Kadang-kadang bila duduk termenung di tepi kebun, sambil dengar bunyi katak memanggil hujan, bunyi cengkerik sedang bernyanyi hati terdetik... banyak sungguh nikmat yang Tuhan bagi pada manusia.
Udara yang kita hirup percuma, mata yang boleh melihat hijau dedaun, kaki yang boleh melangkah dan hati yang masih tahu bersyukur. Tapi… kalau ditanya, “Apakah nikmat paling besar yang Tuhan bagi?” Jawapannya bukan pada harta, bukan pada tubuh yang kuat tapi pada iman dan akal.
Iman ni halus. Tak nampak tapi hidup jadi terang dengannya. Dengan iman, kita tahu siapa kita, dari mana kita datang dan ke mana kita akan balik. Iman buat hati tenang walau rezeki sempit, buat kita tabah walau diuji. Tanpa iman, manusia boleh hidup mewah… tapi kosong. Jiwa jadi tandus, tak tahu apa makna hidup.
🧠Nikmat Akal
Akal pula teman rapat iman. Dengan akal, manusia boleh berfikir, menimbang baik buruk, dan mencari kebenaran. Tapi kalau akal tak dibimbing iman, dia boleh jadi liar — membawa manusia ke arah tamak, sombong dan lupa diri. Sebab itu Tuhan bagi dua-dua, supaya kita seimbang antara dunia dan akhirat.
Kalau kita renung betul-betul, semua nikmat lain, kesihatan, kasih sayang, keluarga, masa, rezeki semuanya cuma indah bila ada dua nikmat besar ni.
Tanpa iman, rezeki jadi beban.
Tanpa akal, nikmat jadi ujian.
Tapi bila keduanya berpadu, barulah hidup rasa cukup, walau sepinggan nasi dengan sambal belacan pun jadi nikmat yang besar.
Jadi, setiap kali bangun pagi, sebelum lihat telefon atau fikir kerja, cuba lafaz dalam hati:
"Terima kasih ya Allah, kerana masih pinjamkan aku iman dan akal untuk hari ini."

Ulasan