Langkau ke kandungan utama

Catatan

Tunjukkan catatan dari 2026

Kebun, Asap dan Sebuah Harapan

Tanah itu tidak pernah bersuara. Ia hanya menanggung. Menanggung pijakan manusia, hujan yang turun tanpa belas, matahari yang membakar tanpa simpati. Pokcik berdiri di atasnya, mencangkul perlahan. Setiap hentakan besi ke bumi seperti mengetuk dada sendiri. Lalang rebah. Akar terputus. Dan dari timbunan kayu kering itu, asap naik  nipis, kelabu, berbau getir. Asap itu bukan sekadar asap. Ia nafas tanah yang lama tercekik. Ia keluhan bumi yang sudah lama menunggu disentuh dengan niat, bukan diratah dengan rakus. Orang kota tidak faham bahasa ini. Mereka hanya kenal angka, graf, dan keuntungan. Sedang di sini, rezeki tumbuh perlahan, bercampur peluh, sabar, dan doa yang tidak berbunyi. Pokcik tahu, tanah ini tidak akan memberi dengan cepat. Seperti hidup, ia hanya membuka pintu kepada mereka yang sanggup menunggu. Dan Pokcik menunggu  dengan cangkul di tangan, dan harapan yang tidak pernah habis di dada. 

Cangkul ditangan, Doa di hati

Hari ini pokcik berdiri lama di tengah tanah yang baru dicuci bersih oleh jentolak. Cangkul di tangan, peluh masih belum kering di belakang baju. Tanah ini dulu semak, penuh belukar, penuh duri. Hari ini ia jadi hamparan luas, sunyi, tapi sarat dengan harapan. Kadang-kadang pokcik termenung begini. Bukan sebab letih semata-mata tapi sebab membayangkan apa yang bakal tumbuh di sini. Getah, ya, semestinya getah sebab tanah ini telah pun di mohon untuk tanaman semula getah dan mungkin juga nenas satu dua baris nanti ditengah-tengah antara setiab baris anak getah. Tanah yang keras ini, kalau sabar dilayan, dia akan beri rezeki. Tanah tak pernah menipu orang yang rajin. Dari belakang, orang mungkin nampak pokcik hanya berdiri. Tapi dalam kepala, macam-macam bermain. Tentang hari esok, tentang kudrat yang makin berkurang, tentang doa supaya tanah ini jadi saksi usaha, bukan sekadar tempat berpijak. Kadang-kadang, berdiri sekejap memandang tanah sendiri itu sudah cukup untuk menguatkan hati. ...

Daripada Kebun Sayur ke Pokok Pisang

Petang tadi pokcik turun ke kebun, bukan nak menyemai sayur macam dulu, tapi nak alihkan anak-anak pisang ke kawasan bekas kebun sayur. Dulu tempat ini meriah. Ada sawi, ada kangkung, ada bayam. Hampir setiap minggu pokcik memetik hasil. Tapi bila pokcik mula fokus pada tanaman getah, kebun sayur terpaksa ditinggalkan. Masa dan tenaga tak mampu dibahagi dua.  Sayang subur dibiarkan kosong. Jadi pokcik buat keputusan tanam pisang. Pisang tak banyak kerenah. Asal tanah gembur, ada air, dia tahu hidup. Tak perlu terlalu manja, tak minta perhatian setiap hari. Dia tumbuh perlahan. Setiap lubang yang pokcik gali petang tadi, setiap anak pisang yang ditanam, terasa macam memulangkan semula nafas pada bumi ini. Biar tanah ini kembali bererti. Biar ada hijau yang membesar. Biar suatu hari nanti ada tandan pisang yang boleh dituai. Tanah ini mungkin tak lagi jadi kebun sayur tapi biarlah ia tetap hidup.

