Hari ini pokcik cuti. Cuti kerana nak pergi ambil anak perempuan bongsu yang tamat sesi pengajian di kolej matrikulasi Gambang. Alhamdulillah, satu lagi fasa hidup anak selesai. Cepat sungguh masa berjalan. Rasa macam baru semalam hantar dia daftar masuk kolej.
Pagi tadi pukul 8.30 pagi pokcik bertolak dari rumah. Awal-awal lagi jalan sudah mula sibuk. Biasalah bila perjalanan jauh ni, pokcik lebih suka bawa kereta santai-santai. Tak mahu kelam kabut. Dalam perjalanan tu macam-macam pokcik fikir. Tentang anak-anak… tentang masa yang terlalu cepat meninggalkan kita.
Dulu masa mula-mula hantar dia masuk matrikulasi Gambang, hati pokcik ni bercampur-baur juga. Anak perempuan pula tu. Bila sampai kolej, tengok ramai ibu ayah lain pun sama. Ada yang senyum, ada yang sembunyi sedih. Masa tu Pokcik menginap kat hotel. Pokcik order ayam Gepuk AG sebagai makanan malam tu kat hotel. Ada pokcik cerita tentang peristiwa tu kat sini dulu.
Hari ini, selepas selesai ambil anak di kolej, pokcik singgah di kedai Ayam Gepuk AG Gambang.. nak ambil rasa. Entah kenapa rasa macam satu pusingan hidup lengkap semula. Dulu makan dengan rasa berat hati tinggalkan anak di kolej… hari ini makan dengan rasa syukur sebab anak sudah tamat pengajian.
Sampai sahaja di Gambang tadi sekitar pukul 1 tengah hari. Cuaca redup sedikit tapi hati pokcik tenang tengok anak sudah selesai urusan belajar dia. Dalam kereta masa perjalanan balik, banyak juga kami sembang. Tentang pengalaman duduk asrama, tentang kawan-kawan, tentang makanan kolej yang kadang sedap kadang “survival”. Pokcik pula lebih banyak dengar sambil sesekali menyampuk.
Perjalanan balik ke Jerteh agak panjang juga. Badan memang terasa letih, tapi bila anak ada sebelah, rasa penat tu kurang sikit. Alhamdulillah, kami selamat sampai di Jerteh sekitar pukul 6 petang.
Begitulah hidup sebagai ibu ayah ni agaknya. Dari menghantar… kemudian menunggu… akhirnya datang semula menjemput anak pulang dengan satu kejayaan kecil dalam hidup mereka. Walaupun bukan majlis besar atau konvokesyen mewah, bagi pokcik ini tetap satu kebanggaan.
Kadang-kadang kebahagiaan hidup ni bukan benda besar pun.
Sekadar perjalanan jauh ambil anak pulang… singgah makan ayam gepuk… dan dapat tengok anak senyum dalam kereta sepanjang perjalanan balik pun sudah cukup buat hati seorang ayah rasa penuh.


Ulasan