Petang semalam Pokcik buka open order dalam grup WhatsApp Sembang Unofficial Sekolah. Pokcik maklum, sesiapa yang berminat bolehlah buat tempahan sebelum jam 6.30 petang.
Harga pun biasa-biasa sahaja. RM1 seikat, lebih kurang 250 gram.
Alhamdulillah, sambutannya memang di luar jangkaan. Seramai 15 orang guru membuat tempahan. Kebanyakannya ambil dua ikat seorang. Tauke kantin sekolah pula terus tempah 2 kilogram.
Bila tengok jumlah tempahan, pokcik terus turun ke kebun.
Memang terasa penat juga petang semalam. Dari mencabut kangkung, mengumpul, membersih buang akar, cuci dan mengikat satu persatu, kemudian membasuh sebelum diserahkan kepada yang menempah. Bila hampir siap, pinggang pun mula bagi isyarat. Dah beberapa kali juga pokcik berdiri sekejap, luruskan belakang sebelum sambung kerja semula.
Tapi bila melihat kangkung tersusun kemas mengikut tempahan, rasa penat itu macam hilang sedikit demi sedikit.
Alhamdulillah, semuanya selesai seperti yang dijanjikan. Dapatlah duit hasil jualan itu singgah beli ikan selayang untuk lauk di rumah. Lebihnya, pokcik beli makanan kucing pula.
Penat memang penat... tapi bila hasil kebun ada orang menunggu, hati pun rasa ringan. Esok-esok kalau kangkung subur lagi, bolehlah pokcik buka open order sekali lagi. 😊🌿

Ulasan