Lembu Masuk Kebun

Kalau hari-hari lembu masuk kebun, memang boleh menangis tengok anak getah pokcik. Baru nak hidup, baru nak berdaun elok, dah kena ratah. Daun habis, tinggal batang kurus macam budak kebuluran. Pagi-pagi sampai kebun, nampak je kesan tapak kaki lembu, hati dah tak sedap. Ada yang patah, ada yang licin tinggal tunggul. Maka bermulalah rutin harian, kejar lembu. Ke sana, ke sini. Jerit, lambai tangan, buat bunyi macam orang gila sikit pun ada. Lembu lari… esok datang balik. Pokcik ni bukan muda lagi. Nafas pun bukan macam dulu. Tapi nak buat macam mana, kebun ni harapan. Kalau dibiarkan, habislah semuanya. Alhamdulillah, cuti Jumaat dan Sabtu pokcik manfaatkan betul-betul. Turun kebun dengan adik dan anak saudara. Bawa tiang, kawat duri, tukul. Panas terik, peluh menitik, tangan calar sikit itu biasa. Kami pacak tiang satu-satu. Tarik kawat perlahan-lahan. Kadang-kadang senyap, kadang-kadang gelak kecil bila tersalah ikat. Penat memang penat, tapi hati rasa lapang. Ini bukan sekadar buat...

Nyamuk dan Malam

Malam di kampung ni, bila lampu dipadam, nyamuk pula yang hidup. Baru nak pejam mata, dengung dekat telinga. Buka mata, tepuk— kosong. Tutup mata semula, datang lagi. Bukan marah sangat pun, cuma penat. Siang sudah habis tenaga di kebun, malam pula bergusti dengan nyamuk. Kadang terfikir, bukan kita saja yang cari hidup, nyamuk pun sama.

Malam Tanpa Mokcik

Mokcik kamu sudah seminggu pergi ke Kuala Lumpur. Katanya ada urusan anak, ada cucu yang perlu dijenguk. Rumah ini pun jadi sunyi. Pintu masih sama, dinding masih sama, kipas masih berpusing perlahan di ruang tamu, tapi bunyinya lain. Sunyi itu bukan pada telinga, tapi pada dada. Biasanya kalau lapar, pokcik capai topi, hidupkan motor, pergi ke kedai hujung kampung. Makan apa adanya. Nasi putih, lauk campur, air suam. Cukup sekadar menutup perut. Tapi malam ini, perut tidak meminta kedai. Perut meminta dapur. Entah kenapa, terasa benar hendak makan nasi goreng buatan sendiri. Bukan kerana rindu pada rasa. Kerana rindu pada gerak. Gerak tangan yang mengacau, bunyi senduk menyentuh kuali, bau bawang yang naik bersama asap. Gerak yang selalu dilakukan ketika Mokcik kamu ada di sisi, berdiri di belakang, kadang menegur, kadang tersenyum. Pokcik bukan tidak biasa menggoreng nasi. Sejak dulu lagi. Masa Mokcik kamu ada pun, nasi goreng itu kerja pokcik. Anak-anak pun selalu kata, “ Nasi goren...

Kelapa Muda dan Waktu yang Perlahan”

Pokcik duduk di warung kecil itu seperti duduk di halaman sendiri. Bukan halaman rumah, tetapi halaman hidup—tempat hati boleh bernaung sebentar daripada bising dunia. Di tangan, sebiji kelapa muda terbuka. Airnya jernih, sejuknya meresap perlahan ke dalam dada. Straw kecil itu menjadi jambatan antara tubuh dan alam, antara manusia dan pohon yang setia berdiri di tepi tanah. Di atas meja, keropok lekor terhidang. Ia sederhana, tetapi di dalamnya ada laut, ada subuh nelayan, ada tangan-tangan yang bekerja dalam diam. Jalan di hadapan tidak pernah berhenti. Kereta datang dan pergi, seperti masa yang tidak mahu menoleh ke belakang. Namun di bangku ini, Pokcik memilih untuk tinggal seketika di ruang yang tidak dikejar jam. Angin petang menyentuh pipi. Bunyi daun bergerak perlahan. Langit, meski tidak ditatap lama, masih setia menaungi. Dan Pokcik sedar, hidup tidak selalu meminta kita berlari. Ada waktunya, ia hanya mahu kita duduk, meneguk yang sejuk, mengunyah yang sederhana, dan menging...

