Ada rezeki yang datang tanpa kita minta. Kadang-kadang bukan besar nilainya pada harga, tetapi besar maknanya pada ingatan dan kasih sayang.
Kali ini Pokcik menerima hadiah sebuah smartphone daripada anak nombor dua. Katanya, telefon yang Pokcik gunakan selama ini sudah agak lama. Barangkali dia perasan telefon itu sudah banyak berjasa, menemani Pokcik mengambil gambar, menulis catatan blog, merakam video kebun dan bermacam-macam lagi urusan harian.
Maka hari ini, sebuah telefon baharu menjadi hadiah daripada seorang anak buat ayahnya.
Bukan Pokcik seorang sahaja yang menerima rezeki. Mokcik pun mendapat sebuah smartphone model yang sama. Nampaknya kali ini kami berdua sama-sama bertukar telefon. Alhamdulillah, terima kasih anak. Semoga murah rezeki dan dipermudahkan segala urusan hidupmu.
Bagi Pokcik, hadiah seperti ini bukan sekadar sebuah telefon. Di sebaliknya ada ingatan seorang anak terhadap orang tuanya. Ada kasih sayang yang tidak semestinya diluahkan dengan kata-kata.
Hari ini Pokcik sudah sampai dan akan menginap di Residensi Prima, Kajang. Perjalanan kali ini membawa Pokcik dan Mokcik ke sini untuk beberapa hari.
Banyak juga perkara yang boleh dibuat sepanjang berada di sini. Sesekali keluar daripada rutin harian di kampung, melihat suasana tempat orang dan menikmati sedikit kelainan dalam kehidupan.
Pokcik akan pulang pada 24 November nanti. Jadi, masih ada beberapa hari lagi untuk menikmati suasana di sini sebelum kembali semula ke Besut.
Telefon baharu pun sudah ada. Barangkali selepas ini lebih banyak gambar akan tersimpan dalam galeri. Mana tahu, ada cerita menarik yang boleh Pokcik kongsikan di blog Kebun Pokcik.
Begitulah kehidupan. Usia semakin bertambah, anak-anak pula semakin dewasa. Dahulu kita yang menyediakan segala-galanya untuk mereka. Hari ini, sesekali mereka pula menghadiahkan sesuatu buat kita.
Terima kasih anak. Hadiah ini Pokcik terima dengan penuh kesyukuran.

Ulasan