Langkau ke kandungan utama

Catatan

Tunjukkan catatan dari 2026

Mencari Momen

Pagi tadi, seperti biasa, kalau tidak ada apa-apa urusan, kebunlah tempat Pokcik menghabiskan masa. Tetapi pagi ini Pokcik tak ke kebun. Hujan yang turun semalam membuatkan Pokcik mengambil keputusan untuk berehat sekejap daripada kerja-kerja kebun. Tanah pun masih basah, rumput masih basah dan mungkin lebih elok kalau kerja-kerja di kebun disambung kemudian. Kebetulan Pokcik mendapat tahu ada satu program berlangsung di Kampung Padang Baloh, Jerteh, Besut. Program anjuran KPDN Terengganu yang diberi nama Program Rentas Desa dan Teroka Pengguna: Suara Kita, Kuasa Kita , bertemakan Mengimbau Nostalgia Zaman Dahulu . Menarik juga bunyinya. Ada aktiviti rentas desa dan pertandingan sukan tradisional. Tambahan pula, tema pakaian tradisional kreatif tentu menjanjikan suasana yang sedikit berbeza daripada program-program biasa. Sebenarnya tiada apa-apa tujuan besar pun. Saja-saja hendak melihat suasana program sambil mengambil sekeping dua gambar. Lagipun, sudah lama juga Pokcik tidak kel...

Giveaway SR! Saya Nak TNG eWallet!

Sesekali singgah juga Pokcik ke blog rakan-rakan blogger. Dalam dunia blog yang semakin sunyi ini, masih ada sahabat yang rajin menulis, berkongsi cerita dan menganjurkan aktiviti untuk mengeratkan hubungan sesama blogger. Kali ini Pokcik terpandang satu hebahan menarik daripada rakan blogger SR melalui blog Syazni Rahim. Beliau sedang menganjurkan satu giveaway khas untuk rakan-rakan blogger Malaysia. Hadiah yang ditawarkan pun menarik juga. Tiga orang pemenang bertuah bakal membawa pulang kredit TNG eWallet seperti berikut: - Tempat pertama: RM50 - Tempat kedua: RM30 - Tempat ketiga: RM20 Pokcik pun tidak mahu ketinggalan. Mana tahu ada rezeki Pokcik kali ini. Kalau dapat RM50, bolehlah tambah nilai TNG eWallet. Sedikit sebanyak dapat juga meringankan belanja perjalanan. Bagi Pokcik, menyertai giveaway begini bukan semata-mata kerana hadiah. Lebih daripada itu, ia menjadi satu ruang untuk kita saling mengenali dan menghidupkan kembali suasana dunia blogging yang pernah meriah suatu k...

Bertahun-tahun Pokcik Takut, Rupanya Sedap

Ada satu jenis sayur yang sudah bertahun-tahun pokcik pandang dengan penuh curiga. Bukan sebab tak suka, bukan juga sebab tak mampu beli. Tetapi disebabkan cerita-cerita yang selalu pokcik dengar daripada orang sekeliling. Kacang botor. Kata orang, kacang botor ni sejuk. Orang yang ada uluran angin, medu atau GERD macam pokcik ni tak elok makan. Nanti macam-macam boleh jadi. Perut boleh meragam, angin boleh naik dan entah apa lagi cerita yang sampai ke telinga. Jadi, bertahun-tahunlah pokcik tak makan kacang botor. Tengok orang makan, pokcik tengok saja.. Maklumlah, bila bab perut ni pokcik agak berhati-hati. Perut pokcik ni bukan boleh dibuat main. Ada kalanya perangainya lebih sukar dijangka daripada cuaca musim tengkujuh. Kebetulan pula, pokcik ada menanam kacang botor di kebun. Pokoknya sudah mula mengeluarkan hasil. Buah-buah muda bergayut elok pada pokok. Setiap kali tengok, terliur juga dibuatnya. Akhirnya pokcik buat keputusan. Kali ni nak cuba juga! Pokcik dah beritahu Mo...

