Langkau ke kandungan utama

Catatan Orang kecil dihujung Kampung

Kenapa Pokcik tulis blog gaya kampung, bercerita tentang kampung. Sebab gaya orang kampung tu ada dijiwa Pokcik. lagi pun dah ramai yang tulis blog tentang kehidupan dibandar. Biar Pokcik bercerita tentang hobi berkebun pokcik, kisah hidup pokcik dikampung. Harap sahabat semua jangan jemu singgah baca catatan-catatan pokcik di blog ini.

Itu sebab bila Pokcik cerita pasal kebun, mesin rumput atau sekadar minum kopi di bilik guru, benda biasa jadi ada nilai emosi.
Gambar janaan AI 

Ramai yang dah tulis tentang motivasi. Buka telefon, ada saja nasihat tentang kejayaan. Tentang bangun pagi pukul lima. Tentang kaya sebelum umur empat puluh. Tentang hidup kena sentiasa positif. Ramai juga yang menulis soal agama. Soal akhirat. Soal dosa pahala. Dan ramai juga yang pandai bercakap pasal kewangan, pelaburan, saham, emas dan macam-macam lagi.

Pokcik baca juga kadang-kadang. Tapi Pokcik diam saja. Sebab Pokcik tahu… itu bukan bidang  Pokcik. Pokcik bukan ustaz. Bukan pakar motivasi. Bukan orang kaya yang pandai bercerita pasal duit.

Pokcik cuma orang kampung. Yang hidupnya dekat dengan rumput panjang di kebun. Dekat dengan bunyi mesin rumput semasa pagi masih berembun. Dekat dengan kopi panas atas meja kayu. Dekat dengan wajah-wajah sahabat lama yang makin dimamah usia.

Sebab itu Pokcik menulis kisah yang dekat dengan jiwa Pokcik sendiri. Kisah orang kampung yang kadang-kadang dipandang kecil oleh dunia. Padahal di situlah banyaknya manusia yang kuat menanggung hidup tanpa banyak bunyi. Orang yang ketawa walau poket kosong. Orang yang tetap turun ke kebun walau lutut makin sakit. 

Biarlah orang lain menulis tentang dunia.
Pokcik mahu menulis blog tentang manusia-manusia kecil di hujung kampung yang dunia pun jarang pandang.

Ulasan

Suria Amanda berkata…
Setuju sangat Pokcik! Walaupun nampak macam rutin biasa, tapi sebenarnya banyak nilai sabar dan syukur dalam hidup orang kampung. SA pun suka dengar cerita pasal mesin rumput dan bau embun pagi ni, rasa tenang je baca. Moga Pokcik terus sihat untuk berkongsi lagi!
NaSa berkata…
betul pokcik. matlamat semua orang tak sama, tak semua fokus ke arah kejayaan teratas je. kita update rutin harian & topik yg dekat dgn jiwa kita pun dah bahagia
#JMBELOG berkata…
terbaik pakcik
Warisan Petani berkata…
Samalah kita sealiran
usryabdullah berkata…
Saya pun suka menulis tentang kehidupan harian yang dekat dengan masyarakat. Tentang rezeki, tentang kecewa, tentang syukur.