Ada ketikanya, pokcik duduk termenung di tepi batas, sambil tengok pokok sawi yang makin galak naik daunnya. Tangan sebelah pegang cangkul, tangan sebelah lagi pegang cawan kopi. Angin pagi lalu pelan-pelan, bawa sekali fikiran pokcik yang entah melayang ke mana.
Pokcik teringat satu ayat dalam buku The Psychology of Money —
“Kekayaan sebenar ialah bila kita boleh buat apa yang kita suka, bila kita suka, dengan siapa kita suka.”
Dan teringat pula kata-kata P.Ramlee dalam Filemnya.... "kekayaan bukan terletak di tangan bapak.............."
Pokcik senyum sendiri. Betul sungguh. Orang sekarang kejar kaya, tapi ramai tak sempat nak rasa tenang. Sibuk kerja siang malam, nak beli itu ini, tapi bila sampai rumah, kepala masih serabut. Hati tak pernah puas.
Duit tu penting, tapi...
Pokcik bukan nak kata duit tu tak penting. Pokcik pun kena beli baja, kena isi minyak motor buruk, kena beli beras. Tapi pokcik perasan, makin pokcik tua, makin pokcik rasa... duit bukan tujuan, tapi alat.
Alat untuk dapat ketenangan.
Kalau ada RM1000 tapi cukup makan, cukup bayar bil-bil rumah, cukup baju pakai bersih – itu pun dah cukup. Tapi kalau sibuk nak dapatkan RM10,000 pun hati tak tenang, anak tak sempat tengok, tidur pun tak lena... itu bukan kaya, itu penat.
Pokcik pernah rasa kejar benda yang tak perlu
Dulu pokcik pun pernah fikir nak ada semua benda. Tengok orang pakai telefon mahal, pokcik pun beli walau kena ikat perut. Tengok orang tukar rim motor, pokcik pun teringin. Tapi makin lama, makin pokcik sedar – rasa cukup tu lebih berharga daripada rasa nak lebih.
Sekarang pokcik pilih tenang.
Kaya yang sebenar – bila hati kita tak cemburu
Pokcik belajar satu benda dari buku tu – bila kita tak banding hidup kita dengan orang lain, masa tu kita betul-betul rasa kaya.
Kadang-kadang bukan kita tak cukup, tapi sebab kita asyik tengok hidup orang lain. Sedangkan hidup kita sendiri pun indah, cuma kita tak nampak.
Jadi Pokcik nak pesan pada diri sendiri dan sahabat-sahabat semua –
Jangan kejar kaya kalau akhirnya kita hilang ketenangan.
Kejar hidup yang sederhana, tapi penuh makna.
Kejar rezeki yang cukup, bukan yang membebankan.
Kejar masa yang berkualiti, bukan barang yang banyak.
Kerana dalam dunia hari ni, yang paling mahal bukan emas, bukan tanah,
Tapi jiwa yang tenang dan hati yang lapang.
Lain orang mungkin lain pendapat.. ini pandangan pokcik..
Ulasan
Terima kasih ziarah rumah Sy tempohari. Baru sempat nak kunjung balas π
Sy pun pilih tenang. Rasa cukup dgn apa yg ada dan syukur selalu.