Rezeki Dari Anak Sungai Banar

Petang tadi, selepas balik dari kerja, Pokcik tak terus balik rumah. Terus singgah ke Sungai Banar, sebuah anak sungai yang terletak berhampiran dengan kebun getah Pokcik. Pakaian kebun memang dah sedia dalam kereta.. Sungainya kecil sahaja. Bukan tempat yang istimewa pun, tetapi sesekali ada juga rezeki yang menunggu di situ. Dapatlah Pokcik menghabiskan sedikit masa selepas seharian bekerja. Dua tiga hari ni hujan lebat dan air memenuhi anak sungai, cuma hari ini saja matahari muncul.  Kebiasaannya bila anak sungai memenuh, banyaklah ikan ikan akan mudik untuk bermain air dan bertelur. Tapi kali ini pokcik tak bawa pukat dalam bonet kereta hanya ada batang kail sahaja. Umpan pokcik guna cacing yang mudah didapati sekitar tebing anak sungai. Alhamdulillah, petang tadi ada juga hasilnya. Beberapa jenis ikan berjaya dibawa pulang. Antaranya ikan peras, ikan kawan, ikan tebal sisik dan ikan merah pipi. Macam-macam jenis bercampur dalam satu besen. Bukan ikan besar yang dicari. Dapa...

HASIL PANCING PETANG KELMARIN

Petang kelmarin, Pokcik turun memancing di kawasan sawah padi.. Dapat ikan puyu agak banyak, diselang-seli dengan beberapa ekor ikan haruan. Petang ini pokcik mula menyiang ikan ikan itu. Ikan puyu ini bukannya boleh dibuat kerja sambil lewa. Sisiknya keras, durinya tajam. Kena pandai pegang dan hati-hati ketika menyiangnya. Sambil menyiang, Pokcik teringat kembali suasana petang kelmarin. Keseronokan ketika mengangkat ikan. Bila semuanya selesai, ikan yang sudah dibersihkan dikumpulkan. Ada juga yang agak besar saiznya. Cukuplah untuk dibuat lauk di rumah. Ikan puyu kalau digoreng garing atau dibakar tawar cicah budu memang membuka selera.  Mokcik dah rancang sedikit untuk dibuat pekasam.

Jangan Sapu Sampah Waktu Malam, Nanti Rezeki Ikut Keluar

Pernah dengar orang tua-tua berpesan, jangan menyapu sampah keluar dari rumah pada waktu malam. Katanya, nanti rezeki pun ikut tersapu keluar. Pokcik percaya ramai antara kita pernah mendengar petua ini. Ada yang masih mengamalkannya sampai hari ini. Kalau malam-malam nampak sampah di lantai, simpan dahulu penyapu. Esok pagi sambung kerja. Tetapi pernahkah kita terfikir, mengapa orang tua-tua dahulu berpesan begitu? Adakah benar kalau kita menyapu sampah pada waktu malam, rezeki akan berkurangan? Kalau hendak difikirkan dari sudut akal, pokcik rasa petua ini ada kaitan dengan cara hidup masyarakat dahulu. Zaman dahulu rumah tidak diterangi lampu seperti sekarang. Ada yang hanya menggunakan pelita minyak tanah. Cahaya pun samar-samar. Kalau menyapu pada waktu malam, mungkin duit syiling, barang kemas atau benda kecil yang terjatuh di atas lantai turut tersapu keluar tanpa disedari. Gambar Janaan AI Lebih-lebih lagi lantai rumah dahulu banyak yang beralaskan tanah atau papan. Barang...

Rezeki Puyu Di Bawah Laluan ECRL

Lepas asar tadi Pokcik turun ke baruh bersama Mokcik. Bawa joran dan umpan, mencari ikan di parit kecil yang memanjang di kawasan sawah berhampiran jalan ECRL. Kawasan ini masih dipenuhi rumput dan semak samun. Ada bahagian parit yang airnya hampir tidak kelihatan kerana ditutupi rumput yang tumbuh meliar. Sedang asyik memancing, kedengaran pula bunyi kereta api ECRL melintas di atas jalan. Sekejap sahaja bunyinya berlalu. Pokcik terus melayan joran. Ikan puyu agak galak memakan umpan petang ini. Seekor demi seekor berjaya dinaikkan. Ada juga beberapa ekor ikan haruan yang turut tersangkut. Alhamdulillah, dapat juga hasil yang agak banyak. Mokcik pula bukan main gembira petang petang, banyak juga dapat diangkat olehnya petang ini. Begitulah petang kami di baruh. Di atas jambatan kereta api lalu, di bawahnya Pokcik mencari rezeki dengan joran di tangan.

Sembang Kedai Kopi # 20 - Musim Tengkujuh, Musim ikan Darat

Pagi itu hujan turun renyai-renyai. Awan masih tebal menutupi langit. Di warung kecil di hujung kampung, Pokcik, Mat Rizal, Mail Towing dan Tok Awang sedang menikmati kopi panas. "Musim tengkujuh dah mari. Tahun ni nampaknya kena bersedia sikit," kata Pokcik sambil mengacau kopi. Mat Rizal mencapai telefon bimbitnya. "Aku ada baca laporan METMalaysia. Monsun Timur Laut musim 2026/2027 dah bermula pada 27 Oktober dan dijangka berterusan sampai Mac tahun depan. " Mail Towing menyampuk. "Habis tu, berapa lama kita nak hadap hujan ni?" "Menurut ramalan Jabatan Meteorologi, antara November hingga Januari dijangka berlaku tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan. Kawasan Pantai Timur macam Kelantan dan Terengganu memang antara kawasan yang perlu diberi perhatian. Kawasan rendah dan berhampiran sungai berisiko banjir," jawab Mat Rizal. Tok Awang mengangguk perlahan. "Patutlah orang kampung kena mula bersiap. Parit kena bersihkan, ba...

