Pagi ini suasana di sekolah pokcik lain macam sikit. Dari awal pagi lagi halaman sekolah sudah mula dihiasi Jalur Gemilang. Merah, putih, biru dan kuning memenuhi ruang, macam sekolah pun sudah mula bersiap menyambut bulan yang penuh dengan cerita tentang tanah air.
Pagi ini berlangsung Majlis Peluncuran Bulan Kemerdekaan. Majlis yang sederhana, tetapi meriah dengan semangat dan wajah-wajah ceria anak-anak sekolah.
Majlis peluncuran ini telah dirasmikan oleh Guru Besar. Simboliknya cukup menarik. Ada acara membuka kain rentang, kibaran Jalur Gemilang, laungan semangat dan tentunya wajah murid-murid yang begitu teruja.
Yang paling pokcik suka melihat anak-anak murid.
Bila tangan kecil mereka mengangkat Jalur Gemilang, ada sesuatu yang terasa dalam hati pokcik. Bendera itu mungkin kecil di tangan mereka, tetapi maknanya besar. Di situlah kita berharap tumbuhnya rasa sayang kepada negara, kepada sekolah dan kepada tanah tempat mereka membesar.
Sepanjang Bulan Kemerdekaan ini, macam-macam program sudah dirancang untuk warga sekolah. Ada aktiviti berkaitan kemerdekaan, pertandingan, persembahan dan pelbagai acara yang akan menceriakan suasana sekolah.
Maknanya, belum habis lagi cerita kita.
Hari ini baru permulaan.
Selepas ini tentu akan ada bermacam-macam gelagat anak-anak sekolah — ada yang bersemangat, ada yang malu-malu, ada yang terlebih semangat sampai suara pun hampir hilang. đŸ˜„
Pokcik pula, seperti biasa… bukan saja melihat.
Kamera mesti dibawa.
Sebab setiap kali anak-anak mengibarkan Jalur Gemilang, setiap kali mereka tersenyum dan setiap kali halaman sekolah dipenuhi warna-warni bendera, pokcik rasa sayang kalau kenangan itu dibiarkan berlalu begitu saja.
Kemerdekaan bukan sekadar bendera yang berkibar di tiang.
Ia juga tentang anak-anak yang sedang belajar mengenal erti sebuah negara.
Dan pagi ini, di sekolah kecil kami, semangat itu sudah mula berkibar.
Selamat menyambut Bulan Kemerdekaan.
Pokcik nak kongsi lagi gambar...
















Ulasan