Petang tadi masa Pokcik dok bersihkan kawasan kebun, ada seorang sahabat singgah bawah pondok. Dia tengok anak-anak getah yang baru tanam tu lama juga. Lepas tu dia tanya sambil gelak kecil.
“Kamu tanam getah ni… nanti siapa nak menoreh? Masa tu kamu dah tua dah.”
Pokcik pun gelak jugalah.
“Tanam dulu,” jawab Pokcik pendek.
Memang betul pun. Pokcik ni bukannya fikir jauh sangat sampai dua puluh tahun ke depan. Kadang-kadang hidup ni kena mula dulu. Tanah kalau dibiarkan kosong, semak cepat naik. Bila tanam pokok, sekurang-kurangnya ada juga benda yang membesar bersama usia kita.
Gambar Janaan AI
Dia tanya lagi.
“Kenapa tak tanam sawit? Lagi cepat hasil. Tiga tahun dah boleh berbuah.”
Pokcik hirup kopi panas bawah pondok sambil tengok lereng kebun yang baru ditebas. Bukan Pokcik tak fikir pasal sawit. Orang sekarang ramai tanam sawit sebab cepat nampak hasil. Tapi bagi Pokcik, sawit ni kos dia besar. Anak benih mahal, baja pun banyak makan duit. Belum kira lagi nak jaga dan bersihkan kebun.
Getah lain sikit.
Kebun getah ni boleh mohon bantuan tanam semula RISDA. Sedikit sebanyak ringan juga beban orang kampung macam Pokcik ni. Tak adalah semua benda kena keluar duit poket sendiri.
Lagipun Pokcik ni orang lama. Dari kecil mata ni dah biasa tengok pokok getah berdiri dalam kabus pagi. Bunyi mangkuk getah berlaga waktu subuh tu macam dah sebati dengan hidup orang kampung.
Orang boleh kata apa saja. Ada yang kata lambat hasil. Ada yang kata penoreh dah makin kurang. Semua tu Pokcik dengar juga.
Tapi entahlah…
Kadang-kadang manusia ni bukan tanam sebab nak kaya cepat sangat pun. Ada orang tanam sebab minat. Ada orang tanam sebab sayang tanah. Dan ada juga orang macam Pokcik… yang cuma tak mahu tengok kebun jadi hutan semak bila umur makin tua nanti.

Ulasan