Langkau ke kandungan utama

Aktiviti dikebun pisang

Pagi ni, selepas matahari mula naik segan-segan di ufuk timur, Pokcik turun ke kebun pisang. Angin pagi masih sejuk, bau tanah basah dari sisa hujan semalam terasa nyaman sekali.


Rumput-rumput liar sudah panjang, mula menutup batas dan pangkal pokok. Jadi, kerja utama hari ni ialah potong rumput. Bunyi mesin berdesing, berselang dengan kicau burung yang riuh memeriahkan suasana. 

Sesekali peluh yang menitik di dahi disapu dengan tangan, sambil pandang pokok pisang.. Pisang ini perlu dipulihkan kembali.. anak-anak pisang harus dialihkan ke tempat lain.. perlu diasingkan dari perdu yang telah tua untuk dapat hasil yang lebih baik.

Mesin rumput diletak ke tepi, peluh pun dah lencun. Duduk sekejap, tarik nafas panjang, hirup udara segar sambil pandang kebun yang terbuka luas di depan mata. Inilah nikmat kerja kebun yang tak semua orang dapat rasa. Penatnya memang ada, tapi puasnya lebih besar.

Pokok-pokok pisang nampak lebih selesa, seolah-olah berterima kasih kerana tempat mereka kembali bersih. Daun-daun hijau melambai, cahaya matahari pagi menembusi celah dedaunan, melukis bayang di tanah yang baru dipotong.


Walaupun sebahagian kebun sudah nampak kemas, tapi masih ada lagi lebih kurang seekar lagi lalang dan rumput yang meninggi menanti giliran. Tengok rumput dan lalang hijau subur naik sampai ke lutut, rasa macam cabaran besar sedang menunggu. Itulah kerja kebun tak pernah habis dalam sehari, ada saja yang perlu dibuat sedikit demi sedikit.

Rumput dan lalang tebal menutup pangkal pokok, seakan cuba menelan kebun ini. Dalam hati terdetik, “Kalau biar lama-lama, pokok pisang pun boleh tenggelam dengan semak.” Jadi semangat kena kuat, sabar kena ada. Bukan mudah, tapi setiap kali mesin mula berdesing, sedikit demi sedikit kawasan yang semak akan terbuka.

Dalam sibuk potong rumput dan kemas kebun, mata singgah pula pada deretan pokok tebu yang Pokcik selitkan antara pisang. Hijau daunnya tegak, batangnya makin berisi, nampak gagah berdiri walaupun dikelilingi rumput.

Jadi, bila Pokcik tanam selang-seli dengan pisang, rasa macam lengkap pula kebun ni, ada yang untuk kenyang, ada yang untuk manis. Rezeki bumi ni memang luas, tinggal kita rajin atau tidak nak usahakan.

Beginilah kehidupan orang yang berkebun, usaha tak pernah sekali jalan, tapi berulang-ulang. Setiap kali siap satu bahagian, rasa lega, walaupun masih ada yang menunggu. Penatnya terasa di badan, tapi puasnya tetap singgah di hati.

Ulasan

Airene Erawan berkata…
betul tu pokcik.. lagi 1, kita pun xnak binatang liar atau berbisa bersembunyi dalam kebun kita kan pokcik?
Etuza berkata…
Rajin dan usaha pasti berjaya..boleh guna racun rumput lepas ni agar terang dan bersih mudah kita bergerak pantau pisang ..InshaAllah

Catatan popular daripada blog ini

Khasiat telur gondang

Gondang merupakan musuh bagi pesawah padi kerana banyak melakukan kerosakan pada tanaman padi terutama anak padi. Para pesawah akan menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan serangan gondang terutama gondang emas. Ada petani yang menternak itik di sawah padinya sebelum masuk musim menanam dan ada yang menggunakan racun untuk menghapuskannya. Dalam tidak berguna kepada petani, gondang juga memberi manfaat yang besar kepada manusia terutama telurnya. Telur gondang dikatakan dapat melebatkan rambut, cepat memanjangkan rambut dan juga menghitamkan rambut. Caranya telur ini diramas dengan tangan dan terus dilumurkan atas kepala dan biarkan lebih kurang setengah jam sebelum dicuci bersih. Diamalkan setiap hari sehingga nampak keberkesanannya. Juga dikatakan mujarab bagi sakit buasir, caranya telur ini dipanaskan dengan minyak kelapa dan dibiarkan sejuk. Lepas itu minyak yang telah diproses telur gondang tadi dilumur pada ibu jari.. gunakan ibu jari tadi untuk menekan bu...

Bagaimana membuat ikan haruan kering

Bagaimana membuat ikan haruan kering . Masih berkisar dari hasil pancingan semalam. Kisah memancing ikan. Oleh kerana hasil pancingan yang banyak, untuk sekali makan memang tidak habis. Jadi pokcik ambil keputusan untuk membuat ikan kering. Caranya cukup mudah. Ikan haruan ini dibuang sisik dan dibelah belakang. dibasuh sebersih-bersihnya. Selepas itu direndam dengan air garam. Bagi setengah orang mereka lebih suka tabur garam. Biarkan rendaman air garam semalaman dan selepas itu bolehlah dijemur dibawah sinaran cahaya matahari yang terik. Perlu diingatkan bahawa satu lagi masalah bila menjemur ikan untuk dikeringkan ialah kedatangan lalat. Bukan kecil dan sedikit. Lalat-lalat hijau ini amat sukakan bau busuk ikan ni.  Bukan setakat hinggap dan makan sahaja. Lalat-lalat ini akan meninggalkan telur diatas ikan ini. Perhatikan gambar bawah. Telur ini akan menetas dan menjadi ulat yang akan memakan ikan ini pula. Untuk mengelakkan ikan ini dari didatangi o...

Gambar Hari Rabu #60 - Anak burung Gembala Kerbau

Anak burung ini ditemui di depan pejabat sekolah pokcik. Dari terbiar begitu dan menjadi santapan sarapan pagi si kucing pokcik ambil dan tiada niat untuk memeliharanya. Pokcik memang tidak minat pelihara burung. Ada beberapa rakan pokcik yang minat pada burung jenis ni..  Mujurlah ada rakan pokcik yang sudi memeliharanya..