Berinspirasikan kejadian patah yang menimpa isteri pokcik dua bulan yang lepas maka terhasillah cerita pendek dibawah. Nama tempat dan tokoh tiada kaitan atau kena mengena dengan sesiapa, hanyalah rekaan pokcik semata-mata. Adanya kekurangan pada tatabahasa dan gaya penceritaan harap dimaafkan kerana pokcik ni bukanlah penulis yang hebat. sekadar untuk suka-suka sahaja.
Rasa menyesal menyelubungi dirinya. Sesal yang teramat, kalau boleh diundurkan masa. Tidak ingin ia kesitu tapi apakan daya dia tiada kuasa untuk menterbalikkan masa itu. Dia sedar dia tidak boleh melawan takdir.
Hari itu, selepas kerja-kerja menebas dikebun ia kesungai untuk mencari rebung. Kepingin sangat dia untuk makan rebung rebus dicicah sambal. Boleh dikatakan semua anak-anaknya suka makan rebung. Lebih-lebih lagi anak perempuannya.
Gambar sekadar hiasan
Ditebing sungai Luak itu, bukan sahaja banyak dengan pokok-pokok buluh yang menghasilkan rebung bahkan setiap kali selepas musim hujan pertukaran monsun pucuk paku pakis dan pucuk miding banyak tumbuh melata sama seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Kalau lewat mengutip melepaslah jawabnya. Tapi kawasan itu penuh dengan semak, perlu berhati-hati tedung selar dan ular sawa suka bermain disekitar situ. Bukan sekali dua dan bukan seorang dua pernah terserempak dengan makhluk ini. Pendek kata orang kampung sentiasa berhati-hati bila berada dikawasan ini.
Hari itu nasib tidak menyebelahi Mat Nor, Dia tergelincir sewaktu menuruni tebing sungai. Sendi tangannya sakit. Kesakitan yang teramat sangat. Sangkanya hanya terseliuh sendi pergelangan tangan. Dengan memegang tangan kanan yang sakit dengan tangan kiri dia berjalan keluar dari kawasan tebing Sungai Luak. Motorsikal yang berada disitu ditinggalkan. Dia sudah tidak berdaya untuk memulas throttle motor itu. Apa yang ada difikirkan dan dirasakan sekarang adalah kesakitannya. Motor itu lain kali boleh diambil. Nanti dia akan meminta anak dia yang membawa pulang motor itu.
Mat Nor menapak keluar dari semak kecil ditebing sungai ke jalan tanah merah yang menghubung tanah kebun penduduk kampung. Tangannya semakin sakit, diperhatikan pergelangan tangannya nampak semakin membengkak.
Untuk ke jalan besar jaraknya lebih kurang satu kilometer. Rumah penduduk kampung yang paling dekat pun dekat satu kilometer setengah 'jauh aku terpaksa berjalan' gumam Mat Nor.
Nasib baiklah Udin anak Mat Zaid yang baru pulang dari meracik burung terserempak dengannya, Kalau tidak, jauh dia kena berjalan hari itu. Petang itu juga dia ke rumah Haji Min dikampung sebelah. Haji Min bukanlah bomoh patah yang mahsyur kalau setakat seliuh sendi dan sakit urat tu bolehlah diperbetulkannya.
Menitik air matanya menahan kesakitan sewaktu Haji Min mengosok pergelangan tangannya. Kalau diikutkan hatinya hendak diterajangnya Haji Min waktu itu. Kata Haji Min, In Sha Allah selepas ini disapu minyak yang dia buat sendiri hilanglah bengkak dan sakit dua tiga hari lagi. Minyak urut Haji Min buat sendiri, katanya dibuat dari lemak anak ular sawa. Mujarab katanya lagi.
Dua puluh ringgit diberinya pada Haji Min tapi Haji Min menolak. Ikhlas katanya. Mat Nor tetap menghulur duit tu, Haji Min menepis tangan Mat Nor.
"Saya sedekah ikhlas Haji Min" Kata Mat Nor.
"Dah engkau kata ikhlas aku ambil" Haji Min menyambut huluran duit dari tangan Mat Nor.
Tiga malam Mat Nor tidak dapat lelap malam dengan lena. Tidur dia sentiasa terganggu dengan kesakitan yang menular dari pergelangan ke pangkal bahu. Urat dia terasa tegang. Tapak tangan dia seakan membiru warnanya.
Atas saranan isterinya hari keempat dia ke hospital kerana sudah tidak tahan lagi menanggung kesakitan. Selepas di x-ray doktor mengesahkan sendi pergelangan tangannya retak dan tulang besar lengannya masuk sedikit kedalam sendi tapak tangan. Mat Nor ingat waktu dia rebah ditebing sungai hari tu.
Sebulan tangannya berbalut sendi dari pergelangan sendi tapak tangan sampailah ke ketiak. Sebulan juga dia menanggung berat beban simen tu. Bukannya ringan. Kalau dah setiap masa berbalut, berbungkus dengan benda putih ni.
Satu lagi masalah mendatang, gatal kulit dalam balutan itu hanya tuhan sahaja yang tahu. Tempat mana yang patut digarunya. Bukan itu saja, Balutan simen yang kemas itu juga menyebabkan jari-jari tangannya membiru. Kejang dan keras urat saraf ke jarinya Seakan darah tidak mengalir kesana. Mat Nor nekad ke hospital sebelum tempoh temujanji untuk membuka balutan. Kalau doktor tidak mahu membuka balutan ini biar dia sendiri yang akan membuangnya. Akan digergaji atau dikapakkan sahaja benda putih berbalut dilengannya itu. Dia tidak kisah andainya dia dimarahi oleh doktor nanti.
