Walimatulurus perdana

Pagi tadi, tepat jam 8 pagi. Pokcik berkejar ke Masjid Hadhari Jerteh memenuhi undangan sahabat sepermainan dan jiran sewaktu kecil pokcik. Bukan sekadar undangan tetapi pokcik diminta menjadi saksi bagi perkahwinan anak perempuan sulong rakan dan jiran pokcik. 

Rakan dan juga jiran waktu kecil pokcik sekarang menetap di Raub mengikuti suaminya bertugas disana

Program perkahwinan secara beramai-ramai ini sudah masuk kali ketiga di daerah ini. Melibatkan seramai 21 pasangan.

Selamat pengantin baru buat anak sahabat pokcik dan juga kesemua pasangan yang melangsungkan perkahwinan hari ini.


Petang jumaat yang damai

Petang jumaat yang damai. Selesai solat asar tadi, pokcik memenuhi permintaan anak perempuan pokcik yang ingin sangat memancing ikan diparit tempat dua pupu memancing. Sampai sana tadi tengok sepupu pokcik bersama anaknya dan seorang lagi sahabat sepupu pokcik sedang leka memancing ikan.

Memancing ikan diparit ini bagi pokcik tidak seseronok memancing ikan dalam petak sawah padi. Dipetak sawah padi kalau sejam tu pokcik biasa sudah dapat dalam tiga puluh ekor puyu bercampur dengan ikan haruan tetapi mengail diparit ini agak lambat sikit... Mungkin kerana parit ini aliran airnya banyak atau parit yang panjang tidak seperti petak sawah yang cetek dan ikan hanya berkumpul disatu tempat yang memudahkan pancingsp disambar ikan.

Bila ikan keli mula mengena dipancingan bini pokcik dan keseronokan nya memancing keli pokcik layan jugalah keseronokan mereka. Walaupun dapatnya tidaklah seberapa... Janji bahagia..



Hari Anugerah kecemerlangan 2018

Seperti biasa bila ada acara atau majlis besar kat sekolah pokcik ditugaskan sebagai jurukamera... Didalam buku acara dicatatkan sebagai jawatankuasa dokumentari.. begitulah saban tahunnya. Tidak terkecuali juga tahun ini..

Lagi satunya, bila akhir tahun banyak sekolah kat Malaysia ni buat majlis anugerah kecemerlangan.. ini acara wajib. Kat sekolah pokcik, tak taulah kat tempat lain.. rasanya sama.

Majlis ini bagi memberi penghargaan kepada pelajar pelajar yang cemerlang dalam akademik dan jugak sebagai satu perangsang kepada pelajar yang lain untuk berjaya.

Pokcik nak kongsi beberapa keping gambar acara yang berlangsung tu kat sini






Novel yang sedang dibaca #4 - Angkara Sihir Magna Sayap Hitam

Alhamdulillah, masa yang terluang sehari dua ni berkesempatan berkunjung ke perpustakaan awam membelek belek stok buku baru yang ada dirak pustaka.

Nampak banyak buku baru yang dipamerkan dirak.. kali ni lari dari kebiasaannya iaitu kisah cinta.. buku baru kali ini banyak dari genre seram dan aksi thriller..Kena dengan jiwa pokcik.. Angkara Sihir Magna Sayap Hitam jadi pilihan..

Sinopsis nya..



Novel MAGNA SAYAP HITAM membawakan kisah Zettrion, sebuah dunia tanpa warna dan tiada undang-undang yang terpakai di situ melainkan amalan sihir yang berleluasa. Pertarungan sentiasa berlaku. Manusia yang lebih kuat dan kejam akan dihormati berdasarkan pada pangkat yang tertera pada lengan manusia di Zettrion ini.


Efix, manusia putih yang besar dan kuat tetapi pecinta kedamaian. Dan kerana dia tidak seperti manusia lain dan sikapnya yang berbeza itu, Efix dibenci oleh keluarganya sendiri. Impian Efix adalah untuk berhijrah ke planet Bumi kerana manusia di Zettrion ini berasal dari planet Bumi. Bagi Effix, Bumi punyai keindahan dan keamanan yang didambakannya. 


