Petang tu, macam biasa, Pokcik singgah di warung Wak Leh. Matahari sudah condong ke barat. Angin petang bertiup perlahan, membawa bau tanah yang masih lembap selepas hujan tengah hari. Di tepi jalan, sebuah motosikal tua tersandar di bawah pokok rambutan.
Pokcik menarik kerusi kayu lalu duduk di sebelah Mat Rizal. Atas meja sudah tersedia dua cawan kopi O panas dengan sepiring cekodok pisang.
Gambar jangan AI
Mail Towing belum sampai. Tok Awang pula sedang menghisap rokok di hujung warung sambil memerhati lori membawa muatan pasir lalu di jalan kampung.
“Mat, mu ni bila nok pencen?” Pokcik bertanya sambil mengacau kopi.
Mat Rizal mengangkat muka.
“Kenapa Pokcik tanya gitu? Mu nok buat kenduri pencen untuk aku ke?”
Pokcik ketawa kecil.
“Tak doklah. Saja tanya. Kita ni bukannya muda lagi. Sekejap sungguh masa berjalan. Rasa macam baru semalam masuk kerja, tup-tup dah nak sampai ke penghujung.”
Mat Rizal mengangguk perlahan. Kali ini dia tak terus menyakat seperti selalu.
“Betul jugok tu, Pokcik. Dulu masa mula kerja, kita fikir lambat lagi nok pencen. Masa tu gaji tak seberapa, tapi semangat bukan main. Hujung bulan tunggu gaji, dapat gaji bayar itu ini. Kalau ada lebih sikit, belanja keluarga makan luar.”
Dia berhenti sekejap, mencapai cawan kopi.
"Sekarang ni lain ceritanya. Gaji dah naik sikit berbanding dulu, tapi tanggungan pun bertambah. Anak-anak membesar, macam-macam keperluan. Bila fikir pasal pencen, aku jadi dok senang duduk.”
Pokcik tersenyum nipis.
“Ambo pun lebih kurang jugok, Mat. Kadang-kadang bila duduk sorang-sorang, terfikir jugok. Lepas pencen nanti, apa nok buat? Kalau ada simpanan banyak, sedaplah sikit hati. Kalau simpanan tak seberapa, kena fikir cara lain untuk terus hidup.”
Belum sempat Mat Rizal menjawab, Mail Towing muncul dengan motosikalnya. Dia mematikan enjin, membuka topi keledar lalu menarik kerusi.
“Eh, kenapa muka dua orang ni macam baru lepas tengok slip gaji?” katanya.
Mat Rizal terus menyampuk.
“Kita tengah sembang pasal pencen.”
Mail mengeluh panjang sambil menepuk dahinya.
“Pencen? Jangan sebut kuat-kuat. Aku dengar perkataan pencen pun rasa macam dengar bunyi duit keluar dari mesin ATM!”
Wak Leh yang sedang menuang air panas dari teko turut tersenyum.
Mail menyambung lagi.
“Orang ingat bila pencen, bolehlah bangun lambat, minum kopi, pergi memancing, balik tidur. Tapi aku tengok orang yang dah pencen ni, ada yang bangun lebih awal daripada orang pergi kerja. Bezanya, dulu bangun sebab nak ke pejabat. Sekarang bangun sebab pinggang sakit!”
“Ha, yang tu aku setuju!” Mat Rizal menyampuk. “Dulu kita bangun pagi, badan rasa ringan. Sekarang nak bangun dari katil pun sakit situ sini”.
Sekali lagi meja kami pecah dengan gelak ketawa. Tok Awang yang dari tadi diam akhirnya datang menghampiri meja. Dia menarik kerusi, duduk perlahan-lahan, kemudian mencapai cawan kopi yang baru diletakkan Wak Leh.
"Bising sungguh mung tiga orang ni. Sembang pasal pencen, macam pencen tu penyakit.”
Mail tersengih.
“Bukan penyakit, Tok Awang. Tapi kalau tak bersedia, boleh jadi pening kepala.”
Tok Awang mengangguk.
“Itulah dia. Pencen ni bukan sekadar berhenti kerja. Kita sedang meninggalkan satu kehidupan yang sudah kita jalani berpuluh-puluh tahun. Dulu ada tempat nak dituju setiap pagi. Ada kawan sekerja, ada tugas, ada orang yang menunggu kita menyelesaikan kerja. Tiba-tiba satu hari nanti, semua itu sudah tak ada.”
Suasana meja kami perlahan-lahan menjadi sunyi.
Tok Awang menyambung.
Yang paling susah bukan nak menyesuaikan diri dengan masa lapang. Yang susah ialah nak menyesuaikan diri dengan kehidupan yang berubah. Kalau selama ini kita ukur hari dengan kerja, selepas pencen kita kena belajar mengisi hari dengan perkara yang memberi makna.”
Pokcik memandang ke luar warung. Seorang budak kecil sedang mengayuh basikal di tepi jalan. Dari kejauhan kedengaran suara orang memanggil anak pulang ke rumah.
