Masing-masing tekun, tunduk dengan kertas lukisan depan mata. Ada yang pegang pensel warna macam nak pecah, ada yang teliti betul-betul ikut garisan. Yang paling menarik, gambar yang mereka warnakan bukan sebarang gambar, ada bendera Jalur Gemilang, ada wajah rakyat Malaysia pelbagai kaum, dan kata-kata semangat “Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-68”.
Nampak kecil, tapi dalamnya besar melalui warna-warna yang mereka pilih, terserlah semangat cinta negara yang mula bercambah sejak bangku sekolah rendah lagi. Bila bendera dicorakkan dengan merah, putih, biru, dan kuning, seakan-akan ada rasa bangga dalam hati mereka walaupun masih kecil.
Pokcik perhati ada seorang budak ni, tekun betul warnakan jalur bendera. Dipegangnya pensel warna merah dengan penuh hati-hati. Sesekali dia tengok balik contoh warna bendera kat meja, takut salah. Itulah, walaupun nampak macam main-main, sebenarnya dari kecil lagi mereka dah belajar erti tanggungjawab walau sekadar memastikan bendera negara diwarnakan dengan betul.
Pertandingan ni bukan sekadar nak cari pemenang, tapi lebih kepada memupuk rasa cinta pada tanah air. Dalam riuh rendah suara budak-budak yang gelak ketawa, ada terselit satu mesej yang cukup penting: Malaysia ni rumah kita bersama, dan setiap warna pada Jalur Gemilang tu ada makna yang perlu kita hargai.
Ulasan