Pagi itu hujan turun renyai-renyai. Awan masih tebal menutupi langit. Di warung kecil di hujung kampung, Pokcik, Mat Rizal, Mail Towing dan Tok Awang sedang menikmati kopi panas.
"Musim tengkujuh dah mari. Tahun ni nampaknya kena bersedia sikit," kata Pokcik sambil mengacau kopi.
Mat Rizal mencapai telefon bimbitnya.
"Aku ada baca laporan METMalaysia. Monsun Timur Laut musim 2026/2027 dah bermula pada 27 Oktober dan dijangka berterusan sampai Mac tahun depan."
Mail Towing menyampuk.
"Habis tu, berapa lama kita nak hadap hujan ni?"
"Menurut ramalan Jabatan Meteorologi, antara November hingga Januari dijangka berlaku tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan. Kawasan Pantai Timur macam Kelantan dan Terengganu memang antara kawasan yang perlu diberi perhatian. Kawasan rendah dan berhampiran sungai berisiko banjir," jawab Mat Rizal.
Tok Awang mengangguk perlahan.
"Patutlah orang kampung kena mula bersiap. Parit kena bersihkan, barang-barang kena angkat. Jangan tunggu air sampai ke tangga baru nak kelam-kabut."
Pokcik menambah, menjelang fasa akhir monsun dari Januari hingga Mac 2027, taburan hujan pula dijangka berkurangan. Cuaca berpotensi menjadi lebih panas dan kering, dengan pengaruh fenomena Super El Niño yang sedang dipantau.
Mail Towing tiba-tiba mencelah.
"Kamu ni dok cerita hujan dan banjir saja. Tak nampak ke sawah belakang kampung tu? Semalam aku tengok orang dah mula memukat!"
Tok Awang terus mengangkat muka.
"Haa... betullah. Musim tengkujuh ni ada satu perkara yang orang kampung tunggu. Musim ikan darat!"
"Tok Awang, kamu tak turun memukat ke?" tanya Mat Rizal.
Tok Awang menggeleng. "Aku tak tahan sejuk. Aku tunggu orang lain naikkan ikan. Rasa nak makan aku bayar aje"
Bagi orang yang membesar di kampung, musim memukat ini bukan sekadar mencari lauk. Ada kenangan lama yang datang bersama bau lumpur sawah, air parit dan suara kawan-kawan yang saling memanggil dari batas ke batas.
Kadang-kadang hasilnya tidak seberapa. Tetapi kegembiraan ketika menarik pukat itulah yang membuatkan orang sanggup turun ke sawah.
Hujan mungkin membawa kesusahan kepada sesetengah orang, tetapi dalam kehidupan kampung, setiap musim ada rezekinya.
Cuma Tok Awang berpesan sebelum kami bersurai.
"Kalau turun memukat, jangan lupa tengok cuaca. Ikan boleh dicari lagi, nyawa jangan dibuat taruhan."
Kopi pun habis. Hujan masih belum berhenti.
Dan di sawah sana, ada orang masih belum mahu pulang kerana pukat terakhir belum ditarik.
p.s ...Cerita Kedai kopi hanya rekaan semata-mata.

Ulasan