Langkau ke kandungan utama

Flotilla & Sarapan Pagi

Pagi ni pokcik baru duduk makan nasi bungkus kat ofis sekolah. Milo kosong  dalam cawan merah masih berasap lagi. Tengah enak-enak suap nasi, datang Mat Rizal duduk sebelah.

"Eh Pokcik, makan apa tu nampak meriah lauknya?" tanya dia sambil mata tertumpu kat kuah kuning gulai ikan.


"Nasi bungkus lah, Rizal. Biasa je... tapi sedap, kuah dia sedap. Kau nak rasa?" jawab pokcik sambil senyum.

Mat Rizal geleng, terus dia buka cerita.
"Pokcik, pagi tadi aku baca berita... ada peserta dari Malaysia yang ikut Sumud Flotilla tu, kena tahan dengan Israel. Diorang nak hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, tapi kena serbu. Aku geram sungguh!"

Pokcik letak sudu, pandang muka Rizal.
"Haah, pokcik pun ada terbaca. Memang perit, Rizal. Orang pergi bawa ubat, makanan, nak bantu rakyat Gaza... tapi kena sekat macam penjenayah. Dunia ni pelik, yang zalim berlagak tuan, yang nak tolong orang pula dipenjara."

Rizal ketuk meja perlahan, nampak betul dia marah.
"Betul tu Pokcik. Aku kagum sebenarnya dengan semangat dia orang. Sanggup tinggalkan keluarga, naik kapal meredah laut... semata-mata nak tolong umat yang ditindas. Besar jiwa orang macam tu."

Pokcik angguk, hirup sikit Milo.
"Kalau difikir-fikir, Rizal... kita ni di Malaysia, duduk makan nasi bungkus dengan selesa. Sedangkan di Gaza, roti pun belum tentu ada. Itu sebab bila ada orang kita sanggup berjuang sampai sana, walaupun tahu risiko, pokcik rasa itu pengorbanan luar biasa. Kita kat sini paling kurang kena doa dan sokong perjuangan mereka."

Mat Rizal termenung sekejap, lepas tu dia senyum nipis.
"Betul Pokcik... doa senjata kita. Harap mereka yang ditahan tu cepat dibebaskan. Dunia mesti buka mata, walaupun Israel nak tutup cerita."

Pokcik pandang balik nasi bungkus, kuah dah hampir habis.
"Rizal... nasi ni walaupun pedas, tak sesakit pedihnya hati rakyat Gaza. Kita makan penuh syukur hari ni, tapi jangan lupa doa untuk mereka. Itu je yang kita mampu, Rizal..."

Kami berdua senyap seketika. Bunyi murid di luar kelas jadi pengiring. Milo pun makin sejuk, tapi hati jadi hangat bila ingat perjuangan saudara kita di sana.

Ulasan

Ammi berkata…
memang rasa meluap2 marah nak-nak bila dengar amaran daripada pasukan IDF tu. ehhhhh melampaulah dorang ni
Etuza berkata…
Salam singah..agak lain paparan blog ni kali, rasa macam mencari paparan dulu..pakcik blogger ke ni?
Etuza berkata…
Sangat sedih dan risau diorang ditahan..bukan nak memerangi pun, hanya menghantar misi kemanusian memberi makan..ya Allah selematkan mereka ..Sumud Hidup..Allah hu akbar..
Puan Hazel berkata…
حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيل
namakucella berkata…
Semua berdebar menunggu berita selanjutnya .semoga sahaja mereka dalam lindungan Allah s.w.t🤲
Mak Lin berkata…
Hukum dunia ni pelik sikit; mentality kita dah memang kena doctrine kuasa justify abuse. Ada kuasa, so you can do anything. Tak kisah dalam apa-apa situasi/keadaan sekalipun. Kita hanya mampu berdoa pada yang Maha Kuasa.

Catatan popular daripada blog ini

Menang Contest Miss Fatyn

Tak sangka aku .... aku menang.. aku join hanya sekadar untuk berkongsi pengalaman yang menakutkan yang pernah aku dialami. Tetiba-tetiba diumumkan sebagai pemenang tempat kedua.. ini kali pertama aku menang contest melalui blog. Terimakasih Miss Fatyn atas penganjuran contest itu dan hadiah tu, In Sha Allah.. kalau ada segmen, GA atau contest yang simple Uncle akan join.

Anak Tebu Tumbuh di Ruas...

Petang tadi Pokcik tengok kebun tebu macam biasa sebelum menyiram kangkung. Saja tengok keadaan pokok, mana tahu ada yang tumbang atau diserang serangga. Bila diperhatikan Eh... lain macam nampaknya. Pada bahagian ruas batang, keluar pula anak tebu yang masih kecil. Bukan di pangkal, tetapi betul-betul tumbuh pada ruas batang. Banyak batang jugak yang alami begini Gambar janaan AI  Pokcik pun ambil gambar lalu bertanya kepada rakan AI, "Kenapa boleh jadi macam ni?" Jawapannya agak menarik. Biasanya anak tebu di ruas boleh keluar apabila pokok sudah cukup matang, cuaca lembap atau pertumbuhan pucuk terganggu. Tetapi tebu Pokcik baru berumur lebih kurang tujuh bulan. Masih belum cukup tua. Kemungkinan besar ia bukan penyakit. Mungkin disebabkan keadaan cuaca yang sesuai, pertumbuhan pokok yang subur atau ada sedikit gangguan pada bahagian pucuk menyebabkan mata tunas pada ruas mula aktif. Setakat ini batang tebu nampak masih sihat. Daunnya hijau, batang pun besar dan segar. ...

Bila Durian Gugur

Pagi tadi pokcik menumpang langkah bapa saudara masuk ke dusun. Mata bukan lagi memandang jauh ke hadapan, tetapi lebih kerap menjeling ke atas. Pengalaman memang guru yang tidak pernah meminta upah. Mana tidaknya, beberapa hari lepas kepala bapa saudara sempat juga berkenalan dengan sebiji durian yang gugur tanpa memberi salam. Syukur, benjolnya sudah surut. Tinggal cerita untuk dijadikan bahan usik-usik di warung kopi. Dusun pagi ini sunyi, cuma sesekali terdengar bunyi durian jatuh memecah sepi. Bunyi itu, bagi orang dusun, lebih merdu daripada bunyi loceng. Ertinya ada rezeki sedang menunggu di bawah pokok. Alhamdulillah, lebih kurang tiga puluh biji berjaya dikutip. Tidaklah sampai berlori, tetapi cukup membuat hati lapang. Mokcik pula sudah berkira-kira mahu mengasingkan beberapa biji untuk dibuat tempoyak. Orang kampung tahu, musim durian tidak panjang. Kalau tidak disimpan sedikit, nanti bila musim berlalu, yang tinggal cuma cerita dan kerinduan. Kebetulan pula anak nombor du...