Pagi itu Mail Towing duduk di hujung meja kedai kopi macam biasa. Kerusi plastik hijau yang selalu berbunyi bila dia bersandar itu pun hari ni diam saja, seolah-olah faham tuannya sedang banyak fikir.
Depan dia secawan kopi O panas.
Asap nipis naik perlahan-lahan, melinting di depan muka Mail yang kusut belum bercukur dua tiga hari. Rambut bawah topi lusuhnya terkeluar sikit di tepi telinga. Mata dia pula jauh entah ke mana, padahal depan mata cuma jalan kampung yang lengang dengan motosikal sesekali lalu.
Mail tak terus minum.
Tangan dia cuma pegang cawan lama-lama. Jari hitam kena minyak towing melekap pada telinga cawan putih yang sudah retak halus di tepi. Sekali-sekala dia pusing sudu perlahan.
“Tik… tik… tik…”
Bunyi kecil itu tenggelam dalam suara radio lama kedai kopi yang memutarkan lagu lama Search.
Pokcik yang duduk depan dia tahu… kalau Mail banyak kacau kopi, maknanya hati dia tengah tak tenang.
“Kenapa Mail… kereta tak ada tarik ka semalam?” Pokcik tanya perlahan.
Mail senyum nipis saja. Senyum orang yang penat lebih daripada gembira.
“Hmmm… kereta ada. Duit tak ada.”
Lepas itu dia hirup kopi perlahan. Tak macam selalu. Selalu Mail kalau minum kopi macam orang berlumba — panas macam mana pun bedal juga. Tapi pagi itu lain benar gayanya.
Dia telan lama.
Kemudian pandang keluar kedai.
“Anak nak masuk 'U' bulan depan…” katanya perlahan, hampir tenggelam dengan bunyi cawan orang lain berlaga.
Pokcik diam.
Kadang-kadang lelaki macam Mail ni bukan mahu orang bagi duit pun. Dia cuma mahu ada orang dengar sekejap beban dalam dada dia.
Kopi depan Mail makin lama makin sejuk.
Asap pun sudah hilang.
Tapi tangan dia masih tak lepas daripada cawan itu… macam kalau dia lepaskan juga, segala masalah hidup akan jatuh bertaburan atas meja kedai kopi pagi itu.

Ulasan