Ada hari yang semangat berkebun tu melimpah-limpah. Bangun pagi terus capai cangkul, rasa macam nak ubah dunia dengan tanam sawi dan bayam. Tapi ada juga hari yang badan rasa berat, mata pun malas nak pandang batas. Pokcik pun manusia biasa. Kadang-kadang rasa down tu datang tanpa salam.
Bila tubuh mula rasa penat, lutut macam berkarat dan tangan pun dah tak larat nak angkat penyiram, masa tu lah fikiran mula ligat. “Kenapa aku buat semua ni?” Tambah pula kalau sayur yang ditanam elok-elok tu tak laku di pasar. Tengok sawi segar tak berusik, rasa macam hati pun layu sama.
Tapi bila duduk diam-diam, tengok daun pisang melambai, dengar bunyi cengkerik dan angin lalu celah pokok, Pokcik mula ingat balik kenapa mula berkebun. Bukan semata-mata nak jual. Tapi nak rasa hidup. Nak rasa tanah di tapak kaki. Nak tengok sesuatu tumbuh dari tangan sendiri dan lebih dari itu adalah kerana hobi itu.
Kadang-kadang, Pokcik ambil masa buat kerja perlahan. Buang pelepah pisang kering dipokok pisang, cangkul batas elok-elok. Sebab dalam setiap gerak tu, ada ketenangan. Ada cerita. Ada harapan.
Tak semestinya setiap hari berkebun tu penuh hasil. Tapi setiap hari ada peluang untuk rasa syukur. Dan bila rasa down tu datang, Pokcik biar saja dia duduk sekejap. Lepas tu, bangun balik. Cangkul masih ada. Tanah masih sedia. Pokcik pun masih di sini.


Ulasan
Apapun,semoga Allah kembalikan semangat berkebun tu