Menu Orang Kampung Paling Sedap Awal Pagi di Musim Hujan

Pagi-pagi begini, hujan turun renyai-renyai. Bunyi titisan air mengetuk atap rumah, angin pula bertiup sejuk. Suasana cukup mendamaikan. Kalau hari begini, terasa malas pula hendak ke mana-mana. Waktu beginilah selera orang kampung datang mencari sesuatu yang sederhana. Sepinggan ubi kayu rebus, ditabur kelapa parut putih yang sedikit bergaram. Di sebelahnya ikan kering goreng yang rangup, sementara secawan kopi panas menjadi teman di meja makan. Aduh... nikmat sungguh! Tak perlu sarapan mahal-mahal. Tak perlu hidangan yang bermacam-macam. Cukuplah makanan yang mengingatkan kita kepada kehidupan zaman dahulu. Dulu, menu begini bukanlah sesuatu yang istimewa. Ubi kayu boleh dicabut di belakang rumah, kelapa dipetik dari pokok sendiri, ikan kering pula sentiasa ada tersimpan di dapur. Hari ini, makanan yang sederhana begini kadangkala terasa lebih istimewa daripada hidangan di restoran.

Berehat Seketika Di Kebun

Pagi tadi Pokcik turun ke kebun. Mesin galas sudah mula bekerja, rumput dan semak pun satu demi satu rebah menyembah bumi. Bila badan mula terasa penat, Pokcik berhenti sekejap. Pandang bukit di hadapan, tengok kehijauan sekeliling. Nyaman sungguh suasana begini. Kadang-kadang kerja kebun bukan sekadar membersihkan tanah. Ada kepuasan tersendiri apabila melihat hasil titik peluh sendiri. Mesin boleh dimatikan seketika, tetapi semangat jangan pula padam. Esok lusa, sambung lagi.

Pokcik Belajar Buat Nisan Tebu

Ada benda yang pokcik selalu jumpa dalam kehidupan seharian, tetapi tidak pernah terfikir untuk membuatnya sendiri. Petang ini pokcik cuba satu perkara baharu. Daripada batang tebu yang selama ini ditanam di kebun, pokcik cuba pula menghasilkan nisan tebu. Bukanlah hendak membuka kilang besar-besaran. Sekadar mahu mencuba, melihat sejauh mana tangan sendiri boleh menghasilkan sesuatu daripada hasil tanaman sendiri. Air tebu dimasak, dikacau dan ditunggu sehingga mencapai kepekatan yang dikehendaki. Nampak mudah, tetapi rupanya ada juga seninya. Kena tahu masa, kena jaga api dan paling penting jangan cepat hilang sabar. Alhamdulillah, petang ini percubaan pokcik menjadi. Bila melihat hasilnya, terasa juga puas hati. Ada sesuatu yang berbeza apabila kita dapat menghasilkan sendiri makanan daripada tanaman yang kita usahakan. Pokcik terfikir, selama ini kita menanam untuk mendapatkan hasil. Tetapi kalau hasil itu boleh diproses menjadi produk lain, tentu lebih banyak ruang untuk kita...

Sarapan Pagi Dengan Tepung Bukus

Pagi ini Pokcik memulakan hari dengan sedikit kelainan. Bukan nasi berlauk, bukan juga roti canai. Sebaliknya, sarapan pagi kali ini ditemani kuih tradisional orang kampung yang dikenali sebagai tepung bukus. Tepung bukus hasil air tangan Mokcik yang kebetulan mempunyai sedikit kelapangan masa untuk menyediakannya. Nampak sederhana sahaja, tetapi apabila dapat menikmatinya bersama secawan minuman panas, terasa cukup menyelerakan. Kebetulan pula pagi ini hujan turun membasahi bumi. Sejak awal pagi lagi bunyi hujan kedengaran di luar rumah. Suasana jadi sedikit dingin, angin bertiup perlahan dan halaman rumah pun mula dibasahi air hujan. Sebenarnya Pokcik sudah merancang hendak turun ke kebun pagi ini. Ada kerja menebas yang perlu diselesaikan. Rumput di beberapa bahagian kebun sudah mula meninggi, menunggu masa untuk dibersihkan. Nampaknya rancangan itu terpaksa ditangguhkan dahulu. Hendak menebas dalam keadaan tanah basah dan hujan begini, bukanlah kerja yang begitu menyenangkan. J...

