Petang tadi, selepas matahari mula condong ke barat dan panasnya tidak lagi menggigit kulit, pokcik turun ke kebun. Hendak menyediakan dua batas untuk ditanam. Cangkul turun naik memecahkan ketulan tanah yang keras, sementara peluh menitis membasahi baju.
Alhamdulillah, siap juga dua batas sebelum senja menjengah. Bukan besar mana, sekadar dua batas yang cukup untuk mengisi masa dan menenangkan hati.
Selesai mencangkul, pokcik menarik pula plastik Silverstone. Perlahan-lahan plastik hitam perak itu dibentang menutupi batas yang baru disiapkan. Angin petang sesekali cuba mengusiknya, tetapi segenggam tanah di kiri dan kanan menjadi pemberat. Dari hujung batas memandang ke bawah, nampak kemas dan teratur. Hati yang penat terasa sedikit puas.
Belum ada tanaman lagi di atas batas itu. Namun dalam kepala sudah terbayang barisan pokok jagung yang menghijau. Cadangnya, dua batas itu akan ditanam jagung. Tidak banyak, bukan untuk dijual ke pasar atau dihantar ke mana-mana. Cukuplah untuk kegunaan sendiri, untuk dimakan bersama keluarga.

Ulasan