Ahad, 22 Jun 2025

Benih babycorn dah tumbuh

Alhamdulillah… pagi tadi pokcik sempat jenguk batas jagung di hujung kebun. Seronok hati tengok barisan anak pokok jagung babycorn mula naik elok – baris demi baris, tegak dan hijau warnanya.

Pokcik masih ingat hari pokcik semai benih ni, tanah pun baru lepas pokcik cangkul. Pokcik susun elok-elok dalam baris, tabur sikit arang sekam dan tutup balik dengan tanah lembut. Cuaca minggu ni pun baik – ada hujan renyai dan panas sederhana.

Baru beberapa inci tinggi, pokok jagung ni kalau dijaga betul, dalam dua bulan boleh mula berbuah. Inilah nikmat berkebun – kecil tumbuhannya, besar rasa syukurnya..


Sabtu, 21 Jun 2025

Bengkel fotografi Kebudayaan


Pagi Jumaat 20 Jun 2025, pokcik berpeluang berada dalam bengkel fotografi Kebudayaan anjuran NADI FELDA Tenang bersama seorang tokoh dalam dunia fotografi tanah air, saudara Dallah Deen. Nama dia mungkin tak asing lagi bagi peminat foto human interest dan dokumentari desa. Siapa yang pernah tengok gambar ikonik "budak kerbau" tu, haaa… itulah hasil bidikan mata dan hati beliau. Sekadar mengasah kembali minat dalam bidang ini yang hampir luput.

Program ni bukan sekadar sembang kosong. Dallah banyak kongsi cerita di balik tabir setiap gambar — tentang bagaimana kesabaran, rasa hormat pada subjek, dan keikhlasan menjadi kunci dalam setiap rakaman. Katanya, "Gambar yang benar-benar hidup datang dari hati, bukan dari gear semata-mata."

Pokcik terkesan bila dia cerita tentang proses merakam gambar budak main kerbau tu — bukan tangkap dan cabut. Tapi dia duduk, bergaul, bercakap, dan tunggu detik yang jujur. Itu yang buat gambarnya bukan sekadar cantik, tapi menyentuh jiwa.




🎖️ Analisa Kejayaan Dallah Deen dalam Fotografi

  1. Fokus pada Jiwa Melayu dan Desa
    Gambar-gambar Dallah bukan sekadar ‘gambar kampung’ — tapi gambaran nilai dan jiwa orang kita. Beliau berjaya mendokumentasikan budaya, kehidupan seharian, dan emosi orang biasa, lalu menjadikan ia luar biasa.

  2. Gaya Natural dan Tidak Diarah
    Beliau mengangkat teknik natural light dan subjek spontan — menjadikan hasilnya jujur dan tidak dibuat-buat. Pendekatan ini sesuai dengan genre dokumentari dan human interest yang beliau kuasai.

  3. Pengiktirafan Dalam dan Luar Negara
    Gambar beliau pernah tular, masuk pameran, dan menjadi rujukan dalam kelas fotografi — satu pencapaian besar bagi jurufoto bebas. Ini menunjukkan bahawa cerita kampung pun boleh bawa kita ke pentas dunia.

  4. Menjadi Inspirasi Generasi Muda
    Ramai jurufoto muda menjadikan Dallah sebagai contoh. Beliau juga aktif berkongsi ilmu, termasuk dalam program seperti yang pokcik hadiri tadi — bukti kejayaannya bukan hanya pada hasil gambar, tetapi pada kesan yang ditinggalkan.




Jumaat, 20 Jun 2025

Kenapa daun anak kacang panjang berwarna kuning

Hari tu pokcik ada tanam benih kacang dalam 20 atau 30 lubang gitulah, Benih yang ditanam telah mengeluarkan daun. Dalam satu lubang dimasukkan dua biji benih, salah satu pokok kelihatan sihat dengan daun hijau, manakala satu lagi mempunyai daun berwarna kuning pucat. Ini menandakan berlakunya masalah fisiologi pada tanaman tersebut.

Punca daun kuning pada anak kacang panjang:

  1. Kekurangan Nitrogen (N):
    Nitrogen penting untuk pembentukan klorofil. Daun yang kuning biasanya tanda kekurangan nitrogen, terutamanya pada daun yang lebih tua dahulu.

  2. Saliran tanah lemah atau terlalu basah:
    Akar mungkin tidak cukup oksigen jika tanah terlalu lembap. Ini menjejaskan penyerapan nutrien.

  3. Cahaya matahari tidak mencukupi:
    Jika anak pokok ditanam di kawasan yang terlalu teduh, fotosintesis akan terbantut lalu daun kekuningan.

  4. Masalah akar atau pemindahan:
    Jika pokok baru dipindahkan, mungkin akarnya belum stabil atau tercedera.

  5. Penyakit kulat/akar rosak:
    Kadang-kadang daun kekuningan juga berpunca dari jangkitan kulat di akar.

  6. Mungkin berpunca dari benih itu sendiri

Khamis, 19 Jun 2025

Fuel Pump - Hand Cap Caburator

Dah lama betul mini tiller OGAWA tak digunakan, berkarat dah nampaknya. Bukan tak nak guna, tapi hand blower carburator cap dia dah pecah. Minyak dah tak naik ke kaburator.