Apa Yang Kita Tinggalkan

Kadang-kadang, apabila duduk bersendirian dan memerhatikan kehidupan di sekeliling, terdetik juga dalam fikiran pokcik tentang masa depan anak cucu kita. Kita hari ini masih boleh menikmati kehidupan yang agak selesa. Boleh keluar bekerja, membesarkan anak-anak, mencari rezeki dan menjalani kehidupan seperti biasa. Pagi keluar rumah, petang pulang semula. Sesekali dapat berkumpul dengan keluarga, bergelak ketawa bersama anak cucu. Begitulah rutin kehidupan kita. Tetapi pernahkah kita terfikir, apakah kehidupan yang sama masih dapat dinikmati oleh generasi selepas kita? Pokcik bukan hendak bercakap soal harta atau kekayaan. Bukan juga tentang berapa banyak tanah, rumah atau wang yang boleh kita tinggalkan kepada mereka. Ada perkara yang jauh lebih besar daripada itu. Kita bercakap tentang kesejahteraan, keselamatan, kebebasan dan masa depan mereka. Kita mahu anak cucu kita membesar dalam sebuah negara yang aman. Mereka dapat belajar, bekerja, membina keluarga dan mencari kehidupan t...

Berhenti Sekejap Dari Meneruskan Perjalanan

Ada waktunya kita perlu berhenti seketika. Bukan kerana sudah penat melangkah, tetapi sekadar memberi ruang kepada diri untuk menikmati suasana. Gambar Janaan AI Duduk sebentar, memandang jalan yang terbentang. Menunggu sesuatu yang mungkin datang, mungkin juga tidak. Kerana hidup ini bukan tentang seberapa cepat kita sampai, tetapi bagaimana kita menikmati setiap perjalanan.

Berehat dari aktiviti menanam sayur

Masuk sahaja bulan November, cuaca pun mula berubah. Hujan semakin kerap turun. Kadang-kadang pagi hujan, petang pun hujan, adakalanya membawa ke malam pula. Musim Monsun Timur Laut sudah menjengah. Di kebun, Pokcik nampaknya terpaksa membuat sedikit perubahan pada perancangan. Aktiviti menanam kangkung dihentikan buat sementara waktu. Bukan sebab sudah jemu berkebun, tetapi keadaan tanah sekarang memang kurang sesuai untuk kerja-kerja tanaman sayuran. Tanah yang selalu Pokcik usahakan sudah mula lembik. Hendak mencangkul pun susah. Mata cangkul penuh dengan tanah yang melekat. Sekali diangkat, segumpal tanah ikut naik bersama. Kerja yang biasanya mudah pun boleh jadi berat. Masalah lain pula datang daripada baja. Hujan yang turun hampir setiap hari menyebabkan baja yang ditabur pada tanaman mudah dihanyutkan air. Belum sempat pokok mengambil manfaatnya, sebahagian baja sudah dibawa pergi bersama aliran air hujan. Kalau diteruskan juga, nampaknya banyak pula pembaziran. Benih, baj...

SEPAYONG GOLDEN MOMENTS 2026

Semalam yang indah, hari ini menjadi kenangan. Ada malam yang berlalu begitu sahaja. Ada juga malam yang meninggalkan cerita untuk dikenang sampai bila-bila. 26 Oktober 2026, Kelab Warga SEPAYONG telah mengadakan satu majlis makan malam yang cukup istimewa bertempat di Dewan The Bunga, Tok Has. Malam yang menghimpunkan warga SEPAYONG dalam suasana santai, penuh kemesraan dan pastinya sarat dengan kenangan. Tema pakaian pada malam itu ialah White Denim . Maka, putih dan denim menjadi pilihan masing-masing. Ada yang tampil bergaya, ada yang nampak santai, dan tidak kurang juga yang kelihatan cukup bergaya bak artis turun ke pentas. Meriah sungguh suasananya! Majlis bermula sekitar jam 8.00 malam. Seperti kebiasaan, acara dimulakan dengan ucapan daripada pengerusi Kelab Warga SEPAYONG. Ucapan ringkas yang membawa maksud dan penghargaan kepada semua warga kelab yang hadir memeriahkan majlis. Malam itu juga memberi ruang kepada salah seorang guru yang akan bertukar keluar untuk menyampaik...