Rakit dan Zaman yang Mengalir

Waktu remaja dulu, sebelum bunyi enjin motosikal memecah sunyi kampung, sebelum jalan tanah merah dan berbatu yang akhirnya membawa ke jalan tar membelah hutan dan bendang, rakit inilah kenderaan utama kami. Rakit buluh, diikat dengan rotan dan tali guni, terapung di atas sungai yang setia mengalir sejak entah bila. Sungai itulah jalan raya kami. Rakit itulah kereta kami. Setiap pagi, seawal kabus masih memeluk air, ibubapa kami turun ke tebing. Galah kayu di bahu, bekal nasi dingin dalam bekas aluminium, kaki melangkah ke atas buluh yang sejuk. Rakit tidak pernah bertanya siapa kita. Tua, muda, lelaki, perempuan—semuanya sama. Asal tahu menolak galah, asal tahu membaca arus, kita boleh sampai ke kebun getah. Pokcik masih ingat betul bunyi air yang terbelah oleh hujung buluh. “Pluk… pluk…” perlahan, seperti bisikan alam. Di kiri kanan, hutan berdiri sebagai saksi. Burung bangun dari tidur, kabus terlerai sedikit demi sedikit, matahari memanjat langit. Rakit bergerak bukan dengan laju, ...

Sejuk Pagi di Kampung: Asap Daun Kelapa dan Air Panas

Pagi di kampung ada caranya sendiri menyapa kita. Kabut masih melekat di hujung daun, embun jatuh perlahan di rumput dan angin pagi menusuk sampai ke tulang. Sejuknya bukan sejuk biasa-biasa. Sejuk yang buat kita teringat zaman orang dulu-dulu. Dulu di kampung, bila pagi terlalu dingin, orang tua akan bakar daun kelapa kering di laman rumah. Api kecil saja, cukup sekadar mengeluarkan asap dan haba. Bukan untuk membakar sampah semata tapi untuk memanaskan badan. Duduk mencangkung dekat api, tangan dihulur, asap nipis naik ke langit pagi. Badan yang menggigil mula rasa lega. Cara kampung melawan sejuk. Sekarang ini, cuaca pun makin pelik. Ada hari panas terik, ada hari tiba-tiba jadi sejuk luar biasa. Di beberapa tempat, suhu pagi jatuh lebih rendah dari biasa. Angin monsun, perubahan iklim, hutan makin berkurang, semua ini sedikit sebanyak mengubah “perangai” cuaca. Alam seperti sedang bercakap dengan kita, cuma kita saja yang selalu buat-buat tak dengar. Pagi ini, pokcik mandi pun ras...

Jejak Yang Masih Tinggal di Kebun Ini

Petang tadi, pokcik bawa emak melawat kebun ini. Kebun yang dah lama dia sebut-sebut nak tengok semula. Selama ini pokcik tak benarkan kerana keadaan jalan yang kurang elok. Usia emak hampir 90 tahun, jalan pula dulu berselut, becak, licin. Pokcik takut dia terjatuh. Tapi hari ini, tanah sudah keras. Tiada lumpur. Laluan sudah boleh dilalui dengan lebih selamat, kereta pun dah boleh rapat sampai ke pondok kebun.  Kebun ini bukan tanah biasa. Dahulu, di sinilah emak dan arwah ayah mencari rezeki. Waktu itu, tiada jalan raya. Tiada jalan berbatu. Hanya denai kecil di celah belukar. Setiap pagi, emak dan ayah akan berjalan kaki hampir sejam untuk sampai ke sini. Menoreh getah. Tengah hari berehat sekejap, kemudian petang berjalan pulang. Sejam lagi. Setiap hari begitu. Bila hujung minggu, pokcik dan adik-beradik akan ikut sama. Kami kecil-kecil, berjalan di belakang mereka. Letih, lapar, tapi entah kenapa waktu itu rasa bahagia. Hari ini, emak duduk di pondok kecil ini. Matanya memand...

