Langkau ke kandungan utama

Secawan Milo, Hujan dan Sebuah Renungan

Petang ini hujan datang lagi. Dari pagi matahari sudah muncul sekejap-sekejap, malu-malu di balik awan. Angin pula agak lain macam, macam ada janji rahsia yang ingin disampaikan. Pokcik yang duduk di pondok kebun, hanya mampu memandang langit yang semakin kelabu. Dan benar sangka hati, tidak lama kemudian, bunyi pertama titis hujan menyentuh atap zink, menandakan rahmat turun membasahi bumi.

Bunyi itu tidak kuat... tiada angin kasar yang membawanya, mula-mula halus sahaja, seperti jari-jari kecil mengetuk pintu rumah. Tapi lama-lama semakin deras, hingga atap zink itu menjadi rebana besar yang dipalu tanpa henti. Ah... bunyi hujan di atas atap zink, bunyi inilah yang membesarkan pokcik sejak kecil. 

Dari kecil lagi, setiap kali hujan, pokcik suka baring di lantai papan, mendengar dentuman air, merasai dingin yang meresap sampai ke tulang. Sampai hari ini, walau umur sudah makin banyak, bunyi hujan tetap jadi muzik paling indah yang Tuhan ciptakan.

Di halaman, pokok-pokok kelihatan segar bila disentuh air hujan. Pokok tebu yang baru dibaja minggu lepas, nampak macam lebih gagah berdiri. Daun pisang yang besar lebar, menadah setiap titis, kemudian membiarkan air jatuh meleleh ke tanah. Pokok kelapa di tepi pagar juga bergoyang, bunyinya berdesir bila angin hujan menyapa. Semua itu membuat pokcik rasa damai, rasa tenang, rasa kecil di hadapan alam.

Pokcik capai secawan Milo kosong panas dari dalam bekas. Asapnya bercampur dengan sejuk hujan, menampar lembut pipi pokcik. Minum milo ketika hujan ini ada kelainannya rasanya lebih pekat, lebih manis, mungkin kerana hati sedang lapang. Dalam diam, pokcik termenung. Hujan ini bukan sekadar air yang turun dari langit. Ia bawa seribu makna, seribu peringatan.

Dulu masa kecil, pokcik suka berlari di bawah hujan. Main bola, main kejar-kejar, berkubang dalam lopak air sampai emak marah. “Masuk rumah cepat, demam nanti!” Itu suara emak yang masih terngiang-ngiang dalam kepala. Tapi masa tu, siapa kisah demam? Yang penting seronok. Bila basah kuyup, balik rumah kena mandi air panas, kemudian baring bawah kain batik panjang yang emak bentangkan. Ah, indahnya kenangan itu. Kini bila umur sudah senja, kenangan itulah yang datang kembali setiap kali hujan turun.

Hujan juga selalu jadi teman bila pokcik rasa sendirian. Ada waktu-waktu tertentu, hati ini jadi sepi, fikir macam-macam tentang hidup, tentang masa depan anak-anak, tentang kesihatan diri, tentang rezeki yang tidak tahu sampai bila mencukupi. Tapi bila hujan datang, hati ini selalu jadi lembut. Macam ada suara halus yang berbisik, “Jangan risau, semua ini ada jalan.” Hujan seolah-olah menenangkan, memujuk, menyapu keresahan.

Pokcik pandang tanah di kebun, mula bertakung air di beberapa tempat. Ayam kampung berlari lari mencari teduhan. Alam ini hidup dalam keseimbangannya sendiri. Ada hujan, ada panas. Ada kenyang, ada lapar. Ada gembira, ada susah. Semua ada masa.

Sambil meneguk baki milo, pokcik terfikir, hujan juga macam kehidupan manusia. Ada masa kita basah kuyup dengan ujian, ada masa kita kering kontang menunggu rezeki. Tapi selagi sabar, selagi percaya, Tuhan akan turunkan juga rahmat-Nya. Kadang-kadang lambat, kadang cepat. Yang penting kita redha.

Pokcik tidak pernah jemu melihat hujan. Kalau boleh, biarlah ia turun lama-lama. Biar pokcik duduk di serambi ini, merenung titisan jatuh, mendengar muzik atap zink, mencium bau tanah basah. Hati ini jadi lapang, fikiran jadi jernih, jiwa jadi tunduk.

Hujan, janganlah cepat berhenti. Temanilah pokcik sekejap lagi. Biarlah titis engkau jatuh menutup bunyi dunia, menenangkan hati yang sering gundah. Biarlah engkau jadi doa yang turun dari langit, membasuh resah, membisikkan sabar, membangkitkan rasa syukur.

Kerana pada hujan inilah, pokcik selalu percaya setiap kering akan ada basahnya, setiap gersang akan ada hujannya, setiap susah akan ada senangnya. Itulah janji alam yang tidak pernah mungkir.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Khasiat telur gondang

Gondang merupakan musuh bagi pesawah padi kerana banyak melakukan kerosakan pada tanaman padi terutama anak padi. Para pesawah akan menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan serangan gondang terutama gondang emas. Ada petani yang menternak itik di sawah padinya sebelum masuk musim menanam dan ada yang menggunakan racun untuk menghapuskannya. Dalam tidak berguna kepada petani, gondang juga memberi manfaat yang besar kepada manusia terutama telurnya. Telur gondang dikatakan dapat melebatkan rambut, cepat memanjangkan rambut dan juga menghitamkan rambut. Caranya telur ini diramas dengan tangan dan terus dilumurkan atas kepala dan biarkan lebih kurang setengah jam sebelum dicuci bersih. Diamalkan setiap hari sehingga nampak keberkesanannya. Juga dikatakan mujarab bagi sakit buasir, caranya telur ini dipanaskan dengan minyak kelapa dan dibiarkan sejuk. Lepas itu minyak yang telah diproses telur gondang tadi dilumur pada ibu jari.. gunakan ibu jari tadi untuk menekan bu...

Bagaimana membuat ikan haruan kering

Bagaimana membuat ikan haruan kering . Masih berkisar dari hasil pancingan semalam. Kisah memancing ikan. Oleh kerana hasil pancingan yang banyak, untuk sekali makan memang tidak habis. Jadi pokcik ambil keputusan untuk membuat ikan kering. Caranya cukup mudah. Ikan haruan ini dibuang sisik dan dibelah belakang. dibasuh sebersih-bersihnya. Selepas itu direndam dengan air garam. Bagi setengah orang mereka lebih suka tabur garam. Biarkan rendaman air garam semalaman dan selepas itu bolehlah dijemur dibawah sinaran cahaya matahari yang terik. Perlu diingatkan bahawa satu lagi masalah bila menjemur ikan untuk dikeringkan ialah kedatangan lalat. Bukan kecil dan sedikit. Lalat-lalat hijau ini amat sukakan bau busuk ikan ni.  Bukan setakat hinggap dan makan sahaja. Lalat-lalat ini akan meninggalkan telur diatas ikan ini. Perhatikan gambar bawah. Telur ini akan menetas dan menjadi ulat yang akan memakan ikan ini pula. Untuk mengelakkan ikan ini dari didatangi o...

Terima kasih atas ucapan dari rakan-rakan

Hari ini hari lahir pokcik yang ke ???... maka facebook pokcik dihujani dengan ucapan dari rakan-rakan. Rasa terharu dengan ucapan dari rakan-rakan kerana mereka ini adalah sebahagian dari penyeri hidup.. Hari hari lahir pokcik yang ke 50 tak nak berahsia.. genap-genap 50 tahun, lahir tahun 1969. Bulan dan tahun yang penuh dengan sejarah negara.