Dulu-dulu, masa orang bersalin di rumah, lepas bayi selamat lahir, bukan sekadar kenduri kesyukuran yang ditunggu-tunggu, tapi proses berpantang yang panjang juga jadi rutin. Walaupun nampak macam menyeksa, sebenarnya penuh hikmah. Dan satu perkara yang mak-mak kita tak pernah tinggal – mengurut.
Tapi ingat ya, kalau bersalin secara pembedahan (caesarean), mengurut kena tunggu. Luka kena betul-betul pulih dulu. Jangan gopoh. Bukan semua orang boleh urut, dan bukan semua tempat boleh diurut. Ada caranya.
🌿 Kenapa mengurut tu penting sangat?
- Melancarkan peredaran darah – Lepas bersalin, badan lesu, urat pun serabut. Urut bantu betulkan balik aliran darah dan lega ketegangan.
- Mengurangkan bengkak dan angin – Badan lepas bersalin ni mudah dimasuki angin. Mengurut tolong keluarkan angin dan kurangkan rasa sejuk-sejuk badan.
- Kembalikan kedudukan rahim – Tok bidan dulu-dulu memang pakar hal ni. Rahim kena duduk elok di tempatnya, kalau tidak boleh rasa senak dan tak selesa.
- Kurangkan sakit belakang dan lenguh-lenguh – Beban masa mengandung masih terasa. Mengurut bantu reda sakit badan dan bahu.
- Menenangkan emosi – Kadang ibu lepas bersalin murung, penat jiwa dan raga. Sentuhan urutan tradisional ni ada magisnya – rasa lega, rasa disayang.
🥣 Tapi mengurut je tak cukup, sebab tu ada pantang
Orang sekarang ramai yang tak tahan berpantang. Baru dua minggu dah makan sejuk, dah angkat berat, dah keluar jalan. Bila tua nanti, mula la lenguh lutut, bisa badan, rahim jatuh… masa tu barulah teringat pantang larang mak dulu.
Berpantang ni bukan saja soal makanan, tapi seluruh cara hidup:
- Jaga makan minum – Elak makanan sejuk, angin, dan bisa. Amalkan herba, jamu, air rebusan.
- Pakai bengkung – Supaya perut kemas, elak buncit, dan bantu bentuk semula badan.
- Rehat secukupnya – Ibu baru bersalin perlukan tidur dan rehat, bukan sibuk urus rumah.
- Elak angkat berat – Rahim baru nak baik, jangan paksa diri.
- Pemikiran positif dan sokongan emosi – Ini yang paling ramai lupa. Suami kena bantu, bukan tengok saja.
🔥 Apa itu menyalai?
Bukan salai ikan, bukan salai daging. Ini salai badan. Dalam tradisi Melayu, selepas bersalin, badan wanita dianggap “sejuk” dan “terbuka”. Jadi, proses menyalai digunakan untuk panaskan badan dari bawah, bantu pulihkan urat dan keluarkan angin dalam tubuh.
Biasanya, dibuat dengan cara:
- Sediakan katil rendah atau bangku panjang berlubang bawahnya.
- Di bawahnya diletak bara api kecil atau sabut kelapa yang menyala perlahan, disulam dengan herba seperti daun sireh, halia, serai wangi, daun pandan.
- Ibu duduk atau baring perlahan-lahan atas katil tu, badan dibalut kain tebal atau selimut supaya wap panas naik dan menyerap ke tubuh.
- Proses ini dibuat setiap pagi atau petang selama beberapa minit, ikut tahap keselesaan.
🌡️ Kenapa menyalai ni penting?
- Membuang angin dalam badan – Angin tak boleh duduk diam kalau dah disalai.
- Mengecutkan rahim – Panas dari wap herba bantu mengecut dan kemaskan rahim.
- Melancarkan peluh dan detoksifikasi – Badan keluar peluh, racun dalam badan pun terbuang.
- Mengelak bisa badan di hari tua – Ramai nenek kita dulu umur 70 masih ringan langkah, sebab pantang mereka kemas – termasuk menyalai ni.
- Tenangkan jiwa – Bau herba dan suasana redup masa menyalai tu buat hati jadi lapang.
⚠️ Tapi ingat…
Kalau bersalin secara pembedahan (caesarean), menyalai tak boleh buat awal-awal. Tunggu luka betul-betul sembuh. Kalau tidak, bahaya.
Arwah nenek pokcik dulu dia bidan, dia selalu pesan –
Kalau nak badan kuat sampai tua, jaga pantang waktu muda.
Bukan untuk cantik semata-mata, tapi untuk sihat tubuh dan waras jiwa.
🌸 Kesimpulannya – Mengurut, menyalai dan berpantang ni bukan budaya kolot, tapi ilmu turun-temurun yang penuh hikmah. Ia satu proses pemulihan jiwa dan raga bagi seorang ibu. Jangan abaikan. Bila badan dah sihat, barulah boleh jaga anak, suami, dan diri sendiri dengan lebih sempurna.
Ulasan