Petang tadi, angin sepoi-sepoi bahasa, daun ketapang menari lembut atas kepala. Pokcik, Mat Rizal, Tok Awang, dengan Mail Towing macam biasa lepak depan kedai kopi Pak Ya. Pokcik seperti biasa Milo kosong, Teko kopi panas baru sampai untuk sahabat-sahabat pokcik sementara cekodok pisang tinggal empat ketul, sambil sembang tak sedar mulut laju.
Mat Rizal mula cerita.
“Pokcik, kau dengar tak cerita budak sekolah tolak cikgu semalam? Sampai cikgu jatuh tersungkur. Cuma sebab cikgu tegur dia main telefon masa dalam kelas.”
Pokcik letak cawan perlahan. Hirup sikit, lalu jawab,
“Dulu kita, kalau cikgu tenung pun dah berderau darah kita… sekarang budak boleh tunjal kepala cikgu".
Mail Towing geleng kepala.
“Yang paling lawaknya, bila cikgu tegur… mak bapak pulak datang sekolah marah cikgu. Siap buat laporan polis kononnya cikgu trauma kan anak dia.”
Tok Awang pun masuk line.
“Mak bapak zaman sekarang ni pelik. Anak dia buat salah, dia bela macam nak perang dunia. Dulu kita balik rumah cerita cikgu marah, abah tambah marah dua kali ganda.”
Pokcik senyum, sambil tepuk-tepuk lutut.
“Ni la jadinya bila anak dibesarkan dengan ‘aku tak nak anak aku rasa susah macam aku dulu’... sampai lupa nak ajar anak erti hormat.”
Kami semua terdiam kejap. Cekodok tinggal satu. Mail Towing capai, tak sempat nak minta pun.
“Eh… kau tak tanya pun aku nak ke tak,” kata Mat Rizal.
Mail gelak.
“Adab tu Mat… hormat kawan makan,” dia balas sambil kunyah.
Kami pun gelak. Tapi dalam gelak tu ada satu rasa yang kita semua faham – bila adab dah hilang, ilmu pun jadi tak berkat. Cikgu-cikgu sekarang bukan setakat kena ajar, tapi nak jaga hati murid, hati mak bapak, hati media sosial lagi. Nasib cikgu zaman sekarang ni, macam berdiri atas api, silap langkah… terbakar sendiri.
Ulasan