Langkau ke kandungan utama

Catatan

Kebun, Asap dan Sebuah Harapan

Tanah itu tidak pernah bersuara. Ia hanya menanggung. Menanggung pijakan manusia, hujan yang turun tanpa belas, matahari yang membakar tanpa simpati. Pokcik berdiri di atasnya, mencangkul perlahan. Setiap hentakan besi ke bumi seperti mengetuk dada sendiri. Lalang rebah. Akar terputus. Dan dari timbunan kayu kering itu, asap naik  nipis, kelabu, berbau getir. Asap itu bukan sekadar asap. Ia nafas tanah yang lama tercekik. Ia keluhan bumi yang sudah lama menunggu disentuh dengan niat, bukan diratah dengan rakus. Orang kota tidak faham bahasa ini. Mereka hanya kenal angka, graf, dan keuntungan. Sedang di sini, rezeki tumbuh perlahan, bercampur peluh, sabar, dan doa yang tidak berbunyi. Pokcik tahu, tanah ini tidak akan memberi dengan cepat. Seperti hidup, ia hanya membuka pintu kepada mereka yang sanggup menunggu. Dan Pokcik menunggu  dengan cangkul di tangan, dan harapan yang tidak pernah habis di dada. 

Cangkul ditangan, Doa di hati

Hari ini pokcik berdiri lama di tengah tanah yang baru dicuci bersih oleh jentolak. Cangkul di tangan, peluh masih belum kering di belakang baju. Tanah ini dulu semak, penuh belukar, penuh duri. Hari ini ia jadi hamparan luas, sunyi, tapi sarat dengan harapan. Kadang-kadang pokcik termenung begini. Bukan sebab letih semata-mata tapi sebab membayangkan apa yang bakal tumbuh di sini. Getah, ya, semestinya getah sebab tanah ini telah pun di mohon untuk tanaman semula getah dan mungkin juga nenas satu dua baris nanti ditengah-tengah antara setiab baris anak getah. Tanah yang keras ini, kalau sabar dilayan, dia akan beri rezeki. Tanah tak pernah menipu orang yang rajin. Dari belakang, orang mungkin nampak pokcik hanya berdiri. Tapi dalam kepala, macam-macam bermain. Tentang hari esok, tentang kudrat yang makin berkurang, tentang doa supaya tanah ini jadi saksi usaha, bukan sekadar tempat berpijak. Kadang-kadang, berdiri sekejap memandang tanah sendiri itu sudah cukup untuk menguatkan hati. ...

Daripada Kebun Sayur ke Pokok Pisang

Petang tadi pokcik turun ke kebun, bukan nak menyemai sayur macam dulu, tapi nak alihkan anak-anak pisang ke kawasan bekas kebun sayur. Dulu tempat ini meriah. Ada sawi, ada kangkung, ada bayam. Hampir setiap minggu pokcik memetik hasil. Tapi bila pokcik mula fokus pada tanaman getah, kebun sayur terpaksa ditinggalkan. Masa dan tenaga tak mampu dibahagi dua.  Sayang subur dibiarkan kosong. Jadi pokcik buat keputusan tanam pisang. Pisang tak banyak kerenah. Asal tanah gembur, ada air, dia tahu hidup. Tak perlu terlalu manja, tak minta perhatian setiap hari. Dia tumbuh perlahan. Setiap lubang yang pokcik gali petang tadi, setiap anak pisang yang ditanam, terasa macam memulangkan semula nafas pada bumi ini. Biar tanah ini kembali bererti. Biar ada hijau yang membesar. Biar suatu hari nanti ada tandan pisang yang boleh dituai. Tanah ini mungkin tak lagi jadi kebun sayur tapi biarlah ia tetap hidup.