Hasratnya itu semakin bergelora apabila dia termakan dengan hasutan Izze bahawa manusia yang paling kejam dan yang mencapai pangkat paling tinggi akan ditumbuhi Sayap Hitam yang membolehkan mereka terbang ke planet Bumi. Akhirnya Efix mula melakukan kejahatan demi kejahatan... 

Gambar hari rabu #49 - model iklan


Tiba-tiba terasa macam model iklan..🤔🤔.. betul ke.. Koya pokcik ni..

"Lelaki Kiriman Tuhan"

Bila van MILO masuk sekolah

Semua orang ada kenangan zaman persekolahan terutamanya sekolah rendah. Salah satunya ialah  dengan minuman MILO . Tapi diwaktu pokcik sekolah dahulu tiada van milo yang masuk ke sekolah yalah kan tahun 70an masa tu.

Sekarang ni siap  van milo masuk dan bagi minuman ni secara percuma kat pelajar-pelajar.. tahniah dan terima kasih MILO..

Pokcik nak kongsi je gambar peristiwa yang berlaku bila van ni sampai kat sekolah pokcik. Bukan anak murid saja yang happy ni cikgu pun tumpang sekaki...















Jangan tikam aku

Sehari dua ni pokcik rasa panas hati. Entah rasanya mungkin bukan sehari dah berminggu lama rasanya.

Hari tu rasanya pokcik dah pesan kat kawan "jangan kau tikam aku dari belakang, kalau kau tikam aku dari depan mungkin aku dapat elak. Belakang aku tak nampak". 

Pedih hari tu. Perasaan hancur. Nak marah nak diamuk.. bercampur semua tapi kalau diikut hati mati.

Kata seorang kawan lain "kau dah tua, usah layan amarah itu. Bawaklah bersabar".

"Kalau engkau bolehkah kau sabar" Tanya pokcik.

"aahaa.. aku pun macam engkau. Nak letak kat mana kesabaran itu" kata seorang teman yang lain pulak.

"Aku rasa baik kau letak sabar engkau tu kat SABARiah " Kata aku sambil bergurau.

"Tadi kata nak diamuk, dah tak tahan sabar. Sempat lagi bergurau engkau" kata seorang kawan lagi.

"Ya lah memang aku nak marah. Aku dah bagi tau awal-awal pada dia jangan tikam aku, ni tidak bukan setakat tikam aku dari belakang tapi dikencingnya ditempat luka itu mana tak pedihnya" Kata pokcik dengan nada tinggi. Semua kawan dan teman tadi terdiam..

Ubi jari buaya - enam bulan


Tanam ubi jari buaya tidak seperti tanam ubi kentang, ubi kayu atau keledek. Semua ubi ubi tersebut cepat membesar. Berlainan pula dengan ubi jari buaya seperti dalam gambar, ubi itu berusia lebih dari enam bulan tapi tidak sebesar mana walaupun dengan pembajaan yang baik. 

Itu yang ditanam didalam polibeg yang diatas tanah pun sama. Saiz pun hampir sama. Beberapa minggu yang lepas kakak ipar pokcik minta satu ketul ubi ini untuk dijadikan ubat sakit jantung anaknya (anak sedaralah kiranya).  

Korek punya korek dalam tanah jumpalah yang sesuai untuk dijadikan sebagai ubat. Kakak ipar punya pasal pokcik bagi percuma walaupun dihulurkannya duit. Tidak tergamak pokcik. Alhamdulillah katanya sakit dan senak serta sesak nafas tu makin berkurangan.

Pokcik pernah bercadang untuk memperbanyakkan tanaman ubi ini kerana pokcik berpendapat ianya mempunyai nilai perubatan yang tinggi walaupun tidak dibuktikan dengan kajian yang sebenarnya hanya berdasarkan pendapat orang orang kampung sahaja. 

