Awal pagi tadi pokcik terima satu perkhabaran duka, sepupu pokcik yang tinggal di Kerteh 2 telah kembali ke rahmatullah. Adik dan emak pokcik sempat bertolak awal pagi untuk menziarahi dan menghadiri pengebumian kerana katanya jenazah akan dikebumikan sekitar jam 10 pagi.
Pokcik pula terikat dengan urusan penting di PPD, jadi agak lewat sedikit untuk ke sana. Dalam lebih kurang jam 12 tengahari, pokcik bersama mokcik, anak nombor dua, menantu dan cucu, baru berangkat menuju ke Kerteh. Jarak perjalanan hampir tiga jam.
Walaupun tak sempat menatap jenazah buat kali terakhir, yang lebih penting bagi pokcik ialah kita tetap hadir, menunjukkan kebersamaan sebagai sebuah keluarga.
Selesai urusan di sana, kira-kira pukul lima setengah petang pokcik bertolak balik. Kali ini berkonvoi pula dengan sepupu (adik kepada arwah) beserta keluarganya.
Dalam perjalanan, kami singgah di Kuala Berang untuk makan-makan, sambil lepaskan penat. Kemudian kami teruskan perjalanan ke rumah anak sepupu pokcik di perumahan TNB yang tidak jauh dari restoran kami makan ini.
Menjelang jam 7 malam, kami semua bertolak balik ke rumah masing-masing. Perjalanan hari ini penuh dengan pelbagai rasa sedih, penat tapi juga rasa syukur kerana masih dapat berkumpul bersama keluarga, saling menguatkan antara satu sama lain. Begitulah erti sebuah kebersamaan, walaupun dalam saat berduka.
Ulasan