Lembu Masuk Kebun

Kalau hari-hari lembu masuk kebun, memang boleh menangis tengok anak getah pokcik. Baru nak hidup, baru nak berdaun elok, dah kena ratah. Daun habis, tinggal batang kurus macam budak kebuluran. Pagi-pagi sampai kebun, nampak je kesan tapak kaki lembu, hati dah tak sedap. Ada yang patah, ada yang licin tinggal tunggul. Maka bermulalah rutin harian, kejar lembu. Ke sana, ke sini. Jerit, lambai tangan, buat bunyi macam orang gila sikit pun ada. Lembu lari… esok datang balik. Pokcik ni bukan muda lagi. Nafas pun bukan macam dulu. Tapi nak buat macam mana, kebun ni harapan. Kalau dibiarkan, habislah semuanya. Alhamdulillah, cuti Jumaat dan Sabtu pokcik manfaatkan betul-betul. Turun kebun dengan adik dan anak saudara. Bawa tiang, kawat duri, tukul. Panas terik, peluh menitik, tangan calar sikit itu biasa. Kami pacak tiang satu-satu. Tarik kawat perlahan-lahan. Kadang-kadang senyap, kadang-kadang gelak kecil bila tersalah ikat. Penat memang penat, tapi hati rasa lapang. Ini bukan sekadar buat...

Nyamuk dan Malam

Malam di kampung ni, bila lampu dipadam, nyamuk pula yang hidup. Baru nak pejam mata, dengung dekat telinga. Buka mata, tepuk— kosong. Tutup mata semula, datang lagi. Bukan marah sangat pun, cuma penat. Siang sudah habis tenaga di kebun, malam pula bergusti dengan nyamuk. Kadang terfikir, bukan kita saja yang cari hidup, nyamuk pun sama.

Malam Tanpa Mokcik

Mokcik kamu sudah seminggu pergi ke Kuala Lumpur. Katanya ada urusan anak, ada cucu yang perlu dijenguk. Rumah ini pun jadi sunyi. Pintu masih sama, dinding masih sama, kipas masih berpusing perlahan di ruang tamu, tapi bunyinya lain. Sunyi itu bukan pada telinga, tapi pada dada. Biasanya kalau lapar, pokcik capai topi, hidupkan motor, pergi ke kedai hujung kampung. Makan apa adanya. Nasi putih, lauk campur, air suam. Cukup sekadar menutup perut. Tapi malam ini, perut tidak meminta kedai. Perut meminta dapur. Entah kenapa, terasa benar hendak makan nasi goreng buatan sendiri. Bukan kerana rindu pada rasa. Kerana rindu pada gerak. Gerak tangan yang mengacau, bunyi senduk menyentuh kuali, bau bawang yang naik bersama asap. Gerak yang selalu dilakukan ketika Mokcik kamu ada di sisi, berdiri di belakang, kadang menegur, kadang tersenyum. Pokcik bukan tidak biasa menggoreng nasi. Sejak dulu lagi. Masa Mokcik kamu ada pun, nasi goreng itu kerja pokcik. Anak-anak pun selalu kata, “ Nasi goren...

Kelapa Muda dan Waktu yang Perlahan”

Pokcik duduk di warung kecil itu seperti duduk di halaman sendiri. Bukan halaman rumah, tetapi halaman hidup—tempat hati boleh bernaung sebentar daripada bising dunia. Di tangan, sebiji kelapa muda terbuka. Airnya jernih, sejuknya meresap perlahan ke dalam dada. Straw kecil itu menjadi jambatan antara tubuh dan alam, antara manusia dan pohon yang setia berdiri di tepi tanah. Di atas meja, keropok lekor terhidang. Ia sederhana, tetapi di dalamnya ada laut, ada subuh nelayan, ada tangan-tangan yang bekerja dalam diam. Jalan di hadapan tidak pernah berhenti. Kereta datang dan pergi, seperti masa yang tidak mahu menoleh ke belakang. Namun di bangku ini, Pokcik memilih untuk tinggal seketika di ruang yang tidak dikejar jam. Angin petang menyentuh pipi. Bunyi daun bergerak perlahan. Langit, meski tidak ditatap lama, masih setia menaungi. Dan Pokcik sedar, hidup tidak selalu meminta kita berlari. Ada waktunya, ia hanya mahu kita duduk, meneguk yang sejuk, mengunyah yang sederhana, dan menging...