Lepas puas cari sana sini, akhirnya pokcik jumpa gantiannya kat online shopping (shoppe). Harga pun boleh tahan murah, cap baru tu memang nampak elok dan sesuai. Sampai je barang, pokcik pun terus pasang. Tak susah mana, asalkan ada screwdriver.

Tiller ni banyak berjasa sebenarnya – masa mula-mula buka kebun dulu, dialah yang bantu pokcik gembur tanah. Selesai pasang cap terus picit-picit pam minyak nampak elok je masuk ke kaburator. Terus tarik tali starter enjin, berdesing bunyinya mesin tiller terus berpusing bergerak.. cepat-cepat pokcik matikan enjin rupanya tali minyak pula lekat... satu kerja lagi kena buat. Buka kaburator tengok tali minyak, betulkan sikit dan sapukan minyak pelincir sikit.. tak sempat selesai lagi..

Nanti pokcik sambung baiki tali minyak nanti... tiba-tiba ada perkara lain yang pokcik segera lakukan

Rabu, 18 Jun 2025

Gambar hari Rabu #89 - Manggo Frappe dari Zus coffee



Lepas Maghrib tadi, anak Pokcik ajak keluar pekan sekejap. Katanya nak ke ZUS Coffee, teringin sangat nak kopi. Pokcik pun ikutlah, walaupun Pokcik bukan kaki kopi.

Sampai kat kaunter, Pokcik kata, “Abah tak minum kopi lah…”
Dia senyum sambil jawab, “Tau lah, tapi untuk abah kita beli Mango Frappe.”

Haa... dapatlah Pokcik rasa Mango Frappe tu. Warna kuning, ais kisar halus, topping pun cantik. Tapi... manis ya amat! Pokcik minum dua tiga sedut, terus rasa nak cari air masak. Bukan tak sedap, tapi lidah orang lama ni memang dah biasa air kosong atau teh panas je.

Pokcik senyum jugak… bukan sebab minuman tu, tapi sebab perhatian anak, ni anak perempuan bongsu pokcik seorang. Minggu depan dah nak lapor diri kat kolej matrikulasi Gambang, lepas ni tinggal pokcik laki bini je lah kat rumah. Yang lain dah ada kerjaya masing-masing.

Lepas ni kalau keluar lagi, Pokcik cadang air suam je lah ya... tapi tetap ikut, sebab yang penting bukan minuman tu, tapi masa bersama anak-anak. ❤️




Selasa, 17 Jun 2025

Meja Kerja – Tempat Cerita Bermula

Kadang-kadang orang tengok meja kerja ni biasa saja… tapi bagi Pokcik, inilah tempat yang banyak menyimpan cerita – suka, duka, serabut, tenang… semua ada.

Hari ni, Pokcik duduk depan komputer. Skrin menyala dengan fail PDF – panjang berjela, penuh dengan ayat rasmi dan jadual yang kena difahami. Kat sebelah tangan kanan, fail tebal warna biru siap terbuka. Helaian demi helaian Pokcik selak – macam baca novel. 😅

Dekat tepi monitor, ada barisan cop-cop rasmi – warna hitam, merah, hijau, semua ada. Kadang bunyi cop tu je boleh naikkan semangat kerja.

Fail-fail pula duduk elok dalam pemfail bertingkat. Masing-masing simpan rekod penting. Pokcik tak berani letak sembarangan – takut esok cari tak jumpa, boleh meroyan sorang-sorang dalam pejabat.

Pokcik tahu, meja ni tak ada bunga segar, tak ada lampu LED macam meja anak-anak muda TikTok, tapi meja ni ada jiwa. Jiwa kerja, jiwa sabar, dan jiwa tanggungjawab.

Dan bila semua kerja siap… Pokcik akan tutup fail, tarik nafas panjang, dan bisik dalam hati:

“Esok… sambung lagi"

Isnin, 16 Jun 2025

Pembakaran Daun Kering Sebagai Kaedah Pemulihan Penyakit moko

Petang tadi pokcik buat kerja bersih sekitar kawasan pokcik tanam pokok pisang. Pokcik tengok banyak pokok pisang pokcik yang dah mula kena penyakit moko.

Penyakit ni kalau orang kampung dulu-dulu kata, "pokok tu macam kena racun akar" – daunnya layu, jantung keluar berbuah seperti biasa tapi akhirnya buahnya jadi hitam dan rosak (buah tak menjadi). Bila pokcik belah batangnya, keluar lendir busuk warna kelabu. Ha… itu memang sah-sah Moko!

Jadi petang tadi pokcik bakar terus daun kering yang ada di pokok tu, biar dengan sekali pokok tu terbakar.

1. Tujuan Pembakaran:

Membakar daun dan pelepah pisang yang telah dijangkiti bertujuan membasmi bakteria Ralstonia solanacearum yang menjadi punca penyakit Moko.

Bakteria ini merebak melalui tanah, air, dan peralatan ladang – jadi pembakaran bahan tercemar boleh mengurangkan risiko penularan.

2. Kelebihan:

Cepat dan efektif untuk membunuh patogen di tempat jangkitan.