Cuti Isra’ Mikraj di Kebun Warisan

Hari ini cuti Isra’ Mikraj. Pagi masih muda, embun belum sempat kering, Pokcik dan adik sudah berada di kebun warisan keluarga. Tanah ini bukan sekadar tempat bercucuk tanam, tapi tinggalan doa dan peluh orang-orang lama. Setiap inci ada ceritanya. Kerja hari ini sederhana saja, tapi penting. Kami potong rumput di sepanjang sempadan tanah. Laluan yang selama ini dibiarkan, kini perlu dibersihkan untuk dibuat pagar. Kayu pagar sebenarnya sudah siap, kelmarin kami masuk hutan berhampiran, menebang dan mengeluarkan batang-batang kayu yang sesuai. Berat, letih, tapi hati lapang. Di hujung pagar sebelah sana, yang siap dibuat minggu lepas, kami dapati ada bahagian yang rosak. Rupanya telah dirempuh oleh badak. Ya, di sini masih ada sisa alam yang liar. Kadang-kadang kita yang menumpang di tanah mereka. Pagar itu kami baiki semula, sekadar cukup untuk menandakan sempadan, bukan untuk melawan alam. Di bawah cahaya pagi yang lembut, bunyi mata mesin menyentuh rumput dan ngauman mesin galas dib...

Cerita kedai kopi #13 - Kuali Kosong, Hati Penuh Resah

Pagi itu kabus masih nipis melayang atas bendang. Kedai kopi papan hujung simpang baru buka. Pintu kayu berkeriut, bau kopi O panas terus menyambar hidung. Pokcik sampai dulu. Duduk di meja biasa bawah pokok ketapang. Meja yang sudah berparut-parut dimakan masa. Atasnya ada teko kopi, tiga cawan kaca, dan sepiring cekodok pisang yang masih berasap. Tak lama, Mat Rizal datang dengan plastik putih di tangan. Mukanya masam macam kopi tak bergula. “ Kamu tau tak, Pokcik… minyak masak sekarang ni susah nak dapat” katanya sambil duduk. “ Tadi aku pusing tiga kedai. Semua jawab sama — habis. Yang ada botol besar harga macam nak beli petrol setengah tangki .” Pokcik senyum kecil. “Kamu  goreng apa sampai risau sangat?” “ Bini aku nak buat jemput-jemput untuk cucu. Minyak setitik pun tak ada. Jemput-jemput jadi jemput-jemput angin la…” Mail Towing sampai sambil ketawa kecil. “ Dulu orang risau tak ada lauk. Sekarang lauk ada, minyak tak ada. Ayam tengok kita, kita tengok ayam. Sama-sama tak...

Singgah Sebentar di Hujung Sawah

Petang tadi, pokcik singgah sekejap di tepi bendang. Sawah baru ditenggala, tanah masih basah, air bertakung nipis, bau lumpur naik bersama angin. Langit pun kelabu-kelabu manja, macam nak hujan tapi masih beri ruang untuk kita bernafas tenang. Pokcik duduk atas kapcai ni, mesin tak besar, bunyi pun biasa-biasa. Tapi dialah yang setia bawa pokcik ke mana saja—ke kebun, ke kedai kopi, ke hujung kampung tengok dunia yang makin berubah. Di kiri kanan, padi belum tumbuh. Cuma petak-petak tanah yang baru diusik mata bajak. Namun di situlah harapan bermula. Kadang-kadang hidup kita pun macam sawah ni. Ada masa kosong, berlumpur, nampak tak cantik. Tapi orang yang faham, dia tahu—itulah permulaan rezeki. Dari tanah yang kelihatan sepi, nanti tumbuh hijau yang mengenyangkan ramai perut. Pokcik termenung sekejap atas motor. Bukan sebab penat sangat. Cuma terasa… hidup ni laju. Anak-anak membesar, kampung makin berubah, orang lama makin sedikit. Tapi bendang masih di situ. Langit masih di atas k...

