Lepas selesai solat Asar tadi, pokcik ambil angin sekejap beranda depan rumah. Angin petang redup-redup, sakit gusi selepas cabut gigi tadi belum hilang sepenuhnya. Tengah-tengah duk melayan fikiran tiba-tiba telinga ni tertangkap bunyi letupan kecil, satu dua kali... macam ada benda meletup dari arah belakang rumah.
“Pokcik, bunyi macam rumah terbakar je tu,” kata Mokcik. Serentak dia angkat muka pandang ke arah bunyi tu. “Cuba tengok rumah siapa...”
Tak sempat fikir panjang, pokcik terus capai kain pelikat yang disangkut, selit bawah lengan dan berjalan laju ikut lorong tanah merah belakang rumah. Rumah tu kalau ikut kiraan, berselang enam lot dari rumah pokcik… dekat kawasan hujung kebun getah kecil.
Sampai je dekat situ, Allahuakbar... mata terus nampak asap pekat menjulang dari bumbung rumah Aziz, bekas kakitangan kementerian kesihatan yang dah lama pencen. Api marak dari dapur belakang, dan ada letupan kecil lagi – mungkin dari asbestos atap atau tong gas dapur yang mula panas.
Pokcik sampai, tengok anak anak muda dah siap punggah perabot dari atas rumah, bomba pun baru sampai waktu pokcik tiba tempat kejadian. Tak banyak yang boleh kami buat, api marak cepat dah jadi tugas bmba untuk padamkan api..
Aziz dan isteri waktu tu dah dibawa keluar oleh anak anak muda kampung. Jiran pokcik, Aziz ni baru beberapa bulan kena strok.
Petang yang tadi tenang berubah jadi petang yang menyentuh hati. Dalam musibah ni, pokcik tengok nilai kebersamaan tu masih hidup dalam kampung ni – tak kira tua muda, semua bantu mana yang mampu.
Malam ni pokcik doa moga jiran pokcik, Aziz dan keluarga diberi kekuatan.
Ulasan