Mengurangkan bahan reput yang boleh menjadi tempat pembiakan serangga perosak sekunder.

3. Kekurangan dan Risiko:

Risiko kebakaran terbuka jika tidak diawasi atau dilakukan ketika angin kuat.

Tidak menyelesaikan masalah jika akar dan tanah masih dijangkiti – bakteria boleh terus hidup di tanah.

Perlu digabungkan dengan tindakan lain seperti pemotongan pokok yang dijangkiti sepenuhnya, rawatan tanah, dan pemantauan berterusan.

📌 Tips Pokcik:

Kalau bakar, pastikan kawasan sekitar bersih – elakkan kebakaran merebak.

Pokcik guna air sekeliling untuk sempadan supaya api tak melarat.


Ahad, 15 Jun 2025

Pokcik Tanam Babycorn Petang ni

Balik sekolah tadi cuaca elok, redup sikit… di hulu pendalaman daerah pokcik cuaca nampak gelap sekali sekala terdengar sayup sayup dentuman guruh.. petang ni keadaan mengizinkan jadi pokcik ambil kesempatan semai benih babycorn kat hujung kebun. 

Alat cangkul lama yang setia, baldi cat buruk yang pokcik guna buat letak baja… semua tu dah jadi kawan rapat dalam kerja kebun ni. Tanah pokcik cangkul elok-elok, letak baja sikit, lepas tu masukkan tiga benih. Insya-Allah kalau jadi, dua tiga minggu lagi dah boleh nampak anak pokok mencacak naik.

Tanam babycorn ni seronok – tak ambil masa lama sangat, dan hasilnya boleh dimakan segar, celur cicah budu atau apa apa lagi, tapi yang paling puas hati bila tengok pokok tumbuh elok, subur macam barisan jagung yang dah besar kat belakang tu.

Kerja kebun ni penat, tapi tenang. Setiap batas yang pokcik siapkan rasa macam satu doa... semoga berbuah rezeki. Kalau menjadi, boleh kongsi dengan jiran-jiran dan sahabat. Doakan ya, pokcik rajin-rajin dan babycorn ni tumbuh meriah!

Lepas siap semai benih, pokcik duduk sekejap bawah pokok pisang ambil angin. Tak lama lepas tu, dua orang sahabat lama pokcik, Musa dan Malik singgah melawat. Masing-masing pakai topi lusuh, baju pun dah lencun peluh, tapi muka ceria je bila nampak pokcik.

Kami pun duduk bersila atas batas yang kering, sembang panjang. Dari jagung melarat ke topik lain termasuklah cerita tentang pisang Malik yang asyik ‘hilang’ tengah malam. Pokcik gelak besar bila dengar dia pasang botol kosong isi batu untuk dijadikan alarm bila ada pencuri datang.

“Kalau botol tu tak bunyi, mungkin monyet. Tapi kalau bunyi dua kali, mesti manusia,” kata Malik, buat kami bertiga ketawa sakan.

Sebelum mereka berangkat balik, pokcik petik jagung yang dah cukup matang enam tongkol sorang. Tak besar, tapi cukup manis dan segar dari kebun. “Ambik ni buat bakar kat rumah. Tapi jangan bagi anak cucu makan semua, simpan sikit untuk menantu, kalau nak lebih kena bayar” gurau pokcik.

Mereka balik sambil senyum lebar, pokcik pula rasa puas dalam hati. Tak ada apa yang lebih menggembirakan selain dapat berkongsi hasil titik peluh dengan sahabat-sahabat lama.

Sabtu, 14 Jun 2025

Bakar jagung atas dapur gas

Petang tadi pokcik bakar jagung atas dapur gas kat dapur rumah. Tak ada bara api, tak ada arang, tapi bau dia tetap buat hati teringat zaman dulu-dulu.

Isteri pokcik duduk kat kerusi dekat meja makan, tengok je pokcik sibuk putar-putar jagung atas api. Bila pokcik hulur sebiji jagung yang dah masak elok, dia senyum nipis dan kata, “Gigi dah tak kuat untuk gigit jagung… makin jarang, gigit pun rasa nyilu.”

Dulu bukan main lagi dia suka jagung bakar ni. Siap boleh habis dua tiga tongkol sorang-sorang. Sekarang ni, gigitan pun jadi kenangan. Pokcik diam, tapi dalam hati rasa sayu.

Anak pokcik pulak lain hal. Masa pokcik sibuk cangkul tanah dan tanam jagung dulu, dia la yang paling seronok. Tapi bila jagung dah kerap makan. Katanya dah jemu…

Lepas bakar pokcik saja-saja kongsi gambar jagung bakar tu kat Facebook. Tak sangka ada pulak rakan-rakan komen, nak beli. Pokcik jawab baik-baik — “Jagung ni banyak yang rosak, ulat dah mula singgah, gred pun C je.”

Bukan tak nak jual, tapi pokcik rasa tak sampai hati. Lagipun, bukan semua tongkol cantik. Sekarang pokcik simpan sikit-sikit untuk makan sendiri. Kalau ada lebih, pokcik kongsi dengan dua tiga orang kawan dekat. In shaa Allah, kalau peringkat keempat nanti menjadi elok, baru pokcik  jual.

