Petang ni sempat menuai sedikit kangkung di kebun. Tak banyak mana, sekadar memenuhi permintaan pengusaha kantin sekolah pokcik dan beberapa orang kampung yang dah awal-awal menempah.
Lepas cabut dan bersihkan, terus timbang satu persatu. Duduk mencangkung tepi penimbang lama, sambil kira-kira cukup ke tidak tempahan yang masuk. Seronok juga bila hasil tanaman sendiri ada orang mencari.
Berkebun ni bukanlah untuk jadi kaya. Pokcik pun tanam secara kecil-kecilan sahaja. Bila ada hasil jualan, dapatlah tampung sedikit perbelanjaan dapur. Kadang-kadang hasil jual kangkung ni cukup untuk beli sekilo dua ikan selayang di pasar. Itu pun sudah memadai.
Orang kampung macam kita ni, rezeki tak semestinya datang dalam jumlah yang besar. Yang penting ada hasil daripada titik peluh sendiri. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Yang penting halal, ada keberkatan dan dapat membantu meringankan perbelanjaan harian.

Ulasan