Langkau ke kandungan utama

Sembang tentang sawi

Petang tadi redup aje langit, bayu dari arah bendang sejuk menyapa pipi. Pokcik tengah leka mencangkul batas sawi — bukan main lembut tanah lepas hujan malam tadi. Peluh jantan dah mula menitik masa pokcik tengah gembur tanah tu, sambil terfikir-fikir nak tambah baja tahi ayam kering sikit bagi subur lagi pokok.

Tiba-tiba, dari celah perdu pisang belakang pondok kebun, muncul dua sahabat kampung — Husin dengan topi keledar motor masih belum bukak, dan Pok Awi dengan tangan bersilang, selipar jepun kena lumpur.

“Pokcik buat apa tu? Seronok nampak gembur tanah,” tegur Husin sambil senyum.

“Haah, tengok tanah lembut ni... rasa macam kuih talam, sedap sangat nak tanam sawi,” jawab pokcik bergurau sambil angkat sikit cangkul.

Hussin duduk mencangkung sebelah pokcik tepi batas. Pok Awi berdiri belakang bersilang tangan. Pokcik pun mula buka cerita.

Gambar janaan AI

“Tanah ni kalau nak sawi subur, dia kena ringan, peroi... jangan liat sangat. Bila air lalu, akar boleh bernafas. Kalau tanah liat, pokok cepat kuning, lemas akar dia.”

Pok Awi angguk-angguk, tangan dia petik daun sawi yang dah tua.

“Pokcik letak baja apa?” tanya dia.

“Baja tahi ayam kering... campur sikit tanah kompos. Kalau nak cepat naik, letak tahi kambing pun boleh. Tapi jangan lebih sangat. Kita nak tanam, bukan nak bakar pokok.”

Kami ketawa kecil.

“Racun macam mana pulak?” Husin menyampuk sambil tunjuk daun yang ada lubang kecil.

“Pokcik guna racun organik... buat sendiri je. Campur cili api, bawang putih, dan sabun pencuci pinggan sikit. Blend, tapis, sembur. Serangga pun lari... pokok pun selamat dimakan.”

Pok Awi tepuk lutut sambil ketawa.

“Haish... Pokcik ni macam profesor kampung la!”

“Bukan profesor… petani sekolah rendah je,” balas pokcik, sambil senyum tenang.

Petang makin panjang, cahaya dah mula senget ke hujung pokok kelapa. Tapi sembang kami masih rancak — dari tanah sawi, merebak ke cerita zaman sekolah, ke cerita lembu Husin yang lari masuk kebun orang

Pokcik masih mencangkung, tangan korek tanah sambil buang akar rumput yang berselirat. Husin dan Pok Awi pula dah ambik posisi masing-masing — Husin duduk atas tunggul kayu hujung batas, Pok Awi duduk  atas batang pisang yang telah beberapa hari lalu pokcik tebang. Sembang masih pasal sawi.

“Pokcik, berapa hari lepas tanam, sawi boleh tuai?” tanya Husin sambil ambik sehelai daun sawi, tenyeh-tenyeh kat jari.

“Kalau cukup baja dan air, dalam 25 ke 30 hari dah boleh petik. Tapi tengok jugak jenis sawi. Pokcik tanam sawi bunga — cepat sikit naik. Tapi kalau sawi pahit, lambat sikit.”

Pok Awi sambung:

“Tapi pokcik, kenapa kadang sawi tu naik tinggi tapi daun dia kecil dan pucat?”

Pokcik angkat kepala, pandang Pok Awi.

“Haa itu sebab tanah dia kurang zat. Biasanya kurang nitrogen. Atau pokok tak cukup cahaya matahari. Lagi satu, kalau tanah padat sangat, akar tak boleh serap air dan baja.”

“Patutlah kebun aku tu pokcik… naik macam lidi sawi aku, malu nak bagi orang tengok,” keluh Pok Awi sambil gelak.

Pokcik senyum, tangan terus buat kerja.

“Tanah tu kena rehat jugak, Awi. Jangan tanam sawi saja memanjang. Lepas satu pusingan, bagi tanah ‘cuti’. Tanam kacang panjang ke, atau letak ulam raja — dia pulihkan semula zat tanah.”

 “Ohh gitu... pokcik bukan main berilmu,” puji Husin.