Setakat ni, cukup pokcik rasa syukur. Bukan soal berapa banyak dapat, tapi berapa banyak hati yang tenang bila tengok pokok membesar.

Kutip Jagung Lagi

Hari ni pokcik turun ke kebun awal pagi… Alhamdulillah, jagung yang pokcik tanam tempoh hari dah matang. Pokcik kutip satu-satu dengan penuh syukur… dalam sejam dua tu, dapatlah penuh satu kereta tolak.

Tapi terus terang pokcik kata, hati ni risau juga nak tulis kat Facebook atau WhatsApp… bukan apa, takut kawan-kawan ramai minta, sedangkan hasil kali ni pokcik hanya dapat penuhi permintaan untuk dua tiga orang rakan rapat saja.

Bukan tak nak beri, tapi pokcik pun tahu batas hasilnya. Pokcik bukan peladang besar, cuma petani kecil-kecilan… tangan sendiri, cangkul sendiri, baja pun sendiri juga beli.

In shaa Allah, peringkat ke-4 nanti pokcik jangka hasilnya akan lebih banyak sedikit. Masa tu, pokcik akan maklum awal-awal. Siapa yang nak merasa jagung kampung, bolehlah pokcik agih dengan lebih adil dan lapang dada.

Pokcik selalu ingat pesan orang tua dulu:

“Kalau ada lebih, jangan lupa hulur. Kalau kurang, jangan malu kata belum cukup.”

Begitulah hidup berkebun. Ada masa kita lebih, ada masa kita cukup-cukup. Yang penting hati kena sentiasa tenang dan jujur.

Terima kasih pada yang selalu tanya khabar kebun pokcik.
Doakan pokcik sihat dan terus bersemangat.

Jumaat, 13 Jun 2025

Baru tergerak hati nak tanam biji bendi

Hari ni pokcik tak tahu nak tulis apa. Tapi masa duduk sorang-sorang tadi, teringat… pagi ni pokcik gali tanah sikit. Bukan untuk buat batas besar pun, cuma nak tanam biji bendi.

Biji bendi ni bukan baru beli ya… dah lama isteri pokcik beli, siap letak elok-elok dalam plastik. Tiap-tiap hari dia sebut, “Tanamlah Pokcik, nanti kita boleh buat sayur sedap.” Pokcik iya-iya aje, tapi tak buat-buat juga. Biasalah, kadang kita tangguh bukan sebab tak nak… tapi sebab malas tu datang dulu. Hehe.

Tapi tadi entah kenapa, masa tengok tanah kosong di kebun, masih ada ruang lagi untuk pokcik tanam biji ni.. rasa macam dipanggil. Cuaca pun elok, tak panas sangat. Pokcik capai cangkul, gali lubang-lubang kecil, dan mula tanam biji bendi tu. Satu demi satu, macam tanam rasa bersalah yang dah lama terbuku. Kah kah kah.

Kadang-kadang, kita ni bukan tak tahu nak buat apa… cuma tunggu hati tu bagi ‘lampu hijau’. Bila dah sampai masa, baru tangan ni ringan, baru rasa rajin nak buat kerja.

Harapnya bendi ni hidup subur… dan harapnya juga isteri pokcik tak bising dah. Nanti dia petik hasil bendi tu, dia tahu... pokcik sayang walau lambat sikit geraknya. 😄


Cabut ubi kayu untuk kawan-kawan

Petang hari Rabu, Pokcik gali ubi kayu. Bukan gali sebab nak makan sangat pun, tapi sebab nak kosongkan tanah tu – nak tanam jagung pulak. Tapak lama pokcik tanam ubi tu elok tanahnya, lembut, subur… rugi kalau biar saja.

Asalnya, pokcik ingat nak buang je ubi kayu tu. Dah lama tanam, dah besar-besar. Tapi bila fikir balik, elok juga kongsi rezeki sikit. Jadi pagi Khamis, pokcik angkut sikit ke sekolah tempat Pokcik bertugas. Tak banyak, tapi cukup buat dua tiga orang merasa.


Dua orang pekerja kebersihan sekolah dan seorang sahabat guru Pokcik dapatlah sorang sedikit. Seronok tengok wajah depa bila terima—ikhlas. Kadang benda kecil macam ni pun cukup untuk buat hari seseorang jadi cerah. Pokcik tak harap apa pun, cukuplah ubi kayu tu tak membazir.

Lagi satu, Pokcik rasa jagung ni lebih senang nak pasarkan. Kalau tanam elok-elok, insyaAllah boleh jual sikit-sikit, pasaran jagung pokcik pun dikalangan sahabat-sahabat disekolah dan jiran-jiran dikampung. Ubi kayu ni… orang suka, tapi tak semua nak. Lagipun kerja nak urus ubi ni lebih leceh sikit. 

Jadi lepas ni tanah tu Pokcik akan siapkan betul-betul. Nak tanam jagung manis. Harap-harap jadi elok. Kalau banyak hasil nanti, kita kongsi-kongsilah lagi.

Kadang hidup di kebun ni mengajar kita tentang memberi tanpa mengharap balas. Tanah beri hasil, kita beri pada orang. Mudah-mudahan Tuhan pun beri kita lebih rezeki.