Semangkuk Maggi di Hujung Malam

Cerita semalam, perut pokcik mula bagi isyarat. Bukan lapar biasa-biasa. Ini lapar yang datang perlahan tapi dalam, jenis yang buat dada rasa tak selesa. Pokcik ajak bini keluar makan. “Jomlah, kita cari nasi sikit.” Dia geleng kepala. Penat katanya. Mata dah berat. Pokcik faham. Tapi perut pokcik tak pandai faham bahasa “tunggu esok”. Pokcik ni ada GERD. Kalau perut kosong lama sangat, dada jadi pedih, nafas jadi tak sedap. Nak baring pun tak lena. Akhirnya, pokcik pakai selipar, capai kunci motor. Keluar sorang-sorang ke warung hujung jalan. Malam dah benar. Jalan kampung sunyi. Angin sejuk sentuh pipi. Warung kecil tu masih bernyawa. Lampu malap, meja kayu, kerusi plastik. Tak ramai orang. “Nasi dah habis, bang. Tinggal Maggi saja,” kata tuan warung. Pokcik senyum. Tak apa. Bila semangkuk Maggi panas sampai, dengan telur pecah di tengah dan segelas Teh O Beng di tepi…pokcik rasa macam diselamatkan. Makan perlahan. Biar perut tahu, dia tak ditinggalkan. Kadang-kadang, hidup ni bukan ...

Lama Menyepi, Hari Ini Pokcik Kembali

Lama benar pokcik tak menjenguk ruang kecil ini. Bukan sengaja menyepi, cuma hidup sejak kebelakangan ini penuh dengan tarikh, fail, tugasan dan perkara yang perlu diselesaikan satu demi satu. Hari-hari pokcik lebih banyak dihabiskan di hadapan skrin, menyusun dokumen, menyiapkan kerja, mengejar masa yang sering mendahului kita. Ada hari pokcik rindu hendak menulis, rindu hendak berkongsi cerita kampung, cerita hidup, cerita kecil yang selalu jadi penawar jiwa. Tapi tangan lebih kerap menaip laporan daripada menaip rasa. Hari ini pokcik kembali. Bukan dengan cerita besar, cuma sekadar mahu menyapa. Hidup ini begitulah, kadang kita perlu berhenti sekejap daripada hal yang kita cinta, demi menunaikan tanggungjawab yang tak boleh ditinggalkan. Namun, selagi ada ruang, selagi ada nafas, pokcik akan cuba kembali menuliswalau sedikit, walau perlahan. Kerana di sinilah pokcik belajar menenangkan diri, merawat lelah, dan mengingatkan hati bahawa hidup bukan sekadar mengejar tarikh akhir, tetap...

Buat pagar kebun

Hari ini pokcik habiskan masa di kebun, pasang pagar kawat. Puncanya satu saja – anak getah yang kita tanam hari tu sekarang tinggal batang. Daunnya habis dimakan kawanan lembu yang masuk kebun Bila tengok anak pokok botak macam tu, hati jadi sayu sikit. Bukan main penat kita, jadi terpaksalah kita pasang pagar, jaga apa yang ada. Kerja bermula lebih kurang pukul 9 pagi. Matahari makin naik, peluh makin laju turun. Pancang demi pancang ditanam, kawat ditarik perlahan-lahan. Sebelah bahagian kebun siap dipagar sekitar pukul 2.30 petang. Lega tengok hasilnya, walaupun masih ada sebelah lagi yang menunggu giliran. Petang ini badan mula rasa lain macam. Pinggang berdenyut, urat-urat rasa tegang. Mungkin demam urat. Biasalah orang tua, bila buat kerja berat sikit, badan terus bagi isyarat. Tapi pokcik tetap bersyukur. Hari ini ada kerja, ada peluh, ada hasil. Minggu depan sambung lagi yang berbaki. 

