Bila sebut Hari Guru, Pokcik teringat puisi Usman Awang yang cukup terkenal — “Guru O Guru.” Puisi yang tak pernah tua walaupun zaman sudah berubah. Puisi yang bila dibaca perlahan-lahan, terasa seperti tangan seorang guru sedang memegang bahu anak muridnya.
“Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa…”
Pokcik rasa itulah bait paling dalam pernah ditulis tentang guru. Kadang-kadang orang nampak guru ni sekadar kerja mengajar. Masuk kelas. Tanda buku. Buat soalan. Balik rumah. Esok ulang balik benda sama.
Tapi orang tak nampak letih seorang guru yang menyimpan masalah sendiri sambil tetap tersenyum depan murid.
Tak nampak cikgu yang pagi-pagi lagi sudah sampai sekolah sebab mahu buka pintu makmal.
Tak nampak guru yang diam-diam keluarkan duit sendiri beli pensel untuk murid yang selalu datang dengan poket kosong.
Dan paling orang tak nampak… ada guru yang pulang ke rumah dengan hati yang penat, tapi esok tetap datang membawa semangat.
Itulah guru.
Mereka bukan sekadar mengajar huruf. Mereka membentuk manusia.
Pokcik membesar di kampung. Dulu cikgu-cikgu datang naik motor kapcai merah. Baju hujan lusuh tergantung belakang motor. Kadang-kadang jalan becak, tayar tenggelam dalam lumpur. Tapi mereka tetap datang mengajar anak-anak kampung yang kasut pun ada sepasang saja.
Hari ini dunia berubah. Ada AI, ada internet, ada skrin besar, ada kelas digital. Tapi satu benda tak berubah…
Hati seorang guru.
Masih sama.
Masih mahu melihat anak muridnya berjaya walaupun kadang-kadang namanya sendiri tak pernah disebut selepas kejayaan itu.
Sebab itu bila tema Hari Guru tahun ini “Guru Bitara Nadi Negara”, Pokcik rasa tema itu bukan sekadar slogan.
Negara ini berdiri atas bahu guru-guru yang sabar.
Dan mungkin… antara manusia paling ikhlas pernah kita jumpa dalam hidup ialah seorang guru yang pernah percaya kita boleh berjaya sewaktu satu dunia memandang kita biasa-biasa saja.
Selamat Hari Guru.
Untuk semua cikgu yang pernah mengajar dengan hati.

Ulasan