Ada satu jenis sayur yang sudah bertahun-tahun pokcik pandang dengan penuh curiga. Bukan sebab tak suka, bukan juga sebab tak mampu beli. Tetapi disebabkan cerita-cerita yang selalu pokcik dengar daripada orang sekeliling.
Kacang botor.
Kata orang, kacang botor ni sejuk. Orang yang ada uluran angin, medu atau GERD macam pokcik ni tak elok makan. Nanti macam-macam boleh jadi. Perut boleh meragam, angin boleh naik dan entah apa lagi cerita yang sampai ke telinga.
Jadi, bertahun-tahunlah pokcik tak makan kacang botor. Tengok orang makan, pokcik tengok saja.. Maklumlah, bila bab perut ni pokcik agak berhati-hati. Perut pokcik ni bukan boleh dibuat main. Ada kalanya perangainya lebih sukar dijangka daripada cuaca musim tengkujuh.
Kebetulan pula, pokcik ada menanam kacang botor di kebun. Pokoknya sudah mula mengeluarkan hasil. Buah-buah muda bergayut elok pada pokok. Setiap kali tengok, terliur juga dibuatnya.
Akhirnya pokcik buat keputusan. Kali ni nak cuba juga!
Pokcik dah beritahu Mokcik, "Apa nak jadi, jadilah. Pokcik nak makan jugak. Dah lama sangat tak merasa."
Mokcik mungkin tersenyum saja mendengar keputusan pokcik. Barangkali dalam hatinya, macam-macam difikirkan. Maklumlah, selama ini pokciklah orang yang paling banyak pantang larang apabila berdepan dengan makanan.
Dua hari lepas, bermulalah sejarah baharu dalam hidup pokcik dengan kacang botor.
Pokcik ambil tiga batang. Tiga saja dulu. Tak berani nak makan banyak-banyak. Kacang botor tu pokcik potong kecil-kecil, kemudian cicah dengan budu.
Fuhh... sedap sungguh!
Selepas makan nasi, pokcik mula menjalankan pemeriksaan dalaman. Setengah jam berlalu, pokcik cuba rasa keadaan perut. Ada apa-apa perubahan? Ada angin naik? Ada rasa tak selesa?
Alhamdulillah, setakat percubaan kecil itu, tiada apa-apa kesan yang pokcik perasan.
Terus pokcik beritahu Mokcik, "Pokcik rasa menyesal sungguh. Menyesal sebab tak makan kacang ni awal-awal dulu."
Bayangkan, bertahun-tahun pokcik menjauhkan diri daripada sejenis sayur yang rupa-rupanya begitu menyelerakan. Kalau tahu sedap macam ni, mungkin dah lama pokcik berdamai dengannya.
Hari ini, dalam hidangan atas meja dapur, kacang botor sudah menjadi antara benda wajib. Ada budu, ada ikan selayang bakar tawar dan semangkuk kecil kacang botor segar.
Hidangan ringkas orang kampung. Tak perlu lauk mahal-mahal. Cukup dengan nasi panas, ikan bakar, budu dan kacang botor. Boleh bertambah nasi dibuatnya.
Cuma pokcik nak pesan sedikit. Pengalaman pokcik makan tiga batang kacang botor tanpa mengalami apa-apa kesan bukan bermakna semua orang yang ada GERD atau masalah perut boleh makan tanpa masalah. Keadaan setiap orang berbeza. Pokcik pun masih kena perhatikan reaksi badan sendiri.

Ulasan