Pagi tadi pokcik ke kebun tempat pokcik baru tanam anak getah. Tujuan asal cuma satu, hendak menebas semak samun yang sudah mula meninggi di celah pokok getah muda. Sedang berjalan mencari laluan yang sesuai untuk memulakan kerja, mata pokcik terpandang beberapa kesan tapak kaki yang cukup besar di atas tanah berpasir.
Pokcik berhenti seketika. Besar sungguh tapaknya.
Pada pendapat pokcik, tapak kaki ini mungkin milik seekor badak. Pokcik bukanlah pakar mengesan hidupan liar, tetapi beberapa orang kawan pekebun pernah bercerita bahawa di sekitar kawasan kebun pokcik dan beberapa kawasan berhampiran, ada seekor badak yang dikatakan sesekali berkeliaran mencari makan.
Kalau difikirkan, tidaklah mustahil. Kebun getah pokcik ini memang tidak jauh dari kawasan hutan simpan. Malah, pejabat PERHILITAN pun berada tidak jauh dari sini. Kawasan seperti ini sememangnya menjadi laluan pelbagai hidupan liar.
Apa pun, ini hanyalah pemerhatian dan andaian pokcik berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemui serta cerita daripada rakan-rakan pekebun. Jika benar ada hidupan liar yang keluar dari hutan, kita sebagai pekebun perlulah sentiasa berwaspada dan menghormati habitat mereka.

Ulasan