Petang 12 Jun lalu, sekitar jam 4 petang, bendang di Kampung Alor Keladi kembali meriah dengan warna-warni wau barat yang memenuhi ruang langit. Program yang dianjurkan oleh budak-budak belia kampung dengan kerjasama Peladang Kawasan Besut ini berjaya menghimpunkan ramai peminat wau daripada pelbagai peringkat umur.
Pokcik tabik kepada anak-anak muda kampung hari ini. Dalam zaman telefon pintar dan media sosial yang semakin menguasai kehidupan, mereka masih sanggup mengangkat dan meneruskan permainan tradisional yang menjadi warisan orang dahulu. Bukan mudah hendak melihat anak-anak muda berkumpul di bendang semata-mata untuk menerbangkan wau seperti yang pernah berlaku suatu ketika dahulu.
Melihat peserta memikul wau-wau berwarna terang, ada yang sibuk membuat persiapan, ada yang berbincang tentang angin, dan ada yang tidak sabar menunggu giliran, membuatkan Pokcik terkenang zaman kecil dahulu. Ketika itu, bendang selepas musim menuai memang menjadi "padang permainan" kami. Wau, gasing, dan pelbagai permainan kampung menjadi hiburan utama.
Yang paling menggembirakan, bukan sekadar orang dewasa yang hadir. Ramai juga anak-anak dan remaja yang turut sama memegang, mengusung dan belajar tentang wau. Di situlah sebenarnya nilai program seperti ini. Bukan sekadar pertandingan, tetapi jambatan yang menyambung warisan lama kepada generasi baharu.
Bila melihat wau-wau besar itu terbang tinggi di langit petang, Pokcik terfikir satu perkara. Selagi masih ada anak muda yang mahu belajar, selagi itulah warisan kampung tidak akan hilang ditelan zaman.
Tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Mudah-mudahan tahun hadapan lebih meriah, lebih ramai peserta, dan lebih banyak wau menghiasi langit Kampung Alor Keladi.
Warisan kita, langit kita. Jangan biarkan tali sejarah ini putus di tangan generasi kita. Pokcik kongsi beberapa keping gambar acara ini yang sempat pokcik rakam gambarnya.🪁🌾☕️




























Ulasan