Khamis, 12 Jun 2025

Bila Jagung Tak Jadi Gred A

Hari ini Pokcik nak berkongsi sedikit rasa dari kebun. Bukan cerita besar-besar pun, tapi cukup buat hati ini rasa berat sikit. Jagung peringkat kedua yang Pokcik tanam… nampaknya tak seperti yang diharapkan. Banyak yang tak capai piawaian gred A. Kebanyakannya jatuh ke gred B dan ada juga yang C. Aduh…

Pokcik bukan nak merungut, tapi bila dah curah peluh, berjaga panas hujan, jaga baja, kawal perosak… mestilah kita mengharap hasil yang terbaik. Tapi inilah lumrah bertani – ada masa kita di atas, ada masa kita belajar semula dari bawah.


Pokcik sendiri pun sedang muhasabah. Mungkin ada langkah yang terlepas pandang? Adakah tanah belum cukup subur, atau mungkin waktu siraman lari sedikit? Atau cuaca kebelakangan ini yang tak menentu – kadang panas melampau, kadang hujan tak menentu. Semua ini memainkan peranan.

Walau bagaimana pun, Pokcik tetap bersyukur. Biarpun tak capai gred A, tapi hasilnya masih boleh dimanfaatkan. Gred B dan C tetap jagung juga – boleh makan, boleh jual murah sikit untuk kawan-kawan atau jiran-jiran, dan boleh juga dijadikan makanan ayam dan kambing Pokcik.

Yang penting, Pokcik tak putus semangat. Ini bukan penamat, tapi satu pelajaran. Insya-Allah, untuk pusingan akan datang Pokcik akan cuba ubah strategi. Mungkin cuba varieti lain, atau ubah teknik penanaman.

Kepada sahabat-sahabat kebun yang turut bertani, teruskan usaha. Jangan patah semangat bila hasil tak seperti yang kita harap. Kita bukan saja tanam tanaman, tapi kita juga tanam kesabaran dan ketekunan.

Rabu, 11 Jun 2025

Bila badan rasa lemau dan malas

 “Hmm.. lemau betul pagi ni… rasa malas nak pergi kerja. Macam darah tinggi ada naik sikit… ini kes mesti punya — banyak makan daging korban.”

Bangun pagi mata rasa berat nak buka kelopak, badan rasa macam nak bantal peluk. Kepala ligat fikir alasan nak ponteng kerja, tapi hati kecil berbisik, "Pokcik, tanggungjawab tu bukan boleh cuti macam public holiday." Hati kecil memang selalu menang, sebab dia halus — tapi tajam macam jarum.


Semalam makan tiga jenis daging — sup tulang, daging bakar, gulai kawah. Semua sedap, semua mesra kolesterol. Nak kata tak bersyukur, berdosa. Tapi bila masuk kerja hari ni, rasa macam enjin diesel tua kena panjat bukit.

Jadi walaupun lemau, Pokcik gagahkan juga keluar rumah. Biar jalan senget sikit, janji jalan. Sebab hidup ni — kalau ikutkan rasa, semua benda kita tolak. Tapi kalau ikutkan amanah, kita angkat juga walau berat.


Isnin, 9 Jun 2025

Berita duka

Seawal pagi pokcik dikejutkan berita sebuah bas UPSI yang membawa pelajar kembali ke UPSI terlibat kemalangan yang melibatkan kematian.. Kebanyakan pelajar pula terdiri dari anak-anak muda yang bertolak dari Jerteh. 

Senarai nama penumpang pokcik terima dari grup whatsapp... Dalam banyak-banyak nama tiba-tiba tersenarai nama anak sahabat sekampung pokcik. 

Terus pokcik bergegas ke rumahnya.. Sahabat pokcik ni seorang OKU yang kerjanya sebagai tukang urut. Sampai sahaja pokcik di rumahnya telah ada beberapa orang dilaman rumah yang terdiri dari abang terdekat beliau dan jirannya.

Alhamdulillah dari maklumat diterima anak sahabat pokcik ini mengalami cedera dan patah tu tangan.. 

Membaca dari grup whatsapp, pokcik terima makluman bahawa bekas pelajar disekolah pokcik bertugas dulu meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.. 

Cucu saudara kepada suami sepupu pokcik juga turut meninggal dunia.. dan dua orang lagi yang pokcik kenal juga telah kehilangan anaknya dalam kemalangan ini..


15 buah van jenazah dari pertubuhan NGO Besut telah bertolak ke hospital Ipoh dan Hospital Gerik untuk membawa pulang jenazah pelajar terbabit..

Doa pokcik semoga roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.. Alfatihah..

Ahad, 8 Jun 2025

Bila Tiller rosak tanah masih boleh di Cangkul

Beberapa hari lepas, mini tiller kesayangan Pokcik — yang dah banyak berjasa selama beberapa musim tanam — akhirnya “menghembuskan nafas terakhir”. Enjin tak nak hidup, gear pun dah macam gigi reput, dan bunyinya… seram telinga dengar. Bila dibawa ke bengkel, mekanik cuma senyum pahit dan kata:

“Pok cik… ni bukan rosak, ni nazak. Baik beli baru je lah. Naik baiki tak berbaloi”.