35 Pokok Kelapa Pandan Hari Ini

Hari ini pokcik bersama adik dan anak saudara siap tanam 35 pokok kelapa pandan. Kerja dari pagi sampai tengah hari. Panas, letih, tapi alhamdulillah semua selesai. Benih kelapa ni kami susun elok-elok, gali lubang satu-satu dan tanam ikut barisan. Tanah masih boleh tahan, ada keras sikit, ada lembut. Bila letih, kami rehat sekejap di pondok, minum air dan sambung balik. Insya-Allah Jumaat minggu depan akan tanam lagi. Jumlah benih lebih kurang sama. Buat sikit-sikit, yang penting jalan dan jadi. Cabaran utama di kebun ni babi hutan. Selalu masuk waktu malam. Harap benih yang ditanam ni selamat dan tak diganggu. Kita jaga setakat mampu, selebihnya kita serah pada Allah. Menanam ni bukan terus nampak hasil. Kena sabar dan tunggu. Apa yang penting, usaha dah dibuat. Mudah-mudahan pokok hidup subur dan suatu hari nanti berbuah. Pelan-pelan kita buat, asalkan tak berhenti.

Di Depan Unggun Api

Malam ni pokcik duduk saja, kerusi lipat jadi teman, unggun api kecil menyala perlahan. Tak ada apa yang dikejar, tak ada siapa yang ditunggu. Kayu pokcik tolak sikit ke dalam api, bukan sebab sejuk sangat, cuma takut bara itu mati. Kadang-kadang hidup pun begitu, bukan tak mampu, cuma perlu disentuh sedikit supaya terus bernyawa. Dulu-dulu pokcik pernah bermalam begini, tak ada khemah cantik, tak ada lampu terang. Tanah jadi alas, langit jadi bumbung, dan cerita jadi penghibur sampai mata kalah dengan malam. Unggun api ini tak pernah ajar pokcik bercakap kuat, dia ajar pokcik duduk diam, dengar bunyi sendiri dan faham bahawa tak semua yang kita lalui perlu diceritakan panjang-panjang. Entah kenapa malam begini selalu buat pokcik teringat orang lama, teringat kawan yang pernah berkongsi api, berkongsi rokok, berkongsi cerita yang kini tinggal kenangan. Kalau kau pernah melalui malam seperti ini, kau pasti faham kenapa pokcik masih suka duduk begini, walaupun dunia sudah terlalu bising.

Musim Sekolah, Musim Bertanya dan Berdoa

Musim sekolah datang lagi. Setiap kali masuk hujung tahun atau awal tahun begini, suasana jadi lain sedikit. Kedai buku mula penuh. Kedai kasut sekolah tak pernah sunyi. Ibu ayah kira belanja, anak-anak pula kira hari. Ada yang teruja, ada juga yang buat muka berat sebab tahu cuti dah habis. Pokcik perasan semua itu dari jauh saja sekarang. Dulu, musim sekolah adalah musim sibuk untuk pokcik. Bangun awal, kejutkan anak-anak, pastikan baju sekolah dah digosok, stoking tak hilang sebelah, beg sekolah tak tertinggal buku. Ada hari-hari tertentu yang buat pokcik geleng kepala, tapi bila diingat balik, semua itu jadi kenangan yang manis. Sekarang rumah dah sunyi. Tiada lagi suara anak bertanya, “Abah, buku ni kena balut ke?” Tiada lagi drama pagi bila loceng sekolah hampir berbunyi. Bila berdiri di hadapan sekolah, pokcik sedar satu perkara, masa memang bergerak tanpa menunggu sesiapa. Anak-anak membesar, kita pula perlahan-lahan berubah peranan. Dari orang yang mengurus, kepada orang yang ...