Petang semalam bila hampir waktu berbuka, pokcik duduk sekejap di dapur sambil tengok buah kerdas yang dikait dari kebun. Emak kata, “buat ulam makan dengan budu sedap ni.” Pokcik pun senyum saja, sebab pokcik memang tahu… kerdas ni kalau kena dengan budu, memang jadi pembuka selera.
Pokcik kupas kulitnya perlahan-lahan. Ada bau yang kuat sikit. Tapi bagi orang kampung, bau itulah yang buat rasa dia istimewa. Di dapur pula sudah siap ikan selayang bakar tawar.
Bila azan Maghrib berkumandang, hidangan berbuka pokcik malam tu ringkas saja. Nasi putih panas, budu, ikan selayang bakar tawar, dan ulam buah kerdas.
MasyaAllah… bila makan sekali dengan budu, rasa dia memang lain. Ada rasa lemak lemak, buah yang masih segar. Digigit pula dengan isi ikan bakar yang panas, memang jadi tambah nasi.
Emak pun makan sekali sambil kata, “lama dah tak rasa kerdas macam ni.”
Pokcik cuma senyum. Kadang-kadang rezeki berbuka bukanlah makanan mahal. Cukup sekadar hasil kebun sendiri, dimakan bersama keluarga… itulah yang paling sedap dan paling mengenyangkan hati.


Ulasan
Saya hanya kenal buah kerdas menerusi pembacaan novel. Latar kisah di Kedah.