Masalahnya, nak beli baru bukan semudah petik rambutan belakang rumah. Harganya boleh tahan, poket Pokcik belum cukup gemuk. Maka, buat sementara waktu ni, Pokcik terpaksa buat keputusan: turun semula ke tanah, cangkul di tangan, peluh atas dahi.

Zaman dulu, orang tua kita tak ada tiller, tak ada enjin, tak kenal mesin. Tapi mereka tetap hidup — malah lebih kuat daripada kita hari ini. Cangkul jadi senjata utama, dan peluh jadi baja yang menyuburkan tanah.

Jadi bila tiller rosak, Pokcik pandang cangkul tua di belakang pondok. Besi berkarat, kayu pemegang dah senget sikit. Tapi Pokcik genggam juga, lalu mula gali tanah untuk buat batas baru.

Lenguh pinggang? Memang.
Berpeluh satu badan? Wajib.
Tapi bila tengok tanah dah rata, Pokcik rasa puas hati.

Pokcik tanam sawi kali ni. Bukan untuk jual, bukan untuk buat bisnes — tapi cukup sekadar untuk makan sendiri, dan kalau lebih sikit, boleh bagi jiran sebelah.

Insya-Allah satu hari nanti ada juga rezeki nak beli tiller baru. Tapi sementara tunggu hari tu datang, Pokcik tetap akan balik ke kebun, balik ke tanah, dan balik kepada asas — usaha dan doa.

Mesin boleh rosak.
Tapi semangat, jangan dibiarkan mati

Sabtu, 7 Jun 2025

Pok Kor Berahi Di Daun Kering

Petang semalam masa pokcik tengah kutip ranting kering bawah pokok serai, terdengar bunyi seakan daun bergesel. Pokcik intai-intai, ingatkan tikus… rupanya dua ekor Pok kor tengah mengawan! 😅

Pokcik pun cepat-cepat capai kamera. Alhamdulillah, sempat juga rakam momen ‘rare’ ni. Nampaknya musim cinta dah tiba untuk penghuni kebun. Yang jantan tu boleh cam dari saiz kepala yang lebih besar, dengan warna lebih terang sikit—bersemangat sungguh dia. Yang betina tu pula relaks je, baring sambil menikmati kehangatan daun kering.

Pok kor ni walaupun kecil, tapi penuh gaya bila bercinta. Kepala angkat tinggi, dada ditegangkan. Siap macam nak tunjuk kejantanan dia pada dunia! Dalam gambar kedua tu boleh nampak si jantan tenung kamera macam kata, “Apa tengok-tengok? Ini kawasan aku!”

Pokcik bukan ahli biologi, tapi pengalaman kat kebun ni banyak ajar kita tentang dunia haiwan. Pok kor ni sebenarnya penting juga—dia makan serangga perosak, jadi pembantu tak rasmi pokcik dalam kawalan perosak semula jadi.

Jadi, bila kita jaga kebun, kita bukan jaga tumbuhan je—kita juga jaga ekosistem. Setiap makhluk ada peranan. Dan setiap detik macam ni—yang mungkin nampak kecil—bila kita rakam dan kongsi, jadi satu bentuk penghargaan pada alam.

Lain kali pokcik jumpa cicak berbulan madu lagi, pokcik kongsi ya! Jangan lupa, kerja kebun bukan setakat mencangkul, tapi juga belajar dan menghargai hidup yang lain.

Selamat menyambut hari raya Aidil Adha 2025


 

Jumaat, 6 Jun 2025

Pokcik & Racun Snap 500: Jagung Kena Bahang

 Hari ni Pokcik nak sembang sikit pasal hal yang jadi kat kebun jagung minggu lepas. Ceritanya begini, Pokcik turun ke kebun awal pagi-pagi, bawa sekali racun sentuh Snap 500 dalam tong biru tu. Tujuannya nak meracun rumpai yang makin galak tumbuh tepi batas jagung. Kalau dibiarkan, boleh berebut baja dengan pokok jagung, habis kurus jagung Pokcik nanti.

Pokcik pun sembur la racun tu elok-elok kat kawasan rumput dan ditengah-tengah lorong antara batas. Tapi entah silap tangan ke, angin tiup kuat ke, ada beberapa percikan semburan tu terkena juga kat daun jagung—bukan banyak pun, setompok dua je.

Seminggu lepas tu, Pokcik jalan tengok-tengok pokok jagung, terkejut juga tengok ada daun yang jadi kekuningan dan kering kat tempat yang kena percik tu. Pokok pun nampak macam terbantut sikit tumbuhnya. Yang lain elok je hijau, yang ni macam minta simpati.

Barulah Pokcik teringat, Snap 500 ni jenis racun sentuh—kalau kena daun, tak kira rumpai ke pokok tanaman, dia tetap bagi kesan. Rupa-rupanya jagung pun tak tahan. Kalau kena, daun dia memang akan kering kat tempat yang terkena tu.