Bukan suatu masa yang singkat untuk mendapatkan seketul ubi yang benar-benar matang untuk dijadikan ubat. enam bulan atau setahun diperlukan itu bergantung pada tanah atau kesesuaian nya.

Novel yang sedang dibaca #3- Keris Long Leh

Sebuah novel yang menarik hasil tulisan Syauqie MK. Membuai perasaan seketika.. apa yang menariknya..


Novel KERIS LONG LEH mengisahkan Aminnuddin telah meminjam sebilah keris daripada bapa saudaranya bagi tujuan kajian dan mengumpul bahan untuk sebuah draf manuskrip novel. 

Amin telah mengingkari pesanan pak longnya agar tidak membuka kain kuning yang membalut keris tersebut. Keris tersebut sepatutnya dipulangkan kepada pak longnya sebelum tengah malam Jumaat iaitu malam tersebut tetapi Amin terlupa.

Sejak malam itu pelbagai perkara pelik telah terjadi. Penduduk taman perumahannya mula bercakap yang Amin ada membela saka. Budak-budak yang mengaji dengan isterinya juga takut untuk datang mengaji kerana ternampak ada jembalang yang menyerupai binatang berbulu hitam atas bumbung rumahnya. Anaknya Icad sampai pengsan dalam jamban dan anak sulungnya pula di jumpai tidur di tepi jamban. Kucing belaan keluarganya turut mati, pokok-pokok yang ditanam isterinya semuanya mati. Malah, nasi dan gulai yang baru dimasak isterinya juga basi.

Gangguan datang silih berganti. Hidupnya mulai kacau. Keris pusaka tak bertuan menjadi rebutan. Nyawanya kini terancam!

Beliau sedar waris sebenar perlu dicari bagi merungkai misteri yang menyelubunginya dan semua ini terjadi sejak dia meminjam keris daripada pak longnya itu

Ikan haruan kering


Dilangit, tiada awan kelihatan membungkus alam. Dari pagi lagi matahari mulai galak menyebar cahaya. Lebih seminggu hujan mencurah bumi kawasan ini seperti tengkujuh ingin melanda. 

Langit yang cerah ini diambil kesempatan oleh jiran-jiran pokcik untuk menyidai kain diampaian, tidak terkecuali pokcik ambil kesempatan juga untuk menjemur ikan haruan yang dipancing beberapa hari yang lalu. 

Kalau sehari jemur belum tentu lagi elok keringnya ikan ini.. harapan semoga esok mentari tetap bersinar.


Memancing ikan disawah


Petang yang damai dengan angin yang bertiup manja. Pokcik bersama isteri luangkan masa bersama turun ke bendang. Bukan untuk mengerjakan sawah sebagai mana kebanyakan penduduk kampung. Mereka ada tanah sawah untuk dikerjakan.

Seawal pagi lagi pokcik telah rancang untuk memancing puyu dan haruan. Cengkerik sebagai umpan telah dibeli sebanyak RM4.00 (20 ekor seringgit).

Alhamdulillah rezeki selepas asar tadi. Cuaca yang cerah setelah beberapa hari hujan menjadikan puyu dan haruan galak menyambar umpan yang dijatuhkan.

Puyu dan haruan ini selain digoreng kunyit, dibuat pekasam pun sedap. Sementara menanti tengkujuh melanda.

Bernama baru

Alhamdulillah, Pokcik kembali ...

Ya kembali lagi, kembali dengan berwajah. dengan kembali kepada blogspot. Pokcik tidak mahu sebarang komitmen untuk renew domain setiap tahun.

Beberapa  minggu yang lalu kesihatan pokcik tidak menentu itu yang menyebabkan pokcik hilang semangat untuk berblog. Kini Alhamdulillah kembali sihat semula.

Downgrade dari dot com ke blogspot itulah yang lebih baik difikiran pokcik. Walaupun apa orang nak kata itulah keputusan terbaik dari pokcik..