Tok Awang menghirup kopi sebelum berkata lagi.
“Duit memang penting. Jangan pula kita buat-buat tak penting. Bil tetap datang, dapur tetap kena berasap, badan pula makin berusia. Sebab itu selagi masih bekerja, belajarlah mengurus duit. Kurangkan beban yang tak perlu. Kalau ada tanah, usahakan tanah. Kalau ada kemahiran, gunakan kemahiran. Jangan tunggu pencen baru nok mula fikir semua benda.”
Mat Rizal mengangguk berkali-kali.
"Maknanya, masa muda kita bekerja untuk cari rezeki. Bila dah nak pencen, kita kena cari cara supaya rezeki tak terputus.”
“Lebih kurang begitu,” jawab Tok Awang.
Mail pula mencelah.
“Kalau aku, lepas pencen nok buka bengkel motosikal kecil-kecilan. Boleh baiki motosikal orang kampung sambil sembang.”
Pokcik ketawa.
“Mu ni Mail, masa kerja pun kadang-kadang orang cari mu tak jumpa. Ni nok buka bengkel pula.”
"Eh, jangan pandang rendah. Aku ada pengalaman!”
Mat Rizal menyeringai.
“Pengalaman menunda motosikal rosak adalah. Bukan pengalaman membaiki!”
Mail menjeling.
“Tak apa. Bila aku dah pencen nanti, aku lantik mu jadi pengurus. Kerja mu duduk depan bengkel, habiskan kopi aku.”
Wak Leh yang mendengar dari kaunter terus bersuara.
“Kalau gitu, baik mung berdua buka kedai kopi. Kopi tak payah buat sedap sangat pun tak apa. Yang penting pelanggan datang nak dengar mung bergaduh!”
Ketawa kami bergema sekali lagi, sampai Tok Awang pun terpaksa menutup mulut menahan gelak.
Petang semakin tua. Bayang pokok rambutan memanjang ke halaman warung. Pokcik menghabiskan baki kopi yang sudah suam.
Entah kenapa, sembang petang itu membuat Pokcik berfikir panjang.
Selama bertahun-tahun, hidup kita berjalan mengikut jadual kerja. Ada masa masuk pejabat, ada masa balik rumah, ada masa menerima gaji. Kita terbiasa dengan rutin itu sampai kadang-kadang terlupa bahawa suatu hari nanti, rutin tersebut akan berakhir.
Pokcik sendiri ada kebun yang menunggu untuk diusahakan. Ada pokok-pokok yang perlu dijaga, ada tanah yang masih boleh memberikan hasil, dan ada banyak perkara kecil yang selama ini terpaksa ditangguhkan kerana tuntutan kerja.
Mungkin selepas pencen nanti, kebun itulah tempat Pokcik menghabiskan masa. Bukan untuk mengejar kekayaan besar, tetapi sekadar mencari rezeki tambahan, mengeluarkan peluh dan menikmati hidup dengan cara sendiri.
Cuma satu perkara yang kadang-kadang bermain dalam fikiran. Cukupkah apa yang ada untuk meneruskan kehidupan apabila gaji bulanan sudah tidak masuk seperti dahulu? Soalan itu bukan mudah untuk dijawab. Apatah lagi apabila usia semakin meningkat, sedangkan tanggungjawab terhadap keluarga masih ada.
Pokcik sedar, pencen bukan bermakna kita boleh berhenti berfikir tentang masa depan. Sebaliknya, waktu inilah kita perlu belajar membezakan antara apa yang kita mahu dengan apa yang benar-benar kita perlukan.
Di luar warung, matahari semakin rendah. Mail sudah mula menghidupkan motosikalnya. Mat Rizal pula masih berkeras mahu Wak Leh menambah sepinggan cekodok pisang, katanya sebagai persediaan menghadapi alam pencen.
Tok Awang hanya menggeleng kepala melihat telatah kami.
“Sudahlah tu. Baliklah. Esok pagi masih ada kerja yang menunggu.”
Pokcik tersenyum sendiri.
Ya, selagi masih ada kudrat, masih ada yang boleh diusahakan. Tak semestinya kita perlu menjadi orang kaya untuk menjalani kehidupan yang baik. Tetapi sekurang-kurangnya, janganlah kita sampai ke penghujung usia bekerja tanpa langsung memikirkan bagaimana hendak meneruskan hari-hari yang mendatang.
Kopi di meja sudah habis. Cerita petang itu pun berakhir.
Namun, dalam perjalanan pulang, fikiran Pokcik masih tertinggal di warung Wak Leh.
Barangkali begitulah kehidupan.
Waktu muda, kita sibuk mengejar masa depan. Bila masa depan itu semakin dekat, barulah kita sedar bahawa ada banyak perkara yang sepatutnya kita persiapkan sejak dahulu.
Dan kini, sebelum pintu pejabat tertutup buat kali terakhir, Pokcik masih ada sedikit masa untuk berusaha. ☕

Ulasan