Jadi pengajaran besar buat Pokcik (dan mungkin orang lain juga), masa meracun kawasan dekat dengan tanaman utama, jangan gopoh. Kalau boleh, guna penutup semburan atau halakan muncung semburan jauh sikit dari pokok. Dan kalau angin kuat, baik tangguh dulu kerja racun—takut percik melayang ke tempat tak sepatutnya.

Nak bertani ni kena sabar dan teliti. Kadang-kadang silap sikit, pokok yang kita bela dengan susah payah pun boleh jadi mangsa. Nasib baik tak semua pokok terjejas. Tapi cukup buat Pokcik belajar sesuatu minggu ni.

Khamis, 5 Jun 2025

Pokcik Dengan Kebun, Dia Dengan Ayam

Waktu Pokcik sibuk dengan jagung, cili, kacang panjang…Ada satu lagi yang sibuk belakang rumah: mokcik — isteri Pokcik. Kalau Pokcik tuan kebun, dia tuan reban dan sekarang ni, ayam kampung dia dah boleh buka cawangan. Mula-mula dulu, seekor dua je dia bela.Pokcik pun ingat itu kerja bosan dia sementara tunggu waktu malam. Tapi sekarang, anak ayam dah berlari merata Ada yang dah besar, ada yang berkokok kuat sampai anak jiran ingat azan.

Pokcik buatkan reban pakai kayu lebihan masa tukar pagar tapi sekarang, Pokcik sendiri kena sambung reban sebab “penduduk” bertambah. 

“Yang ni Pokcik, baka hebat,” kata Makcik sambil tunjuk ayam jantan yang dada dia tegak semacam. “Yang tu pulak, bertelur hari-hari, kalah ayam telur batery.”


Pokcik tengok dia bela bukan main — pagi bagi makan dedak, petang dia kutip daun katih murai campur nasi. Bila hendak beli makanan ayam pokcik yang jadi driver dia... sekali beli satu guni 50kg Kadang-kadang Pokcik rasa ayam dia makan lagi seimbang dari Pokcik.

Mula-mula bela suka-suka. Lama-lama, jiran mula tanya,

“Makcik, ada ayam nak jual tak? Nak buat kenduri kecil.”
“Saya nak dua ekor, yang jenis liat sikit tu sedap buat rendang.”

Buat tahun ini mokcik tak jual lagi katanya tahun 2026 baru mula jual. Semuanya dalam proses untuk memperbanyak lagi. Adalah dalam sekor dua yang dia jual. Ada yang nak beli anak ayam, nak bela sendiri kononnya — tapi akhirnya, balik tanya Mokcik balik nak beli dedak apa.

Pokcik tengok, dalam diam-diam, isteri Pokcik jadi tempat rujukan bagi rakan-rakannya yang hendak bela ayam kampung. Dia ada buku catatan, dia pandai guna mesin mengeram telur, bagaimana caranya jaga kelembapan dan suhu mesin tersebut. Suhu tak cukup anak ayam jadi cacat kaki..  dan sudah terbukti ada sekor dua anak ayam yang cacat.. dia belajar dari pemerhatian.

“Yang ni bertelur 3 kali seminggu.”
“Yang tu tak bertelur, tapi rajin duduk reban.”
Siap ada nama: “Si Gedik”, “Si Hitam Manis”, “Si Panjang Ekor”.

Pokcik dengan pokok. Dia dengan ayam. Kadang-kadang kami berselisih kat batas, dia bawa bekas telur, Pokcik bawa jagung. Kami tak banyak, tapi cukup. Dari tanah dan reban belakang rumah, rezeki tu masuk juga — kadang-kadang dalam bentuk duit, kadang-kadang dalam bentuk senyuman.


Kadang Pokcik fikir,

“Rumah kami tak besar, tapi belakang rumah penuh kehidupan.”
Itu yang buat kami seronok bangun pagi —
Ada daun baru di pokok,
Ada telur baru di reban,
Dan… ada cerita baru setiap hari.


Rabu, 4 Jun 2025

Kenapa Pokcik Seronok Berkebun

Orang tanya Pokcik,

“Pokcik tak penat ke hari-hari korek tanah, siram pokok, buang rumput?”
Pokcik senyum je. Dalam hati, nak jawab satu per satu pun tak habis sehari.

Berkebun ni bagi Pokcik bukan setakat tanam pokok — dia macam rawat hati.
Bila pokcik pegang cangkul, Pokcik lupa bil elektrik naik, lupa harga ikan temenung melambung.
Pokcik tenung tanah tu, rasa tenang. Pokcik korek lubang, rasa hilang sesak dada.

Pokcik Dapat Cakap Dengan Pokok

Pokok tak jawab balik, tapi Pokcik rasa dia dengar.
Pokcik pernah bisik pada anak cili,

“Tumbuhlah elok-elok. Esok nak buat sambal belacan.”
Esoknya, elok je buah dia keluar.
Tak banyak, tapi cukup untuk Pokcik rasa gembira.