“Ilmu ni kutip sikit-sikit je, Sin… masa muda dulu pokcik pun main tabur je benih. Tapi bila dah tua ni, baru rasa nak faham betul-betul,” jawab pokcik sambil tenyeh peluh kat dahi.

Husin tunduk-tunduk tengok daun sawi.

“Pokcik, kadang sawi tu banyak sangat ulat… macam mana nak elak?”

“Kalau nampak kupu-kupu putih berlegar waktu pagi, itu tanda dia tengah bertelur kat daun. Kena sembur racun organik tadi. Atau petik terus daun yang ada telur tu, buang jauh.”

Pok Awi geleng kepala.

“Tak sangka pokcik tau semua benda ni… nanti aku nak datang belajar serius-serius.”

“Belajarlah… kebun ni luas, pokcik suka kalau orang kampung nak bercucuk tanam. Makan hasil sendiri ni, lain nikmat dia. Anak cucu pun dapat rasa.”

Angin petang makin kuat. Daun sawi bergoyang perlahan. Burung pipit mula hinggap kat tiang pancang batas.

Sembang tiga orang tua kampung kat batas sawi — penuh tawa, ilmu, dan kasih pada tanah yang tak pernah mungkir janji.

Ulasan

DinoHauz berkata…
Cuba pokcik bagi tips menanam untuk orang yang tanam apa semua dok mati belaka ni🥲Sawi pahit untuk saya. Jarang betul nak masak sayur sawi.
Warisan Petani berkata…
* baja tahi ayam kering
AMIIZAA@Mieja berkata…
banyak ilmu saya dapat dari PB, kupu-kupu rupanya yg boleh buat sawi berulat, tanah pula bukan sembarangan nak tanam....tak mudah rupanya 😑😑
MOHAMAD TAUFIK berkata…
Taufik kadang kadang pelik kalau menanam daun kesum...kalau kita punya jag baik...dia mati...tapi kalau kita buat lantak je...ehhh hidup segar pulak tu peli pelik

Catatan popular daripada blog ini

Khasiat telur gondang

Gondang merupakan musuh bagi pesawah padi kerana banyak melakukan kerosakan pada tanaman padi terutama anak padi. Para pesawah akan menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan serangan gondang terutama gondang emas. Ada petani yang menternak itik di sawah padinya sebelum masuk musim menanam dan ada yang menggunakan racun untuk menghapuskannya. Dalam tidak berguna kepada petani, gondang juga memberi manfaat yang besar kepada manusia terutama telurnya. Telur gondang dikatakan dapat melebatkan rambut, cepat memanjangkan rambut dan juga menghitamkan rambut. Caranya telur ini diramas dengan tangan dan terus dilumurkan atas kepala dan biarkan lebih kurang setengah jam sebelum dicuci bersih. Diamalkan setiap hari sehingga nampak keberkesanannya. Juga dikatakan mujarab bagi sakit buasir, caranya telur ini dipanaskan dengan minyak kelapa dan dibiarkan sejuk. Lepas itu minyak yang telah diproses telur gondang tadi dilumur pada ibu jari.. gunakan ibu jari tadi untuk menekan bu...

Bagaimana membuat ikan haruan kering

Bagaimana membuat ikan haruan kering . Masih berkisar dari hasil pancingan semalam. Kisah memancing ikan. Oleh kerana hasil pancingan yang banyak, untuk sekali makan memang tidak habis. Jadi pokcik ambil keputusan untuk membuat ikan kering. Caranya cukup mudah. Ikan haruan ini dibuang sisik dan dibelah belakang. dibasuh sebersih-bersihnya. Selepas itu direndam dengan air garam. Bagi setengah orang mereka lebih suka tabur garam. Biarkan rendaman air garam semalaman dan selepas itu bolehlah dijemur dibawah sinaran cahaya matahari yang terik. Perlu diingatkan bahawa satu lagi masalah bila menjemur ikan untuk dikeringkan ialah kedatangan lalat. Bukan kecil dan sedikit. Lalat-lalat hijau ini amat sukakan bau busuk ikan ni.  Bukan setakat hinggap dan makan sahaja. Lalat-lalat ini akan meninggalkan telur diatas ikan ini. Perhatikan gambar bawah. Telur ini akan menetas dan menjadi ulat yang akan memakan ikan ini pula. Untuk mengelakkan ikan ini dari didatangi o...

segmen blogwalking MERDEKA bersama ayuinsyirah

  jom join segmen ini...caranya klik banner tu