Sejak bulan lepas, angin di Kampung Seri Bayas mula berubah. Ia tidak lagi mendamaikan. Setiap kali berhembus, ada dingin yang membelai kulit secara ganjil, seolah-olah membawa pesan dari alam yang lain. Penduduk kampung, yang biasanya pulang lewat dari surau atau warung, kini mula bergegas pulang awal. Pintu-pintu dikunci lebih awal, tirai ditutup lebih kemas, dan langkah kaki menjadi lebih laju — semuanya bermula selepas wang mula hilang secara misteri.
Pada awalnya, ia cuma kebetulan. Wang seringgit, dua ringgit, hilang dari poket atau dompet. Tidak diendahkan. Namun bila kejadian berulang, dari rumah ke rumah, dari orang ke orang, barulah timbul bisik-bisik. Tiada kesan pecah masuk. Tiada kecurigaan terhadap sesiapa.
Kecuali satu rumah.
Rumah batu lama di hujung kampung. Warna catnya pudar dimamah hujan, jendelanya sentiasa tertutup, dan penghuninya, seorang lelaki tua pendiam, jarang sekali keluar rumah. Tidak berkebun, tidak ke masjid, tidak ke warung. Tapi sesekali, lori penghantar barang datang ke hadapannya. Tiada siapa tahu dari mana datangnya duit si tua itu.
Sehingga suatu pagi, semasa sarapan di warung Pak Yeh, nama yang telah lama terkubur dalam perbendaharaan kampung muncul kembali.
“Aku tak tuduh sesiapa, tapi kalau barang hilang tanpa jejak… itu kerja Toyol.”Mail Towing mengucapkannya perlahan, namun cukup untuk membuat semua mata tertumpu padanya. Suara ayam yang tadi galak berkokok pun terasa perlahan selepas itu.
Daud pulang dari warung pagi itu dengan perasaan bercampur. Rumah Daud tidak pernah kehilangan duit, tapi Daud teringat akan satu kejadian yang berlaku minggu lalu. Waktu itu, Daud bangun malam untuk ke bilik air. Di luar tingkap, Daud terlihat sesuatu, bayang kecil berlari melintas laman rumah, rendah, seolah-olah anak kecil, tapi… tidak seperti anak mana-mana jiran.Daud sangka itu mimpi. Tapi pagi esoknya, duit dalam dompet isteri Daud hilang RM20. Daud diamkan sahaja.
Namun selepas mendengar cerita Mail, Daud tidak mampu lagi menafikannya.
Petang itu, Daud ke rumah Tok Jenal, orang tua yang dahulu dikenali sebagai dukun kampung sebelum bertaubat. Rumahnya diteduhi pokok ara, dan bau kayu gaharu sentiasa memenuhi ruang tamu kecilnya.
Tok Jenal mendengar cerita Daud dengan tenang. Dia tidak terkejut. “Toyol itu tidak mati,” katanya sambil menyalakan rokok daun. “Ia terikat pada tuannya… dan jika tuannya mati atau berpindah, ia akan mencari pengganti.”
Menurutnya, Toyol bukan sekadar makhluk kecil yang mencuri harta. Ia adalah cerminan nafsu manusia yang sanggup menggadaikan maruah demi kemewahan. Ia memerlukan perhatian, kasih sayang, dan kepercayaan, sama seperti anak kecil. Namun bezanya, kasih sayang yang diberikan padanya tidak berbalas, melainkan dengan kehancuran perlahan-lahan.
“Jangan sesekali pandang enteng pada yang kecil,” bisik Tok Jenal. “Kerana yang kecil itulah yang kadang-kadang menumbangkan seluruh rumah.”
Malam Jumaat itu, seluruh kampung berkumpul di surau untuk bacaan Yasin dan solat hajat. Tok Imam memimpin doa, tetapi malam itu lebih sunyi daripada biasa. Angin tidak bertiup, dan bunyi cengkerik pun lenyap entah ke mana.
Ketika ayat alunan suci Al-Quran dibaca, Daud terdengar bunyi sesuatu berlari di luar surau. Tapak kaki kecil, laju, dan tidak stabil. Daud menoleh ke luar. Tiada sesiapa. Tetapi naluri Daud berbisik… sesuatu sedang mengelilingi surau.
Selepas malam itu, kejadian kehilangan berhenti. Rumah di hujung kampung itu juga sepi, lelaki tua itu hilang, tidak diketahui ke mana. Tetapi perubahan aneh mula dirasai.
Setiap malam bulan terang, apabila Daud melewati jalan sunyi berhampiran rumah itu, Daud terdengar semacam ketawa halus, bukan tawa manusia, tapi nyaring seperti anak kecil yang tidak pernah diajar takut.
Dan pagi tadi, semasa Daud menyapu laman rumah, Daud ternampak tapak kaki kecil berbekas di atas tanah basah, hanya satu jejak. Tidak ada masuk, tidak ada keluar.
Daud pandang ke arah rumah batu di hujung jalan. Ia sunyi, seperti biasa.Tapi Daud tahu… sesuatu masih tinggal di situ.
Ulasan