pokcik ambil keputusan untuk membuat ikan kering. Caranya cukup mudah. Ikan haruan ini dibuang sisik dan dibelah belakang. dibasuh sebersih-bersihnya. Selepas itu direndam dengan air garam. Bagi setengah orang mereka lebih suka tabur garam. Biarkan rendaman air garam semalaman dan selepas itu bolehlah dijemur dibawah sinaran cahaya matahari yang terik. Perlu diingatkan bahawa satu lagi masalah bila menjemur ikan untuk dikeringkan ialah kedatangan lalat. Bukan kecil dan sedikit. Lalat-lalat hijau ini amat sukakan bau busuk ikan ni.  Bukan setakat hinggap dan makan sahaja. Lalat-lalat ini akan meninggalkan telur diatas ikan ini. Perhatikan gambar bawah. Telur ini akan menetas dan menjadi ulat yang akan memakan ikan ini pula. Untuk mengelakkan ikan ini dari didatangi o...

Terima kasih atas ucapan dari rakan-rakan

Hari ini hari lahir pokcik yang ke ???... maka facebook pokcik dihujani dengan ucapan dari rakan-rakan. Rasa terharu dengan ucapan dari rakan-rakan kerana mereka ini adalah sebahagian dari penyeri hidup.. Hari hari lahir pokcik yang ke 50 tak nak berahsia.. genap-genap 50 tahun, lahir tahun 1969. Bulan dan tahun yang penuh dengan sejarah negara.