Dia sudah trauma. Setiap kali melihat dan melalui tanah yang licin dia menjadi takut. Tidak sanggup lagi dia melalui kawasan seperti itu. Segala aktiviti dia kini terhenti. Dalam kepalanya banyak perkara yang ingin dia lakukan tapi dengan keadaan tangan kanannya seperti ini apa yang dia mampu lakukan, kalaulah yang kena adalah tangan kiri bolehlah lagi dia menghayun parang, memegang pisau getah menoreh pokok getah sepohon dua buat belanja.
Sudah sebulan lebih dia tidak menoreh getah nasib baiklah belanja dapur dia dibantu oleh dua orang anaknya yang sudah berkerja. Kalau tidak, tidak berasaplah dapurnya. Mat Nor memandang tangannya, kesakitan ini telah menjadi beban. Balutan simen dilengan ini masih lagi menjadi beban padanya. Sakitnya tetap terasa, jari-jemarinya semakin tegang
Beberapa hari yang lalu Mat Resad bertamu ke rumahnya, lazim sebagai warga kampung mengambil tahu rakan dan jiran sekampung yang sakit.
"Selepas balutan simen ni dibuka, engkau pegilah berubat cara kampung pula, urut urat lengan kau yang keras dan tegang ni." Usul Mad Resad. Mat Nor diam mendengar kata-kata dari Mad Resad.
"Kat Tanah Merah sana katanya ada seorang bomoh patah yang pandai" Sambungnya lagi
"Apa namanya" Tanya Mat Nor seakan berminat dengan cerita Mad Resad.
"Kalau tak silap aku orang panggil Abe Loh tok bomoh Kampung Kijang" terang Mad Resad.
Atas saranan Mad Resad, akhirnya Mat Nor ke Tanah Merah bertemu dengan Abe Loh tok bomoh. Gembiranya hati Mat Nor, kesakitan ditangannya hari demi hari semakin hilang.
'Patah'. Satu perkataan yang tidak sanggup lagi dia dengar, kesakitan yang tidak ingin lagi dia alami. Peritnya bukan sehari yang ditanggung lebih-lebih lagi membataskan pergerakannya.
Pagi itu Mat Nor bangun dengan bersemangat, sudah lama dia tidak merasakan kepekatan kopi di warung Leha janda anak empat itu. Kopi yang dibuat oleh Leha cukup sedap mengalahkan air kopi yang dibuat oleh mana-mana perempuan dalam kampungnya. Bukan sekali dua dia merasa kopi yang dibuat oleh Jurah bininya itu tapi sedap lagi kopi leha janda tu.
Rasa macam ada yang tidak kena dengan kopi dibuat oleh Jurah, lecah leweh seperti ada sesuatu yang tidak cukup. Hampir dua bulan dia tidak bertamu di kedai Leha janda.
"Hoi, Cik abang nak kemana tu?" Laung Jurah dari atas rumah sebaik melihat lakinya menapak menuruni tangga.
"Aku nak ke kedai kopi simpang sana tu. Dah lama aku tak jumpa kawan-kawan" jawab Mat Nor sedikit melaung.
"Nak jumpa kawan ke nak tengok Leha janda tu" Jurah melaung sambik mencebik muka. Dia tahu sangat perangai suaminya, bukan dilayan oleh janda Leha pun mereka semua ini.
Kesakitan dilengan boleh dikatakan sudah pulih sepenuhnya cuma dia tidak boleh mengangkat benda-benda berat. Tangannya itu masih belum boleh memulas pendikit minyak. Sudah beberapa kali dia mencuba, sengal dan sakitnya masih terasa.
Mat Nor menapak perlahan menyusuri jalan menghala ke simpang tiga. Sebuah motorsikal melintasi dan berhenti didepannya.
"Pakcik nak kemana ni? boleh saya tumpangkan" tegur Hashim anak Lazim yang berkebetulan hendak ke sekolah.
"Aku nak ke kedai kopi dekat simpang tu je" jawab Mat Nor sambil mengangkang kakinya membonceng motorsikal.
"Bawa motor ni hati-hati sikit Shim, jangan laju sangat lagipun jalan ni bukannya elok" Mat Nor mengingatkan Hashim memandangkan cara budak itu yang membawa motor agak laju.
"Perlahan dah ni pakcik" Mendengar teguran dari Mat Nor, Hashim memperlahankan sedikit motorsikal, kemudian kembali memulas pendikit minyak bila melepasi kawasan yang berlopak.
Tiba-tiba seekor anjing melintas dengan lajunya, Hashim cuba mengelak dari melanggar anjing tersebut. Berasakan sesuatu yang tidak baik akan terjadi Mat Nor memegang tubuh Hashim dengan kemas.
Motor yang dibawa oleh Hashim hilang kawalan. Hashim cuba menekan brek tapi tidak berfungsi dan akhirnya motor itu terbabas ke dalam parit tepi semak bersama penunggang dan pemboncengnya.
Mat Nor membuka kelopak mata, disisinya dia melihat Jurah dan dua orang anak berserta beberapa orang jiran dekat.
"Abang pengsan tadi" kata Jurah sebaik menyedari Mat Nor sedar dari pengsannya.
Mat Nor cuba untuk bangun tapi terasa sakit menyucuk dipeha kirinya. Pehanya terasa berat dan kejang.
"Abang jangan banyak bergerak. Peha abang ni doktor dah simen. Patah" kata Jurah sambil menahan badan Mat Nor dari bergerak
"Patah lagi ". Mat Nor menyeringai menahan kesakitan.
1 ulasan:
terbaikk...
Catat Ulasan