Pagi ini Pokcik memulakan hari dengan sedikit kelainan. Bukan nasi berlauk, bukan juga roti canai. Sebaliknya, sarapan pagi kali ini ditemani kuih tradisional orang kampung yang dikenali sebagai tepung bukus.
Tepung bukus hasil air tangan Mokcik yang kebetulan mempunyai sedikit kelapangan masa untuk menyediakannya. Nampak sederhana sahaja, tetapi apabila dapat menikmatinya bersama secawan minuman panas, terasa cukup menyelerakan.
Kebetulan pula pagi ini hujan turun membasahi bumi. Sejak awal pagi lagi bunyi hujan kedengaran di luar rumah. Suasana jadi sedikit dingin, angin bertiup perlahan dan halaman rumah pun mula dibasahi air hujan.
Sebenarnya Pokcik sudah merancang hendak turun ke kebun pagi ini. Ada kerja menebas yang perlu diselesaikan. Rumput di beberapa bahagian kebun sudah mula meninggi, menunggu masa untuk dibersihkan.
Nampaknya rancangan itu terpaksa ditangguhkan dahulu. Hendak menebas dalam keadaan tanah basah dan hujan begini, bukanlah kerja yang begitu menyenangkan.
Jadi, pagi ini kita berehat seketika. Menikmati tepung bukus buatan Mokcik sambil melihat hujan yang belum menunjukkan tanda-tanda hendak berhenti.
Kerja kebun boleh disambung apabila cuaca kembali mengizinkan. Bukan setiap hari kita berpeluang menikmati pagi yang tenang begini.

Ulasan