Ada tempat yang kita pergi sekadar hendak tengok-tengok. Ada pula tempat yang membuat kita rasa macam sedang berjalan masuk ke dalam sebuah cerita lama.
Begitulah perasaan pokcik ketika berjalan di Lorong Panglima, Ipoh, yang lebih dikenali sebagai Concubine Lane. Lorong ini terletak di kawasan Pekan Lama Ipoh, di tengah-tengah deretan bangunan kedai lama yang menjadi sebahagian daripada warisan bandar ini.
Pendek kata, kalau datang dengan anak kecil, memang ada sahaja benda yang hendak dipandang.
Kemudian mata pokcik tertarik pula kepada kedai-kedai yang dihias dengan lampu tanglung merah. Ada kedai yang menggunakan reka bentuk tradisional Cina, ada yang lebih moden. Di sesetengah tempat pula terdapat lukisan mural pada dinding bangunan lama.
Itulah yang menarik tentang kawasan ini. Yang lama tidak dibuang semuanya. Yang baharu pula datang menumpang hidup. Rumah kedai lama masih berdiri, tetapi kehidupan di dalamnya sudah berubah.
Dahulu kawasan ini mempunyai kaitan rapat dengan zaman kegemilangan perlombongan bijih timah Ipoh. Lorong Panglima dipercayai telah wujud sejak penghujung abad ke-19/awal abad ke-20, dan kawasan ini mempunyai sejarah yang panjang serta beberapa cerita tentang asal-usul nama Concubine Lane. Ada versi yang mengaitkannya dengan tauke lombong Yau Tet Shin dan isteri-isterinya.
Cerita tentang nama Concubine Lane itu sendiri memang mempunyai beberapa versi. Jadi bagi pokcik, tidak perlulah kita terlalu sibuk menentukan cerita mana yang paling hebat.
Yang penting, sejarahnya tetap menjadikan lorong kecil ini mempunyai identiti tersendiri.
Yang menarik, kawasan ini pernah melalui zaman yang jauh berbeza daripada suasana meriah yang kita nampak hari ini. Ada bangunan yang pernah terbiar dan mengalami kerosakan. Kemudiannya usaha pemulihan menjadikan sebahagian kawasan ini kembali hidup dengan kedai kraftangan, galeri, restoran, kafe dan perniagaan untuk pelancong.
Dan sekarang...
orang datang bukan lagi kerana cerita lama semata-mata, tetapi kerana hendak merasai suasana lama itu sendiri. Jalan kaki sambil tengok orang. Dalam gambar-gambar yang pokcik ambil, perkara yang paling menarik sebenarnya bukan kedai.
Orang.
Ada keluarga membawa anak kecil. Ada anak muda. Ada pelancong. Ada orang tua. Ada yang berjalan sambil melihat kedai, ada yang berhenti membeli makanan.
Ada juga pokcik sendiri. 😄
Salah satu gambar menunjukkan pokcik berdiri di bawah papan tanda yang tertulis:
“Ini Pekan Orang Handsome.”
Haa... yang itu memang tidak boleh dilepaskan.
Kalau dah sampai depan papan tanda macam tu, mestilah kena ambil gambar. Bukan selalu dapat jumpa papan tanda yang memuji orang yang lalu di situ. 😂
Pokcik berdiri sajalah di bawahnya. Tidak perlu cerita panjang. Tiba-tiba ada yang tegur pokcik "hah dah memang kena dah pokcik memang handsome" katanya
Handsome ke tidak, gambar tetap kena ada.
Yang membuat pokcik suka, bukan sekadar kedai
Kalau diperhatikan betul-betul, Lorong Panglima ini bukan tempat yang cantik kerana semuanya baharu.
Sebaliknya, daya tarikannya datang daripada campuran lama dan baharu.
Dinding yang sudah dimakan usia. Cat yang tidak lagi sempurna. Tingkap dan pintu rumah kedai lama.
Jubin kaki lima. Lampu tanglung. Kain-kain hiasan yang bergantung di atas lorong.
Kemudian tiba-tiba muncul kedai moden menjual gelato, tanghulu, makanan ringan dan pelbagai barangan untuk pelancong.
Semua itu bercampur dalam satu ruang yang kecil.
Sebab itulah apabila pokcik melihat kembali gambar-gambar yang diambil, terasa macam setiap gambar membawa cerita berbeza.
Satu gambar tentang makanan.
Satu gambar tentang keluarga.
Satu gambar tentang bangunan lama.
Satu lagi tentang manusia yang sedang berjalan.
Dan ada gambar yang sekadar menunjukkan sebuah lorong.
Tetapi apabila semua gambar itu disatukan, barulah nampak wajah sebenar tempat ini.
Meriah. Berwarna-warni. Sesak dengan manusia. Tetapi masih menyimpan wajah Ipoh yang lama.
Berjalan tanpa tergesa-gesa
Paling seronok sebenarnya bila berjalan di tempat begini tanpa terlalu memikirkan hendak ke mana.
Jalan saja. Nampak kedai, berhenti. Nampak makanan, tengok. Kalau rasa nak makan beli. Nampak mural, ambil gambar. Nampak orang sedang menikmati suasana, kita pun tumpang rasa suasana itu.
Tidak perlu setiap tempat mesti ada aktiviti besar.
Kadang-kadang berjalan di lorong sempit sambil mendengar bunyi orang bercakap, melihat anak-anak bermain dan melihat peniaga melayan pelanggan pun sudah cukup menjadi kenangan.
Begitulah pokcik melihat Lorong Panglima. Ia bukan tempat untuk datang sekali lalu kemudian terus lupa. Ia tempat untuk berjalan perlahan-lahan. Melihat bangunan lama. Mengingat sejarah. Melihat kehidupan hari ini.
Dan sesekali berhenti mengambil gambar sebagai tanda bahawa kita pernah sampai. Hari itu pokcik sampai ke sini sebagai seorang pelawat biasa.
Tidak ada apa-apa yang luar biasa. Cuma berjalan, melihat, bergambar dan menikmati suasana. Tetapi mungkin itulah yang membuat sesuatu perjalanan menjadi kenangan. Bukan tempat yang terlalu hebat. Bukan perjalanan yang terlalu jauh. Kadang-kadang cukup dengan sebuah lorong lama di tengah bandar... dan sekeping gambar kita berdiri di bawah papan tanda yang mengatakan kita ini orang handsome. 😄
Lorong Panglima, Ipoh.
Satu lorong kecil yang masih menyimpan bayang-bayang masa lalu, tetapi hari ini hidup dengan wajah yang jauh lebih meriah.
Dan pokcik...
pernah berjalan di situ.














Ulasan