 Pokcik Suka Tengok Benda Hidup Membesar

Dari benih kecil, keluar daun.
Dari daun, jadi batang.
Lepas tu, ada bunga, ada buah.
Setiap hari tengok pokok berubah — Pokcik rasa macam tengok cucu membesar depan mata.
Bezanya, pokok tak minta upah

Rezeki Dari Tanah Rasa Berkat

Bila Pokcik dapat petik sendiri — kacang panjang, sawi, jagung — rasa lain.
Bukan sebab jimat belanja sangat pun, tapi sebab rasa puas.
Rezeki yang tumbuh dari tangan sendiri, dari tanah sendiri,
itu yang buat Pokcik senyum waktu makan.

Berkebun Ajar Pokcik Sabar

Pokok tak tumbuh esok pagi lepas semai.
Hujan tak turun hari-hari.
Kadang-kadang ada yang mati, ada yang kena serang ulat.
Tapi itu semua ajar Pokcik — hidup ni tak boleh paksa.
Kita buat kerja kita, selebihnya serah pada Tuhan.

Itulah sebab Pokcik seronok berkebun.
Bukan sebab nak jual banyak. Bukan sebab nak tunjuk hebat.

Jangan jadi lalang, walau angin kuat macam mana pun

Dalam hidup ini, angin akan sentiasa datang.

Kadang sejuk dan lembut, kadang kencang dan menggoncang. Tapi jangan kita jadi lalang — yang sentiasa tunduk ikut tiupan, tanpa pendirian, tanpa arah.

“Lalang tak salah jadi tinggi. Tapi sayang, dia tak pernah berdiri sendiri.”

Bila hidup hanya ikut cakap orang, kita akan hilang pegangan.
Hari ini kata ya, esok kata tidak. Lusa berubah lagi, sebab takut nak berbeza.

Kita bukan lalang. Kita manusia.
Allah beri akal untuk menilai, hati untuk merasa, dan iman untuk memimpin. Jangan biar suara ramai menenggelamkan suara nurani.

Kita boleh dengar nasihat, timbang pandangan.
Tapi pada akhirnya, kita mesti tahu apa yang kita pegang.
Kita mesti tahu kenapa kita percaya, dan apa yang kita sanggup pertahankan.




“Biar kita jadi pohon kecil, tapi berakar dalam.
Biar kita tak popular, asal tak berpaling dari kebenaran.”

Pegang prinsip.
Jangan mudah goyah.
Jangan tunduk pada angin, walau sekuat mana pun ia datang.

Kerana hidup ini bukan tentang siapa yang paling ramai ikut,
tapi siapa yang tetap berdiri walau semua sudah berpaling

Isnin, 2 Jun 2025

Rehat Cara Pokcik

Bila sebut ‘rehat’, orang biasanya bayang kerusi malas, kopi panas, dan angin kipas bertiup manja. Tapi bagi Pokcik, ‘rehat’ tu tak semestinya bermaksud berhenti buat apa-apa. Kadang-kadang, rehat paling menyenangkan adalah bila kita buat apa yang kita suka — macam Pokcik, bila ada cuti dari kerja hakiki sebagai kakitangan awam, Pokcik terus turun ke kebun.

Tanah kering, pelepah tua, ranting berselerak — itulah ‘office’ Pokcik bila hujung minggu atau cuti umum menjelma. Tak ada mesyuarat, tak ada fail atas meja, tapi tetap berpeluh dan tetap rasa puas. Hari ini Pokcik sempat kumpulkan daun-daun kering dan bakar sedikit. Api naik perlahan, asap naik menari-nari ke langit. Bunyi unggun tu pun dah cukup jadi muzik latar untuk fikiran yang nak berehat dari dunia pejabat.

Bagi Pokcik, kerja kebun bukan beban. Ini terapi. Nak kata bercuti sepenuhnya, tak juga. Tapi inilah rehat yang sebenar bagi Pokcik — bebas, tenang, dan dekat dengan alam.

Pokcik percaya, setiap orang ada cara rehat masing-masing. Ada yang ke pantai, ada yang main badminton, ada yang tidur dari pagi sampai Asar. Pokcik pula, bila tengok tanah lapang mula bersih, rumput reda tumbuh, rasa macam satu sudut dalam hati pun makin lapang.

Jadi, kalau ada yang tanya kenapa Pokcik tak duduk diam bila cuti, jawapannya mudah:
“Rehat cara Pokcik, bukan dengan berhenti, tapi dengan kembali kepada apa yang buat Pokcik rasa hidup.”

Ahad, 1 Jun 2025

Jemputan majlis akikah

Semalam terima whatsapp dari sahabat pokcik, guru tempat yang sama pokcik bertugas. Minta sangat sangat pokcik datang ke majlis akikah cucunya. Bukan jemputan biasa tetapi sebagai photographer majlis tersebut.  Banyak kali dah terang kat dia pokcik dah pencen dari kerja merakam gambar majlis seperti ini.

Dia minta juga pokcik datang ambil gambar.. beria ria dia.. tak nak hampakan harapan sahabat pokcik pergilah juga tadi.

Selesai tugas dia tanya pokcik berapa harga.. pokcik kata cukup sekadar harga minyak kereta pokcik datang sini... Dia hulur pokcik sampul angpow... 

Balik rumah pokcik buka sampul angpow.. ok lah, kalau isi minyak petrol penuh satu tangki kereta axia.. dari Terengganu sampai Kuala Lumpur..

Pokcik kongsi sekeping dua gambar tadi