Edisi siaran tertunda.
Pada 12 September 2026, pokcik bertolak ke Tanjung Malim untuk menghantar anak bongsu mendaftar masuk ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Begitulah kehidupan seorang ayah, sampai masanya anak melangkah ke tempat baharu untuk menyambung pengajian.
Selesai urusan di Tanjung Malim, kami bermalam di Ipoh. Homestay pula anak kedua yang sponsor. Pokcik tumpang rezeki anak sajalah. 😊
Esoknya pokcik dengan kereta yang dipandu oleh anak nombor empat dan anak nombor tiga serta isterinya dengan kereta yang lain mula bergerak balik menuju ke Besut. Kali ini kami memilih laluan Kuala Kangsar – Gerik – Jeli, sebelum meneruskan perjalanan pulang.
Dalam perjalanan, kami singgah di Kuala Kangsar. Kebetulan pula ada anak saudara pokcik yang mengajar di sana. Lama juga tidak berjumpa, jadi dapatlah bertemu dan berbual sekejap.
Sebelum meneruskan perjalanan, kami makan di Restoran Warisan Kampung. Perut kenyang, barulah perjalanan terasa lebih ringan.
Lepas makan, anak saudara ajak pokcik berjalan-jalan melihat salah satu tempat yang cukup terkenal di Kuala Kangsar — Masjid Ubudiah.
Masjid Ubudiah memang cantik. Kubahnya yang berwarna keemasan, menara berjalur hitam putih dan seni bina yang tersendiri menjadikan masjid ini mudah dikenali.
Pokcik sempat berjalan mengelilingi kawasan masjid. Ada juga beberapa papan tanda dan catatan sejarah yang menarik perhatian. Di situ kita bukan sahaja melihat sebuah masjid yang cantik, tetapi sedikit sebanyak dapat mengenang sejarah Kuala Kangsar dan Kesultanan Perak.
Di kawasan masjid juga ada tinggalan dan unsur sejarah lain. Pokcik tertarik melihat rumah kayu tradisional serta meriam lama yang ditempatkan sebagai sebahagian daripada warisan kawasan tersebut.
Pokcik pula sempat ambil beberapa keping gambar sebagai kenangan.
Perjalanan pulang kali ini sebenarnya bukan sekadar perjalanan dari Tanjung Malim ke Besut. Ada sedikit urusan keluarga, ada pertemuan dengan anak saudara, ada makan bersama dan ada pula kesempatan mengenali tempat bersejarah.
Kadang-kadang perjalanan yang kita fikir cuma perjalanan pulang, rupanya ada cerita yang tersimpan di sepanjang jalan.





Ulasan
Begitulah bila bermusafir, sambil menyelam sambil minum air ye pokcik.
Cantiiiik sangat mesjidnya 😍😍😍. Dan melihat rumah lama Melayu tuh, ya Allah rinduuu saya nak balik kampung rasanya.
Kuala kangsar saya belum sampai lagi. Waktu itu ke perak hanya sampai Ipoh Saja. Masih teringin nak balik kesana